Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA SAJAK Menyempurnakan Kehadiran
Menyempurnakan Kehadiran
Written by Dr. Azizan Bahari   
Monday, 07 March 2011 02:04

 

Mari kita cari suatu sudut tenang melegakan

Untuk memesrai alam

Dengan segala keindahan keunggulan

Sambil asyik dengan bualan penceritaan

Menghayati seni pengkaryaan

Meneruskan kerja selagi terdaya

Menyempurnakan kehadiran


Sewaktu-waktunya kita berkongsi idea

Dan pengalaman

Atau menurunkan sedikit petua pedoman

Sesekali bertembung persaudaraan yang terpisah

Penyegar ingatan lama

Penawar rindu kanak-kanak

Penemu jejak yang hilang

Sambil keluar meninjau daerah dekat

Daerah jauh

Menikmati kepelbagaian


Atau, kita mungkin mengintai lagi

Suatu sudut lain di mana-mana

Yang menggamit kemesraan

Menjanjikan ketenangan...

Bukankah kita kembara sejati

Warga semua benua?


Dan demikianlah seterusnya...

Sehingga suatu pengakhiran tiba

Hampiri ia dengan biasa

Tanpa protes penyesalan

Menerima segala

Suatu rangkaian tak teruraikan

Mengakui diri

Suatu titik di semesta alam


(2010)

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti