Skip to content

Sukarelawan Malaysia

Superman Itu Wujud
Posted by Dr. Azizan Bahari

Saturdayday, 03 July 2010 14:26

Ketika tahun umurku tiga
cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... Superman hanyalah rekaan pengarang
.... .... berpakaian dalam dan terbang-terbang
.... .... benarkah dia kaujadikan ikutan?
.... .... kelak kau mati lompat bangunan.”

Dewasa sangkakan aku bodoh!

Ketika tahun umurku enam
tetap cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “tidakkah kausedar muslihat asing
.... .... Superman itu sebenarnya pancing
.... .... mestikah ‘hero’ berkulit putih, bermata biru?
.... .... kelak Baratlah menjadi kiblatmu.”

Dewasa sangkakan aku bodoh!

Ketika tahun umurku sembilan
Masih cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “tugas kau belajar, kemudiannya bekerja
.... .... menjadi kaya mendapat nama
.... .... bukankah itu cita-cita bangsa?
.... .... kelak kau akan matang juga.”

Dewasa sangkakan aku bodoh!

Wahai dewasa golongan penguasa
jangan kerana kau sudah dewasa
.... .... kaufikir dirimu benar sentiasa
jangan kerana kumasih kecil
.... .... kaufikir diriku berakal kerdil.

Aku bukannya budak hingusan bodoh
yang mudah diceroboh fahaman hodoh
atau dipengaruh kelakuan tak senonoh.

Cita-citaku ingin menjadi Superman
.... .... bukan kerana dia “orang terbang”
.... .... bukan kerana kukiblatkan Barat
.... .... bukan kerana kubenci realiti
namun kagumku hanyalah cuma
.... .... pada usaha dan sumbangan bermakna
.... .... dia yang tak pernah meminta-minta
.... .... balasan nama, pangkat & harta!

SUPERMAN ITU WUJUD!

Dan dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana pantasnya memintas peluru
.... .... tapi kerana ikhlasnya membantu insan yang perlu
dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana gagahnya menggugah jentera
.... .... tapi kerana tabahnya membela yang terabai, terdera
dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana kuasa luarbiasa
.... .... tapi kerana budi dan jasa.

Dia sukar dilawan
kerana dia sukarelawan!

Oleh:
Wira Budiman Azizan
sempena Tahun Sukarelawan Antarabangsa

Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)

 

Aktiviti

Aktiviti
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday50
mod_vvisit_counterYesterday47
mod_vvisit_counterThis week97
mod_vvisit_counterLast week533
mod_vvisit_counterThis month293
mod_vvisit_counterLast month3094
mod_vvisit_counterAll days24344