Skip to content

Sukarelawan Malaysia

Pak
Posted by Dr. Azizan Bahari   
Wednesday, 05 May 2010 06:39

Setiap kali datang berita

Penat menyerangmu

Hatiku risau

Apakah ini saat-saatnya?

Atau suatu kebiasaan jua

Seperti tahun-tahun sebelumnya?

 

Sesekali bila tanganmu kujamah

Terasa betapa longlai sebatang tubuh

Yang dulunya merajai kampung

Peneroka bukit belantara

Peranduk sungai dan paya

 

Dan bila dadamu kuurut

Terasa hilang segala daya

Kelantangan seorang penghujah

Ketajaman deria polis tentera

Ketangkasan seorang guru silat

 

Pak,

Di sekitar ini tiada siapa mengenalimu

Seperti kau yang jahil tentang mereka

Kau harus memendamkan suatu sejarah menarik

Zaman kanak-kanak penuh adventure

Idealisme politik usia-usia muda

Teologi protes ketika dewasa

 

Siapa menyangka?

Di katil bertemankan tangki-tangki oksigen itu

Terbaring seorang bekas bomoh

Guru agama Kaum Baru

Dan pembaca Quran amat teliti

 

Kau juga cepat berang, pak

Seperti arwah bapamu

Lantang suara menggegar kampung

Angin ribut bertukar hala!

 

Kau perengus

Beliak matamu menggerunkan semua

 

Kau lelaki cauvinis

Kesetiaan mak sampai ke tua

 

Cuma, di sebalik kekasaran

Kau diingati

Anak-anak resah bertanya kabar

Teman-teman gelisah di warung kopi

Kucing-kucing kesayangan mundar-mandir

Mak di rumah muram sunyi

 

Betapa kami mengharapkan kehadiranmu selalu

Berbicara politik oportunis

Menyoal fahaman sempit

Sambil marah-marah dan ketawa

 

Kau akan kembali bangkit, pak

Menerajang menempik seperti biasa

Tidak mahu mengalah

Pantang menyerah

Meski tubuh semakin kehilangan kudrat

Dan denyut nadi semakin lambat

 

(1993)

 

Aktiviti

Aktiviti
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday50
mod_vvisit_counterYesterday47
mod_vvisit_counterThis week97
mod_vvisit_counterLast week533
mod_vvisit_counterThis month293
mod_vvisit_counterLast month3094
mod_vvisit_counterAll days24344