Skip to content

Sukarelawan Malaysia

Pak
Written by Dr. Azizan Bahari   
Wednesday, 05 May 2010 06:39


Setiap kali datang berita

Penat menyerangmu

Hatiku risau

Apakah ini saat-saatnya?

Atau suatu kebiasaan jua

Seperti sebelumnya?


Sesekali bila tanganmu kujamah

Terasa betapa longlai sebatang tubuh

Yang dulunya merajai kampung

Peneroka bukit belantara

Peranduk sungai dan paya

Dan apabila dadamu kuurut

Terasa hilangnya segala daya

Kelantangan seorang penghujah

Ketajaman deria polis tentera

Ketangkasan seorang guru silat


Pak,

Di sekitar ini tiada siapa mengenalimu

Seperti kau yang jahil tentang mereka

Kau memendamkan sejarah menarik

Zaman kanak-kanak penuh adventure

Idealisme politik ketika muda

Teologi protes di usia dewasa


Siapa menyangka?

Di katil bertemankan tangki-tangki oksigen itu

Terbaring seorang bekas bomoh

Guru agama Kaum Baru

Pembaca Quran amat teliti?


Kau cepat berang, pak

(seperti arwah bapamu)

Lantang suara menggegar kampung

Angin ribut bertukar hala!


Kau perengus

Beliak matamu menggerunkan semua


Kau lelaki cauvinis

Kepatuhan mak sampai ke tua


Tapi, di sebalik kekasaran

Kau sentiasa diingati

Anak-anak resah bertanya kabar

Teman-teman gelisah di warung kopi

Kucing-kucing kesayangan mundar-mandir

Mak di rumah muram dan sunyi


Betapa kami mengharapkan kehadiranmu selalu

Berbicara sinis politik oportunis

Menyoal fahaman agama sempit

Sambil marah-marah dan ketawa


Kau akan kembali bangkit, pak

Menerajang menempik seperti biasa

Tidak mahu mengalah

Pantang menyerah

Meski tubuh semakin kehilangan kudrat

Dan denyut nadi semakin lambat.


(1993)

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti