Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Belia-Pelajar Dalam Gerakan Sukarela – Suatu Refleksi Sejarah
Belia-Pelajar Dalam Gerakan Sukarela – Suatu Refleksi Sejarah
Written by Dr. Azizan Bahari   
Monday, 02 March 2009 07:08

Azizan Bahari, Ph.D

Universiti Utara Malaysia


1 PENGENALAN

Kesukarelawanan suatu skop yang luas – ia melibatkan penyertaan aktif anggota-anggota masyarakat dalam pelbagai bidang kehidupan (pendidikan, ekonomi, ketatanegaraan, keagamaan, hak-hak asasi manusia, kepenggunaan, alam sekitar, kepekaan gender, kebajikan, belia, dll.)

Meninjau beberapa aspek penting kesukarelawanan seperti teori dan konsep, prinsip dan etika, makna dan matlamat, pembangunan dan pengurusan sukarelawan, pertubuhan dan pergerakan sukarela, dan sebagainya itu boleh memberi banyak pengajaran tentang kepentingan, relevansi, sumbangan dan potensi kerja sukarela dalam masyarakat.

Namun, bagi kalangan generasi muda, mengimbas kembali perkembangan gerakan belia-pelajar dalam sejarah (kita) bukan sekadar suatu pengalaman pembelajaran, tetapi juga suatu proses kesedaran (penginsafan?) yang dinamik yang mampu mencetuskan keiginan untuk bersedia ke tengah gelanggang dan menyumbang!

Oleh itu pembentangan saya akan memfokus kepada perkembangan gerakan belia-pelajar kita dalam sejarah – isu-isu dan persoalan yang menyentuh nurani mereka, sikap dan penglibatan mereka, serta perspektif dan orientasi kepimpinan mereka.

2 BELIA DAN PELAJAR DALAM MASYARAKAT

Siapakah belia-pelajar dalam masyarakat? Di mana-mana, belia-pelajar merupakan sebahagian integral masyarakat (yakni, sebahagian yang tak terpisahkan). Generasi muda turut merasa dan mengalami apa yang dialami masyarakat. Ya! Mereka turut gembira atau kecewa bersama masyarakatnya, justeru turut terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi kepentingan masyarakat dan negaranya.

Penampilan orang-rang muda secara lantang, malah disebut radikal, dalam isu-isu kemasyarakatan dikatakan mungkin didorong oleh perubahan dan pergolakan pscho-biological yang dialami di tahap perkembangan mereka.

Keinginan, malah keterlibatan generasi muda dalam hal-hal kepentingan masyarakat ini juga dikatakan didorong oleh naluri ingin berkhidmat/melakukan kebaikan kepada masyarakat (altruisme), dan juga oleh sikap keperihatinan sosial yang terjana dari didikan (nurture), proses sosialisasi, dan nilai-nilai kebersamaan dalam sesuatu kolektiviti.

Generasi muda rata-ratanya mempunyai idealisme yang mendorong mereka untuk tampil melahirkan isi hati dan menolak dasar dan amalan yang dilihat sebagai merugikan masyarakat. Selain itu, melalui penglibatan mereka generasi muda ini juga mahukan penghargaan dan pengiktirafan daripada masyarakat. They want to be counted, not ignored!

Dengan bilangan mereka yang ramai – di negara kita di sekitar 40% daripada jumlah penduduk, sebagai contoh – belia-pelajar dan pertubuhan mereka jelas merupakan tenaga besar dan penting bagi sesuatu perubahan sosial. Golongan-golongan lain, termasuk pemerintah, melihat mereka sebagai vehicle dan saluran yang berkesan ”untuk menyebarkan nilai-nilai moden dan penghaluan sistem ekonomi”, sebagai tempat melatih bakal-bakal pemimpin, sebagai alat perhubungan atau juga selaku pihak yang berpengaruh dalam masyarakat…


3 PENGLIBATAN DAN SUMBANGAN GENERASI MUDA

Penglibatan dan sumbangan generasi muda jelas kelihatan di mana-mana di sekeliling kita. Sekadar beberapa contoh:

  • Di negara Thai pada awal 1970-an, gerakan belia-pelajar (bermula dari Universiti Thammasat dan Chulalongkorn dan lain-lain) berjaya menjatuhkan rejim tentera Thanom Kittikachorn (serta besannya Praphat dan anak lelakinya Narong) kerana isu rasuah. Begitu juga sebelumnya (1957), para pelajar yang bermula dari Universiti Chulalongkorn bangkit sehingga menumbangkan Kerajaan Phibun Songkaram atas isu yang sama (rasuah pihak kerajaan) dalam pilihanraya sebelumnya. Dewasa ini, amat ketara jatuh-bangun sesebuah kerajaan Thai kelihatan sering dipengaruhi oleh tindakan pengemblengan tenaga belia-pelajar dan pihak-pihak yang sehaluan dengannya dalam masyarakat.

  • Di Indonesi sebelum merdeka (1908-1927) sekumpulan pelajar menaja gerakan Boedi Oetomo (Budi Oetomo) atau Usaha Suci yang kemudiannya melahirkan Sumpah Pemuda (1928) yang terkenal itu … nasionalisme Indonesia menentang penjajahan Belanda. Gerakan pelajar jugalah yang melahirkan tokoh nasionalis Soekarno dan Hatta. Semasa Gerakan GESTAPO 1965 yang menjatuhkan pemerintahan Soekarno-Hatta, dan gerakan Reformasi di lewat 1990-an yang menumpaskan rejim General Soeharto berikutnya, juga menyaksikan peranan aktif golongan belia-pelajar.

  • Di Filipina, gerakan pelajar dan belia juga bangkit menggugat Rejim Ferdinand Marcos sehingga memaksa beliau mengisytiharkan Undang-Undang Tentera (1972) yang akhirnya dibenci rakyat dan turut menamatkan pemerintahannya.

Demikianlah di mana-mana… Belia-pelajar yang berpotensi itu muncul bersendiri atau ditaja pemerintah untuk memainkan peranannya dalam sejarah – KOMSOMOL (Liga Belia Komunis) selaku front pemuda komunis di Soviet Union (1918), Hitler Youth Movement di German (1936), gerakan belia-pelajar Cuba pimpinan Jose Antonio Echeverria yang menentang rejim tentera General Batista (yang disokong Amerika Syarikat) (1950-an), Zengakuren di Jepun (lewat 1960-an), etc.


4 GERAKAN SUKARELA BELIA-PELAJAR SEBELUM MERDEKA

Di negara kita pertubuhan-pertubuhan belia formal mulai wujud pada zaman penjajahan British di sekitar awal abad ke 20. Pertubuhan-pertubuhan belia keagamaan-sosial seperti Young Men’s Christian Association dan YoungWomen’s Christian Association masing-masingnya diperkenalkan pada 1905 dan 1914 oleh pegawai-pegawai kolonial British di Malaya. Sebagai cawangan-cawangan YMCA dan YWCA Antarabangsa yang berpusat di Barat, pertubuhan-pertubuhan ini diwujudkan ketika itu untuk tujuan-tujuan kebajikan, riadah, keagamaan, dan ketaatan kepada pemerintah.

Di sekitar masa yang yang sama pertubuhan-pertubuhan beruniform juga ditubuhkan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Pasukan St.John Ambulans yang bergiat dalam perkhidmatan pertolongan cemas diperkenalkan dalam tahun 1908. Pasukan Pengakap bermula di sini pada 1910, manakala Pasukan Pandu Puteri pada 1917. Pertubuhan-pertubuhan beruniform ini juga bertujuan menanam semangat kesukarelawanan dan tolong-menolong, disiplin diri, dan kebajikan dalam kalangan pelajar sekolah.

Selain pertubuhan-pertubuhan di atas penjajah British juga menggalakkan pertubuhan-pertubuhan belia lain dalam kegiatan-kegiatan berbentuk sosial, riadah dan kebajikan sebagai suatu mekanisme pengawalan (control mechanism) ke atas anak-anak muda agar tidak terlibat dalam gerakan dan kegiatan politik yang boleh mencabar kekuasaan kolonial.

Hal ini ternyata sangat penting di sekitar 1930-an dan 1940-an apabila perjuangan antipenjajahan oleh gerakan reformis Islam, gerakan sosialis serta politik kiri, dan gerakan nasionalis menjadi lebih popular dan kuat. Penjajah bimbang kalau-kalau gerakan ini berjaya mempengaruhi lebih ramai orang-orang muda.

Dalam konteks ini tidak hairanlah jika belia yang mempunyai semangat juang, idealisme dan potensi politik yang besar dilihat sebagai problematic group oleh penjajah. Penjajah sedar bahawa golongan muda ini perlu diawasi, dipantau, malah dikawal agar tidak lebih mengancam mereka.

Namun ini tidak bererti semua pertubuhan belia diwujudkan dengan pengaruh dan campurtangan penjajah. Terdapat pertubuhan-pertubuhan yang diusahakan sendiri oleh anak-anak muda tempatan seperti Persatuan Keharapan Belia dan Kelab Lubok di Johor, Ikatan Pemuda Pelajar (1929), Kesatuan Melayu Muda (1937) dan Gabongan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (1948).

Dengan kuasa di tangan mereka, dan sesuai dengan sifat (nature) penjajahannya maka penjajah terus mengawaasi kemunculan dan kegiatan pertubuhan-pertubuhan rakyat (termasuk belia-pelajar) di negara ini. Pertubuhan dan pergerakan yang dianggap boleh membahayakan kedudukannya akan ditekan, malah diharamkan. Kesatuan Melayu Muda yang aktif memperjuangkan isu-isu politik orang Melayu dianggap “duri dalam daging” yang mesti dikuburkan. Pelbagai tekanan dikenakan terhadap KMM termasuk penahanan pemimpin-pemimpinnya.

Dengan perisytiharan Darurat antiKomunis oleh penjajah pada 1948 dan dengan suasana darurat berterusan sehingga 1960 maka proses pengawasan dan kawalan terhadap pertubuhan dan pergerakan sukarela berterusan sepanjang 1950-an dan menjangkau era pascakolonial.

Salah satu cara kawalan mereka ialah menggalakkan penubuhan pertubuhan-pertubuhan belia dan menyalurkan bantuan moral-material bagi mengadakan kegiatan-kegiatan yang disifatkan “membina” (konstruktif). Umum mengetahui bahawa dengan proses penubuhan, pentadbiran dan kegiatan pertubuhan belia secara rasmi dan tertakluk kepada karenah birokrasi pemerintah, maka pertubuhan belia lebih mudah diawasi, dikawal dan didisiplinkan, justeru bukan lagi bersifat sukarela sebenarnya. Pertubuhan belia dan pemimpin mereka juga diberi pengiktirafan dalam pelbagai bentuk dan, secara sedar atau tidak, diserap (incorporated) ke dalam proses politik dan pentadbiran penjajah.

Begitu juga, sehubungan itu, suatu struktur dan rangkaian organisasi belia diperlukan bagi memudahkan pengurusan, pemantauan dan kawalan. Seperti juga mereka mengadakan badan penyelaras belia di Britain, di Malaya sebuah badan induk – Majlis Belia Malaya (ketika itu) – selaku badan induk menggabungkan dan menyelaraskan pertubuhan-pertubuhan belia di negara ini ditubuhkan pada 1948, dan dirasmikan pada September 1950.

Ekoran itu majlis-majlis belia negeri yang lain turut diwujudkan, manakala di peringkat kerajaan, Bahagian Perkhidmatan Belia diadakan di bawah Kementerian Kebajikan Sosial pada 1953 selaku penasihat dan perunding dalam hal-ehwal belia.

Pengawasan, kawalan dan proses inkorporasi pertubuhan belia berterusan sehingga menjelang kemerdekaan. Akibatnya pergerakan belia lebih berbentuk suatu appendage kepada jentera pemerintahan negara.

Di sekitar kemerdekaan peranan beberapa orang pemimpin sayap pemuda parti-parti politik kelihatan lebih menonjol dalam pergerakan belia kebangsaan. Perhubungan mereka dengan pemerintah (penjajah) bersifat simbiotik, yakni saling memerlukan dan mendapat faedah. Bagi pemimpin belia ia boleh dilihat sebagai suatu keperluan untuk mengkosolidasikan kedudukan dan pengaruh politik mereka, manakala bagi pemerintah ia penting untuk terus memantau dan mengawal belia.

Keadaan sedemikian tidak syak turut membentuk “ideology” dan orientasi pergerakan belia sehingga melampaui era penjajahan itu sendiri. Dari perspektif ini tidak hairanlah jika pergerakan belia arus utama tidak berupaya menjadi suatu tenaga yang bebas, kuat dan berpengaruh.


5 GERAKAN BELIA-PELAJAR MALAYSIA 1957-1969

Kemerdekaan pada 1957 membawa situasi dan cabaran-cabaran baharu kepada negara. Tumpuan utama ketika itu ialah membina tapak pemerintahan sendiri (indigenous rule) yang kuat agar kemerdekaan yang dicapai itu dapat diisi sebaiknya dan negara seluruhnya tidak tergugat oleh sebarang ancaman atau kuasa lain.

Dalam arus kemerdekaan ini pergerakan belia yang selama ini berada di bawah naungan (patronage) penjajah juga mencuba mencari identiti baru. Pergerakan sedar bahawa ia perlu menentukan dan memainkan peranan baharu selaras dengan tuntutan masyarakat dan negara. Dalam kata lain, ia perlu memberi makna kewujudannya di dalam sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Namun, dari segi dasar dan program tidak banyak yang dilaksanakan oleh pergerakan belia ini. Pergerakan dibelenggu oleh hal-hal dalaman dan modus operandi seperti menyelesaikan masalah pentadbiran, kakitangan, perlembagaan, dan sebagainya. Kegiatan rata-ratanya masih bersifat riadah dan “mengisi masa lapang” sahaja. Kekecualian dalam hal ini terdapat dalam kalangan pelajar-pelajar universiti yang ternyata semakin aktif di sekitar 1960-an apabila isu-isu penting ekonomi, politik dan sosial semakin giat diperjuangkan.

Mulai 1965, sebagai contoh, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya mulai aktif menganjurkan forum-forum seperti tentang “Soal Ekonomi Bumiputra”, “Faham Nasionalisme Malaysia”, “Peranan Intelektual Melayu” dan “Mengenai Bangsa Melayu Mundur”. Majlis-majlis perbincangan juga diadakan di luar kampus seperti dalam membincangkan isu penubuhan Universiti Kebangsaan. Keadaan ini dikatakan kerana pengaruh kehadiran pelajar-pelajar Melayu yang semakin bertambah ketika itu (mereka umumnya dari latar belakang kampung yang miskin).

Pelbagai isu lain turut diketengahkan oleh pelajar sehingga memungkinkan tertubuhkan Speaker’ Corner atau Sudut Pidato di Universiti Malaya pada Mei 1966 di mana para pelajar mempunyai lokasi khas di tengah-tengah kampus di Lembah Pantai itu untuk berkumpul dan melahirkan perasaan dan sikap mereka tentang pelbagai isu semasa.

Pada 1967, sempena 10 tahun merdeka, PBMUM menganjurkan Simposium Masalah Penduduk Luar Bandar. Perkara-perkara penting berhubung ekonomi desa, pembahagian tanah, kesihatan, persekolahan anak-anak Melayu petani, dan sebagainya mendapat perhatian khusus simposium. Ini diikuti pula oleh peristiwa klasik dalam sejarah kebangkitan kaum tani Melayu – Peristiwa Telok Gong – pada 1967 apabila pemimpin petani-petani Melayu, Hamid Tuah, dan beberapa orang pengikutnya ditangkap pihak berkuasa kerana dituduh meneroka tanah secara haram di Telok Gong, Selangor. Peristiwa ini memperlihatkan kebangkitan pelajar pimpinan PBMUM dan PMUM mengutuk dan mencabar Kerajaan Selangor yang dianggap berlaku zalim dan tidak berperi kemanusiaan terhadap para petani yang tidak bertanah.

Isu-isu lain turut mendapat perhatian pelajar. Dasar Pelajaran Kebangsaan, Kempen Pilihanraya, Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Kampus, Peristiwa 13 Mei 1969, dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Pindaan 1975, semuanya sudah terpahat menjadi sebahagian sejarah gerakan pelajar Malaysia.


6 GERAKAN BELIA-PELAJAR 1970-AN

Peristiwa berdarah 13 mei 1969 turut memberi kesan meluas terhadap gerakan belia-pelajar. Peristiwa yang mempersoalkan keseluruhan falsafah dan halatuju negara itu turut memaksa belia merenung kembali ke dalam diri mereka serta memikirkan kembali peranan belia dalam konteks pembinaan sebuah masyarakat yang adil, stabil dan sejahtera.

Ekoran perkembangan gerakan pelajar di atas maka dekad ini dari awalnya melihat sumbangan pelajar kepada perkembangan aktivisme gerakan belia tanahair. Pertubuhan-pertubuhan pelajar seperti Gabongan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung, Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia, dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia yang keseluruhannya menggabungkan hampir kesemua persatuan pelajar di maktab dan universiti kita ketika itu ternyata lebih articulate tentang pelbagai isu, mengemukakan idea-idea dan komentar yang bernas, serta mula mendapat tempat dalam pergerakan belia pimpinan MBM. Begitu juga peranan aktif turut dimainkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia dan Young Christian Workers dalam isu-isu sosial semasa. Secara kolektif pertubuhan-pertubuhan belia-pelajar ini telah memberikan nafas dan daya intelektual kepada pergerakan belia kita.

Di sini harus diingat bahawa selain faktor-faktor sosial (termasuk ekonomi) dan politik dalam negeri yang digambarkan di atas, aktivisme pelajar dalam isu-isu berkenaan juga dipengaruhi oleh arus perkembangan dan situasi antarabangsa seperti yang dimanifestasikan oleh gerakan-gerakan anti-Perang Vietnam (yang dilancarkan Amerika Syarikat), “student power”, dan juga protes pelajar terhadap establishment di Eropah, Jepun, Amerika Latin dan Amerika Syarikat.

Serentak dengan pelbagai pertubuhan dan gerakan mempersoalkan asas-asas dan arahtuju negara, pergerakan belia turut bangkit dengan pelbagai isu yang mencakup kepentingan-kepentingan belia dan masyarakat luas. Isu-isu yang dimaksudkan ini meliputi soal penyertaan belia dalam proses membuat keputusan (dan dasar-dasar negara), kebebasan dan autonomi pergerakan belia, nilai-nilai moral dan spiritual masyarakat, demokrasi, pengagihan kekayaan negara secara adil, penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin dan pentadbir, perhubungan yang adil dan saksama antara negara, serta soal pencerobohan dan jenayah kuasa-kuasa imperialis, Zionis Israel dan sekutu-sekutu mereka terhadap rakyat dan negara-negara di pelbagai benua, dan sebagainya.

Perlu dinyatakan bahawa pergerakan belia (khususnya para pemimpinnya) berbangga dengan sifat vokal serta kebebasan relatif mereka daripada ikatan atau naungan politik kepartian. Mereka, khususnya pemimpin Majlis Belia Malaysia, cuba mempertahankan kebebasan ini kerana beranggapan itulah cara terbaik untuk menyuarakan dan mewakili kepentingan belia dan masyarakat luas tanpa terpaksa tunduk pada kepentingan pihak tertentu. Walau bagaimanapun, ini tidak bererti pemimpin-pemimpin berkenaan tidak aktif atau tidak menyertai mana-mana parti politik. Sebahagian mereka aktif dan menyandang jawatan, tetapi kegiatan politik kepartian ini tidak ditonjolkan di medan gerakan belia.

Dekad 1970-an mesti direkod sebagai dekad aktivisme gerakan belia dalam pelbagai bidang. Peristiwa Tunjuk Perasaan Pelajar-Belia pada 3 Disember 1974 kerana menyokong tuntutan kenaikan harga getah oleh pekebun-pekebun kecil getah di Baling, Sik dan utara Perak merupakan satu contoh klasik. Peristiwa itu menyebabkan beberapa orang pemimpin belia-pelajar (dan juga tenaga akademik) ditahan polis dan kemudiannya turut memaksa perpecahan Majlis Belia Malaysia dalam 1975.

Penubuhan ”parlimen belia” Majlis Perundingan Belia Negara, deraf awal Dasar Belia Negara, kerja-kerja persiapan bagi penubuhan Yayasan Belia Malaysia, rancangan penubuhan Pusat Belia Antarabangsa, penubuhan Committee for ASEAN Youth Cooperation, dan sebagainya itu, semuanya berlaku dalam dekad ini. Pergerakan belia negara ini muncul sebagai tenaga yang disegani bukan sahaja di dalam negeri, tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.


7 GERAKAN BELIA-PELAJAR 1980-AN DAN SETERUSNYA

Setelah kira-kira dua dekad menghadapi pelbagai persoalan, cabaran dan ujian dan melihat hasil-hasil yang tercapai sehingga ini maka gerakan belia-pelajar semakin yakin bahawa ia sudah diterima dan diiktiraf sepenuhnya oleh kerajaan dan masyarakat umum. Kesan-kesan daripada Dasar Ekonomi Baru yang terlaksana sepanjang dekad sebelumnya juga dirasakan memanfaatkan masyarakat umum, termasuk golongan belia, dalam pelbagai bentuk. Keadaan ini barangkali turut membuat belia umumnya lebih selesa (complacent) dengan keadaan.

Dalam kalangan pemimpin belia kebangsaan dan bekas aktivis pelajar, termasuk mereka yang kuat mengkritik establishment, parti-parti politik pemerintah diterima sebagai platform baharu yang wajar digunakan untuk meneruskan kegiatan. Ini boleh difahami kerana gerakan belia selaku gerakan pendesak sahaja tanpa kuasa dan kedudukan untuk melaksanakan agenda dilihat sebagai mempunyai keterbatasannya. Penyertaan high profile dan keaktifan beberapa orang pemimpin ini di dalam parti-parti politik berkenaan membantu mewajarkan (memberi justifikasi kepada) dasar-dasar dan agenda pemerintah di mata belia umum. Di sini, proses penyerapan atau inkorporasi gerakan belia arus utama (mainstream) ke dalam sistem tadbir urus negara yang disebutkan tadi boleh dikatakan tiba ke kemuncaknya! Inisiatif semakin diambilalih oleh kerajaan, sedangkan peranan dan pengaruh gerakan sukarela, termasuk belia, kelihatan semakin terbatas.

Sebahagian pemimpin belia berpendapat bahawa kerajaan kini mengambil kira persoalan-persoalan yang dibangkitkan belia. Malah ada antara mereka yang menyatakan bahawa ”zaman pergerakan belia sebagai kumpulan pendesak (pressure group) sudah berakhir”. Apa yang dituntut sekarang, tambah mereka, ialah ”tindakan-tindakan konkrit di pihak belia sendiri bagi mengisi slogan-slogan dahulu”.

Rata-rata pemimpin belia dan pelajar kelihatan semakin cenderung kepada politik kepartian. Pemimpin-pemimpin utama pergerakan belia juga kelihatan berlumba-lumba mencipta ruang-ruang baru (tentunya secara lebih kreatif!) untuk menempatkan diri di kedudukan strategik agar lebih hampir dengan the corridor of power. Tidak cukup dengan jawatan politik dan pentadbiran yang tinggi, contohnya, ada yang bertekad dan akhirnya berjaya menguasai kepimpinan tinggi dalam pergerakan belia. Ini tidak syak kerana prospek masa depan yang cerah yang dijanjikan. Pergerakan belia-pelajar dilihat mereka lebih sebagai suatu platform untuk mobiliti sosial, khususnya ekonomi dan politik; persoalan untuk kepentingan belia dan masyarakat luas seperti dalam dekad-dekad yang dibincangkan tadi agak samar-samar.

Inisiatif bagi pelbagai program diambil oleh pihak berkuasa dengan peranan belia yang terhad. Pergerakan belia meneruskan program-program biasa yang tampaknya lebih banyak publisiti berbanding usaha dan hasil yang konkrit. Demikian boleh dipersoalkan, umpamanya, apakah terjadi kepada Pelan Bertindak 10 Tahun Belia Malaysia yang diisytiharkan MBM?

Dalam masa yang sama, afluen ekonomi yang dicapai negara mencetuskan nilai-nilai dan gaya hidup baharu dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Apa yang dikatakan gejala sosial semakin menyelinap ke dalam kehidupan, menimbulkan cabaran-cabaran baharu yang menuntut ditangani sebaiknya. Namun, jurang yang wujud di antara pergerakan belia dengan golongan remaja-belia, dan hakikat bahawa pergerakan semakin kurang mampu menggarap sentimen dan trend baharu dalam kalangan remaja-belia serta faktor-faktor yang mempengaruhi nilai, sikap dan amalan baharu mereka, menyulitkan keadaan. Sehubungan itu, seperti pemimpin-pemimpin lain masyarakat, para pemimpin dan pekerja belia juga lebih banyak melahirkan keresahan dan kebimbangan terhadap trend remaja-belia itu tanpa mengemukakan idea-idea bernas untuk menghadapi keadaan.

Sikap kalangan pemimpin belia di atas barangkali turut dipengaruhi oleh preoccupation masyarakat dan negara ketika itu. Di sana-sini topik utama ialah pembangunan ekonomi, perindustrian, pembinaan infrastruktur, peluang-peluang baharu dan sebagainya. Kesenangan material dan gaya hidup mewah semakin menjadi sasaran baharu kehidupan.

Begitu juga pemodenan negara dengan perubahan pantas yang berlaku sedang masyarakat rata-ratanya tidak memahami keadaan dan implikasi-implikasinya, serta tidak mempunyai sense of control terhadap perkembangan ini, tambah menyulitkan keadan dan turut menyumbang kepada ketidaktentuan hala dan sikap pimpinan belia rata-ratanya.

Di lewat 1990-an, ekoran kegawatan ekonomi dan konflik politik, pergerakan belia mainstream tetap menjarakkan diri dari remaja-belia yang mahukan reformasi dalam tadbir urus negara, sistem kehakiman, ketelusan pemimpin dan pentadbir, serta peranan media dan instrumen-instrumen lain negara. Sesetengah pemimpin pergerakan turut mengkritik trend remaja-belia ini dan ini menjadikan pergerakan lebih terpencil dari arus baru yang semakin berkembang itu.

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menimbulkan saluran dan media alternatif bagi masyarakat, khususnya golongan remaja-belia-pelajar. Media dan instrumen-instrumen konvensional tidak lagi mempunyai monopoli dalam mempengaruhi dan membentuk nilai, persepsi dan sikap generasi muda. Pilihanraya Umum Ke-12 pada 2008 yang menyaksikan peralihan kerajaan di beberapa negeri terkaya di Malaysia Barat mengejutkan banyak pihak dengan reaksi mereka yang pelbagai, termasuk persoalan cepu emas ”bagaimana memenangi kesetiaan dan sokongan remaja-belia terhadap pemerintah?”


8
KE MANA GERAKAN BELIA-PELAJAR SELANJUTNYA?

Kertas ini diakhiri dengan beberapa soalan yang mungkin dapat memberi petunjuk kepada perkembangan selanjutnya.

Ke mana gerakan belia-pelajar kita seterusnya? Soalan ini perlu dijawab oleh golongan belia-pelajar sendiri. Seperti dalam sejarah sejak berdekad lalu, belia-pelajar sendiri muncul untuk mengambil sikap dan menentukan agenda mereka. Faktor-faktor sekeliling dan luar, hatta peraturan-peraturan serta sistem kawalan yang ketat oleh pihak berkuasa penjajah sekalipun tidak semestinya terlalu invincible sehingga mustahil dibolosi.

Adakah gerakan belia-pelajar hari ini peka, prihatin dan terlibat dalam isu-isu kepentingan bersama? Dari suatu sudut orang boleh menjawab ”ya!” kerana sukar dibuat perbandingan antara dahulu dan sekarang disebabkan oleh faktor-faktor persekitaran dan suasana yang berbeza. Apa yang dianggap penting, serta pendekatan dan cara, juga berbeza antara zaman dan generasi. Yang lebih utama ialah bagi belia-pelajar sendiri untuk melakukan refleksi diri, mengadakan soul searching, bagi menentukan sikap dan pendirian mereka berhubung kepentingan masyarakat dan negara. Yang pokok ialah iltizam dan sumbangan belia-pelajar kepada proses pembangunan, ketahanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

Soalan lain yang berkaitan ialah apakah peranan atau misi belia-pelajar dalam konteks perkembangan semasa dan masa depan kita bersama? Seperti dicatatkan di atas, soalan ini telah dijawab dalam pelbagai cara dan bentuk oleh belia-pelajar dahulu dengan segala kehebatan dan keterbatasannya. Belia-pelajar hari ini juga perlu terus meneliti hal ini bukan sahaja kerana makna yang terkandung di dalamnya bagi diri individu belia-pelajar sendiri, tetapi juga bagi survival kelangsungan kehidupan bermasyarakat kita dan ketamadunan manusia.

(Kertas dibentangkan dalam Seminar Kesukarelawanan Kebangsrelawanaan 2009 (berthemakan “Mahasiswa dan Pembangunan Komuniti”) anjuran bersama Universiti Utara Malaysia, Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia, dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di UUM, 27 Feb - 1 Mac 2009)


Bahan-Bahan Rujukan

Azizan Bahari : (1999). Pergerakan Belia: Identiti dan Perjuangan. Dlm. Menoleh Sejarah Menyorot Arah. Siddiq Fadzil, Zambry Abd.Kadir & Azizan Bahari.

Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

 

Azizan Bahari : (1995). Belia dan Masyarakat.

Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar


Hussein Mohamed : (1986). Gerakan Belia di Malaysia.

Kuala Lumpur: Gateway Publishing House.


M.A. Fawzi Mohd. Basri : (1980). Pergerakan Belia di Malaysia, satu catitan ringkas mengenai perubahan dan perkembangan Majlis Belia Malaysia 1950-1980.


Muhammad Abu Bakar : (1973), Mahasiswa Menggugat.

Kuala Lumpur: Pustaka Antara

 

 

Aktiviti

Aktiviti