Skip to content

Sukarelawan Malaysia

Azizan Bahari

Azizan Bin Bahari dilahirkan di Kg.Guar Halban, Jalan Mata Ayer, Kangar Perlis pada 30 Oktober,1950. Dia merupakan anak kedua dari keluarga 7 beradik. Bapanya, Bahari Abdullah bekas Polis Khas (Special Constable) yang berkhidmat dengan Kerajaan semasa zaman Darurat (1948-1960), kemudian mencuba pelbagai pekerjaan kampung dan perburuhan untuk menyara kehidupan keluarga, manakala ibunya, Doyah Othman bertindak selaku suri rumah sepenuh masa. Oleh sebab tuntutan pekerjaan sang bapa, maka keluarga Bahari-Doyah ini hidup berpindah ke beberapa kem atau barrack di kawasan-kawasan ”hitam” di Perlis dan Kedah, dan akhirnya kembali menetap di Kg.Guar Halban setelah sang bapa tamat perkhidmatannya pada 1961.

Azizan mendapat pendidikan formal awal bermula 1957 di Perlis dan Kedah (mula-mula dan terakhir di Sekolah Kebangsaan Oran, Perlis). Selepas itu melalui transit beberapa bulan di Sekolah Menengah Derma, Kangar sebelum ke sekolah berasrama penuh, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh pada 1963 hingga 1968.

Dia kemudian memasuki Kolej Pertanian Malaya, Serdang, Selangor pada 1969 (sebaik selepas Peristiwa Rusuhan Etnik 13 Mei) sehingga ke Tahun Dua. Di KPM Azizan mula mencebur diri secara aktif dalam gerakan pelajar. Pada tahun keduanya beliau terpilih sebagai Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Kolej Pertanian Malaya (PPIKPM). Sepanjang di Serdang dia sering mewakili pelajar-pelajar KPM dalam pelbagai program anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPM). Di KPM Azizan dan beberapa orang rakan juga sempat menubuhkan Barisan Aksi Siswa-Siswi (BAKSI).

Setelah meninggalkan Serdang pada 1973 Azizan melakukan perjalanan mengelilingi Semenanjung Malaysia selama tiga bulan bermula dari Perlis menuju ke selatan, Pantai Timur dan kembali ke Kuala Lumpur. Perjalanan ini mendedahkannya kepada cebisan-cebisan hidup pelbagai masyarakat – kampung, persisiran pantai, rancangan tanah Felda, pinggir bandar, pendalaman serta pulau – di Semenanjung.

Setelah mencuba melakukan kerja-kerja menterjemah rencana untuk akhbar, mengikuti pelbagai kegiatan kesenian dan penulisan di Lembah Kelang dan merayau beberapa bulan, Azizan memulakan pekerjaan selaku wartawan (kadet) sepenuh masa dengan Kumpulan Akhbar The Straits Times, mula-mula dengan Berita Harian, kemudian Straits Times. Pekerjaan selaku wartawan (di samping turut giat menulis rencana) ini berlangsung selama 6 bulan. Selepas itu, pada akhir 1973, dia menceburi bidang kerja belia melalui Majlis Belia Malaysia (MBM), mula-mula sebagai Pegawai Penerangan.

Pada Disember 1974 Azizan mula berkongsi hidup dengan Patimah Shamsu, berasal dari Kg.Sentua, Utan Aji, Perlis. Mereka memperoleh dua orang anak – Maya Iza (dilahirkan November 1976) dan Wira Budiman (Oktober 1979). Patimah lulusan Kolej Pertanian Malaya, Serdang (Diploma Pertanian) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (Diploma Psikologi Kaunseling) kini terlibat dalam sesi / kursus berkaitan relaxation (pengurusan stres) dan gaya hidup sihat.

Kerjaya Azizan selaku pekerja belia sepenuh masa berterusan selama 8 tahun (sehingga September 1981). Selepas bertugas sebagai Pegawai Penerangan merangkap editor buletin Berita MBM dan pengarang akhbar Forum Belia, Azizan dilantik sebagai Setiausaha Kerja MBM pada 1976. Mulai 1978 hingga 1981 beliau juga bertindak selaku Setiausaha Pengelola bagi Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC) ketika sekretariat badan tersebut berpindah (dari Jakarta) ke Kuala Lumpur pada 1978.

Pada September 1979 Azizan terpilih untuk mengikuti Kursus Diploma Sains Pengurusan (Management Science) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Petaling Jaya. Kursus ini berlangsung selama 11 bulan. Setelah meletakkan jawatan dengan MBM beliau menyambung pengajian pada peringkat sarjana muda di Amerika Syarikat, mula-mula di Long Island University, New York selama dua semester dan kemudiannya di University of Wisconsin-Madison, Wisconsin dalam bidang Kebajikan Sosial (social welfare) dari 1982 hingga 1984 atas tajaan MARA.

Setelah mendapat tajaan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia pada Oktober 1984 Azizan dan keluarga bertolak ke England untuk melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang Perhubungan Industri (industrial relations) dan doktor falsafah (Sosiologi Perbandingan Buruh) di University of Warwick, Coventry sehingga Julai 1989.

Sekembali dari England Azizan bertugas selaku pensyarah dalam bidang Kerja Sosial di USM. Beliau pernah bertindak selaku Pengerusi Bahagian Pembangunan dan Pentadbiran Sosial (Kerja Sosial) di USM dan menyelaraskan Kursus Sijil Kerja Sosial bagi kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kuala Kubu Bahru.

Dari 1994 hingga 1996 Azizan dipinjamkan (seconded) untuk bertugas sebagai Pengarah Eksekutif di Institut Kajian Dasar (IKD), Kuala Lumpur. Bersama rakan-rakan ketika di IKD beliau telah mengusahakan pelbagai program termasuk Persidangan Tradisi Intelektual di Universiti (anjuran bersama IKD dan Pertubuhan Pergerakan Akademik Malaysia), siri Seminar Keadilan Sosial (kerjasama IKD dan Just World Trust), kursus/latihan kepemimpinan dan pengurusan NGO, Buletin IKD, Jurnal IKD (tentang isu-isu dasar), Seminar Kebangsaan mengenai Kesukarelaan: Cabaran dan Prospek Menjelang Abad Ke 21, siri Seminar/Bengkel Pekerja Muda, beberapa persidangan dan program serantau, dan juga penubuhan Yayasan Salam Malaysia, selain penerbitan, termasuk buku-buku yang diusahakannya – Belia dan Masyarakat (1995), Pergerakan Belia: Persoalan dan Cabaran (1995), Kisah Kita (himpunan puisi dan catatan, edisi pertama) (1995), dan buku suntingan bersama, Keadilan Sosial (1996).

Selepas kira-kira 2½ tahun bersama IKD Azizan kembali menyambung tugas pensyarah dengan USM. Keadaan kesihatan memaksa Azizan meletakkan jawatan pada pertengahan 1997 dan kembali ke Lembah Kelang. Beliau dan isteri tinggal di Shah Alam dan melakukan kerja-kerja ringan dengan Yayasan Salam Malaysia (Felo Kanan), Centre for Leadership and Development Studies (felo), dan terlibat dalam penubuhan Institute for Labour and Management Studies (ILMU) (juga selaku Pengarah Pengajian pertamanya) di bawah Workers Institute of Technology.

Beliau bertugas sepenuh masa dengan Yayasan Salam mulai 1999 hingga 2004 sebagai Pengurus Projek dan Eksekutif Kanan merangkap editor buletin Sukarelawan. Buletin 4 kali setahun (quarterly) yang bermula pada 1998 berjaya diterbitkan sebanyak 17 keluaran tanpa henti sehinggalah ditamatkan oleh pengurusan yayasan pada awal 2003.

Dengan yayasan itu selama 5 tahun (1999-2004), Azizan dan rakan-rakan telah mengadakan pelbagai program seperti kursus-kursus asas sukarelawan, Bengkel Bekerja dengan Komuniti bagi sukarelawan, sambutan-sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa, projek-projek bersama komuniti angkat, penubuhan kumpulan-kumpulan sukarelawan (tempatan), siri Program Kepekaan Gender, selain penghantaran dan penempatan sukarelawan di dalam dan luar negara. Dalam masa yang sama beliau telah menyunting buku Youth: Vision and Leadership (1999), menghasilkan koleksi rencana-rencana kesukarelawanan melalui buku Menghayati Kerja Sukarela (2002, 2005) serta menyunting dan turut menulis beberapa bab buku Generasi Muda Menangani Cabaran (2004).

Pada 2004-2005 Azizan bergiat mengendalikan beberapa program kursus dan bengkel di bawah Arus Consult, sebuah syarikat perundingan yang ditubuhkannya bersama Rushdan Rusmi. Melalui Arus Consult beberapa projek penting telah dilaksanakan, termasuk bengkel-bengkel Kesukarelawanan (atas tajaan Yayasan Kebajikan Negara dan pertubuhan sukarela), kursus Bekerja dengan Komuniti (Ikatan Relawan Rakyat, RELA), Kursus Kepimpinan Belia Kebangsaan (International Youth Centre Foundation), siri Bengkel Mencegah Keganasan Seksual (UNHCR, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) di kalangan pendatang Acheh dan Myanmar di Malaysia, serta Bengkel Teater Kanak-Kanak di Gunung Jerai, Kedah dan di Kangar, Perlis.

Azizan juga bertindak selaku anggota panel konsultan di bawah Wira Budiman & Associates, sebuah syarikat (milik anaknya) yang terlibat dalam pelbagai program kursus, bengkel, galakan keilmuan dan kerja-kerja terjemahan dan perhubungan media.

Sebelum itu, bersama seorang rakan, beliau juga menubuhkan Qarya Sdn. Bhd., syarikat yang turut menjadi penerbit kebanyakan buku yang diusahakannya.

Di Kangar, Perlis pada 19 Disember 2004, dengan kerjasama rakan-rakan dalam Persatuan Teater dan Tarian Perlis dan Persatuan Pelukis Perlis serta sokongan Jabatan Kebudayaan Perlis, Azizan telah menyelaraskan bengkel Teater Kanak-Kanak (bagi para pendidik kanak-kanak dan remaja) yang dikelolakan oleh Tearlach Duncanson dan Maya Iza Azizan, serta Malam “Kisah Kita”, iaitu program pembacaan, nyanyian dan muzik lagu-lagu puisi oleh para seniman dan karyawan Perlis sempena pelancaran buku Kisah Kita (2004, edisi baru) karya Azizan yang dilakukan oleh Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh.

Dari Shah Alam, Azizan dan isteri berpindah pulang ke kampung di utara semenanjung pada awal 2006. Kini menetap di Perlis, Azizan bertugas sebagai pensyarah (kontrak) dalam Program Pengurusan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah. Antara kursus yang diajar (dan diperkenalkan) Azizan di UUM ialah kursus Kesukarelawanan yang juga diwajibkan ke atas pelajar-pelajar Program Kerja Sosial.

Azizan masih bergerak aktif dalam hal-hal kesukarelawanan, pembangunan belia dan kerja komuniti. Beliau memberikan khidmat sukarela selaku anggota Panel Program International Youth Centre Foundation (Kuala Lumpur) dan anggota panel penasihat program Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, di samping kerap memberikan ceramah dan mengendalikan bengkel-bengkel dalam bidang-bidang tersebut di pelbagai tempat.

Pada 2006 beliau menghasilkan buku panduan Menjadi Sukarelawan (2006). Buku ini diterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris, Becoming a Volunteer (2007) yang kemudian diikuti dengan buku Menjadi Pemimpin (2008); semuanya memfokus kepada sektor sukarela.

Bersama-sama rakan-rakan di Perlis, Azizan turut terlibat dalam penubuhan sebuah badan penulis dan karyawan baharu iaitu Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) pada Disember 2007. Mulai Januari 2009 Azizan memulakan laman web rasminya, www.sukarelawanmalaysia.com yang memuatkan artikel, teks pembentangan serta berita tentang kerja sukarela. Laman ini juga digunakan untuk berkongsi catatan/komentar, gambar dan sajak/catatan puitis dengan pelayar (pembaca).

 

 


Aktiviti

Aktiviti
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday45
mod_vvisit_counterYesterday47
mod_vvisit_counterThis week45
mod_vvisit_counterLast week503
mod_vvisit_counterThis month288
mod_vvisit_counterLast month3094
mod_vvisit_counterAll days24339