Nyang (1982-84) |
Written by Dr. Azizan Bahari |
Saturday, 10 January 2009 00:10 |
Nyang
i
Berapa relung sawah telah kau kerjakan Dengan tulang-tulang perkasamu? Dengannya kaulah ibu bapa mereka Menyekolahkan Dan menjaga Hingga semuanya dewasa Berkeluarga
Nyang, Berapa nilai usiamu Bergelumang lumpur di baruh Dalam hujan ribut tengkujuh Atau bercelapak di tanah merkah Di bawah terik panas kemarau Sehingga Si Gendut dan Si Alim itu demikian senang Membenarkan kau memilih Mengerjakan mana petak yang kau suka Sampai kini mereka mewah Hidup senang bahagia?
Kini kau terlantar Ingat-lupa sejarah lampaumu Kau menyesali diri Kecewa akan tulang-tulang yang lumpuh Kerana memenjarakan hidupmu Setelah melewati seabad usia
Nyang, tak pernah kau harapkan apa-apa daripada sesiapa kecuali sedikit ingatan dan rindumu akan kehadiran mereka (itupun sekadar sekali-sekala) Di sisi kesepian tuamu
Telah kau catat makna hidup Di merata pelusuk kampung Dengan jari-jari dan tapak kakimu Kau tegakkan kehebatan wanita kampung Di depan kekuasaan ringgit Dan ketakan tuantanah
Ah! Betapa besar sumbanganmu Kepada martabat buruh tani Jerit payahmu adalah panduan dan ilmu Bagi penginsafan kami
Betapa jasamu kepada kami Anak-anak yang cintakan kampung Di teratak usangmu Kami tiduri dan asyik bermimpi Esoknya menanggguk udang Menggomol haruan dan keli
Nyang, Usahlah berduka akan keuzuran yang pasti Kau lama berhempas-pulas Terlalu lama menabur bakti Kerja itu hidupmu Tulang-tulang itu nadimu Kalau siang di bendang Atau mengheret kambing di tepi-tepi belukar Malamnya kau mencangkung dianyaman Jari-jarimu menggeretuk Kau cuma berhenti Bila kelopak matamu lemah Bersama sumbu pelita yang pudar cahaya
Masih kuingat! Megahnya ayam mematuk di tapak tanganmu Itik-itik nan manja Dan sekawan cak rumah berkejaran Mengelilingimu
Masih kuingat Sebaris bukit hormat padamu Memberikan kau arah ke bendang Sedang matahari selamanya setia Mengkhabarkan masa
Kokokan ayam di subuh pagi Mencelikkan matamu Kau bingkas bangun Gigih menghadapi siang Dan kau cuma pulang Bila mendengar riang-riang petang
Nyang! Dalam rihatmu Jarang kudengar murai berkicau Tiada jeruk cermai, kelubi Tiada pekasam udang Gulai asam pedas hilang asli
Dalam baringmu yang panjang Jarang kurasa emping dan ringgi Tiada tiupan serunai padi Tiada taut tiada bubu Puyu dan sepat jauh pergi…
ii
Kini kau pergi buat selamanya Tinggalkan kami yang masih ingin belajar Mengenal erti hidup Dari samudera luas pengalamanmu
Selamatlah nyang Menghadapi Tuhan Kau telah lama berbakti Telah banyak memberi Kau tetap diabadikan
Dalam deruan angin timur Dalam desiran padi Dalam geseran rumpun buluh Dalam kicauan burung Dan segala kehijauan kampung kita
Bersemadilah nyang, Kau selamanya dikenang!
(1982-1984) |