Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA SAJAK Siang Malam tanpamu (2006)
Siang Malam tanpamu (2006)
Written by Dr. Azizan Bahari   
Saturday, 10 January 2009 03:34

 

Di sini

Pagi-pagi dan petang-petang begini

Matahari lemah cahayanya

Air di sawah tak berkilau

Tiada gumpalan awan

Tiada keceriaan di kaki langit


Tanpamu muramlah suasana

Bersilih ganti kesepian

Kegusaran


Di sana

Di bawah matahari Summer

Tunas-tunas bergetaran diusik angin

Bunga-bunga berkembang

Indah dan mengharum

Itik-itik di tasik keriangan

Padang-padang berlereng kehijauan


Di sini

Sungai kecil mengalir keletihan

Hujan marah membawa hakisan

Kopi penyegar terasa payau

Kacang tumbuk pak hilang enaknya

Lembah dan guar yang selalu kita datangi

Tiba-tiba sunyi sesunyinya...


Di sana

Di muara dan tebing Tyne

Kau dan Maya ghairah bercerita

Sambil menikmati kentang bakar

Dengan haruman segar

Sambil mata menyenangi keselesaan sekitar

Dan leluhur nan terpelihara


Tanpamu, dengan siapa harus kukongsikan fikiran dan rasa?

Atau menghayati indah pagi dan senja?

Tanpamu, dengan siapa harus kusambut sapa angin?

Atau meniduri sejuk malam yang hening?


(2006)

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti