Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Luhur Akhlak (Integriti)
Luhur Akhlak (Integriti)
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 08 October 2010 02:02

Perkataan integriti kini merupakan sebahagian penting dalam kamus kehidupan kita. Sebuah institut khas ditubuhkan bagi menobatkannya. Pemimpin, mantan pemimpin, dan pegawai atasan tidak jemu-jemu dan silu-silu mengucapkannya di majlis perasmian, upacara konvokesyen, sidang Parlimen, majlis forum, dan sebagainya...

Menurut Syed Hussein al Atas, ahli sosiologi ulung negara kita (yang antara lain menghasilkan The Myth of the Lazy Natives [Mitos Peribumi Malas], Intellectual in Developing Societies, The Sociology of Corruption, Siapa yang Bersalah dalam Revolusi Mental) integriti ialah luhur akhlak (lawannya, luntur akhlak). Keluhuran (akhlak) harus merangkumi sifat-sifat dan budi pekerti yang jujur, ikhlas, telus (transparent), beretika, utuh, tinggi dan mulia.

Jika diperhatikan ternyata apa yang dikatakan luhur akhlak atau integriti dalam masyarakat kita menghadapi sakit yang tenat. Di pelbagai sektor dan peringkat nilai-nilai dan manifestasi kelunturan (juga kejatuhan) akhlak menonjol di depan mata.

Sebagai contoh, sudah menjadi rahasia umum betapa terdapat mereka yang bebas menggunakan pangkat atau gelaran anugerah dirinya sendiri! Ada pula yang tak berasa bersalah (sense of guilt) memakai gelaran doktor falsafah (Ph.D) atau sarjana dengan cara membeli sijil daripada agen atau syndicate yang pantas mengeksploit perasaan inferior atau kekurangan diri seseorang.

Contoh-contoh kejelikan dalam masyarakat ini boleh kita huraikan dengan bantuan teori-teori psikologi, sosiologi, ekonomi-politik serta fakta-fakta perubahan sosial pesat yang meletak premium tinggi kepada sesiapa yang ketagihkan pengiktirafan dan glamor. Dan dari sini kita mungkin bisa saja mengemukakan rasionel (rationale) atau justifikasi bagi ketelanjurannya, namun ini tetap sukar membersihkan diri mereka yang terang-terangan (secara sedar, conscious) memperalatkan kelemahan sistem demi posterity -- posteriti yang mungkin suatu liabiliti atau baggage bagi dirinya itu!

Demikian juga kita mendapati penciplakan (plagiarisme) berlaku, dan kita menyoal di manakah perginya segala nilai dan etika yang dipelajari dan yang diajarkan mereka kepada orang lain itu? Apakah mereka fikir pembaca dan pengkaji lain sebodoh mereka?

Mereka yang memakai gelaran Dato’, atau Dr. (Ph.D), atau penciplak (penjiplak) ini bukan dari spesis biasa dalam kalangan kita. Mereka kebanyakannya berpendidikan dan mempunyai kedudukan tinggi (yang turut memberikan ”kewajaran” bagi tindakan mereka itu!). Tetapi, semua itu ternyata belum cukup (memadai) buat mereka. Kerana kegelojohan atau status yang dikejar, maka mereka sanggup menipu dan memperbodohkan rakan-rakan dan masyarakat seluruhnya.

Di sini kita belum pun menyentuh tentang ”ibu bapa” bagi segala kelunturan akhlak iaitu rasuah yang berleluasa dan membudayai kehidupan pelbagai lapisan masyarakat kita kini...! Ya! ada orang dengan angkuhnya meletakkan tanda harga pada seseorang kerana bagi dia, kekuatan ringgitnya mampu membeli sesiapa saja! Dengan kedudukan, kuasa dan pengaruh di tangannya, yang lain dengan sombong menolak kemungkinan ada pihak yang boleh menggagalkan hasratnya. Apakah semua ini suatu pencapaian par excellence (yang mampu menandingi dunia!) dalam masa singkat pembangunan kita?

Dengan watak-watak dan perilaku demikian apakah pembangunan kita bukan suatu yang songsang? (Antara lain, pembangunan songsang menekankan aspek-aspek tertentu dalam hidup dan bersikap enteng atau ringan terhadap yang lain. Ia kurang memfokus kepada pembangunan sahsiah dan akhlak masyarakat dan oleh itu kesannya sudah tentu kecelaruan dan kontradiksi yang boleh diduga). Jika agenda pembangunan sebegini diteruskan maka apakan kita akan berupaya membina sebuah masyarakat yang berbudaya tinggi, punya ketahanan diri yang kuat, dan menjadi bangsa bertamadun seperti yang diinginkan?

Menanganinya menuntut komitmen dan kreativiti semua kita yang sedar dan memiliki keprihatinan (kepedulian) sosial. Kita terpaksa bekerja keras di bidang dan gelanggang kita masing-masing -- bekerja dengan segala kebijaksanaan selagi kudrat mengizinkan -- kerana kita akur hegemoni budaya dan sistem ekonomi-politik di depan kita bukan calang-calang. Ia sangat mencakup (overarching) dan mencengkam. Tetapi kita perlu menghadapinya jua. Kita tiada pilihan lain.

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti