Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Roh Universiti
Roh Universiti
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 08 October 2010 01:53

Memang menarik bila persoalan roh universiti (the soul of the university) dibangkitkan. Ia mengakurkan apa yang kita cuba cetuskan melalui kuliah dan perbincangan sejak bekerja di kampus dan semasa di depan khalayak. Persoalan itulah juga yang terus kita perkatakan kini..

Namun, perkara sebegini, apabila diungkapkan dari atas melalui majlis perasmian atau pelancaran dan dipersembahkan media, bunyinya seakan suatu perkara baharu yang tidak kita sentuh atau tercapai oleh imaginasi biasa kita!

Meskipun sasaran kenyataan sedemikian ialah segelintir kalangan pengurusan universiti yang katanya amat jarang bercakap tentang roh universiti ini (tetapi lebih memberi perhatian kepada soal-soal “kualiti” dan kebolehpasaran graduan universiti sahaja), yang bercakap ini seolah-olah lupa bahawa itulah perkara yang sering dicanangkan oleh kalangan pimpinan Negara sendiri sehingga pengurusan universiti terpaksa tunduk dan menyesuaikan dengan arahan, dan demikianlah sahut-menyahut burung kakaktua ini terdengar berulang kali sehingga melantun kembali ke bilik-bilik mesyuarat para pemimpin sendiri… Jadi, apakah sebenarnya yang dihairankan dan digundahgulanakan itu? Bukankah ini semua persis bapa borek anaknya rintik, atau ketam mengajar anaknya berjalan betul sahaja?

Mereka juga sering bercakap tentang “kecemerlangan universiti” dan tahap pencapaian “bertaraf dunia”. Kecemerlangan, taraf, piawaian dan penanda aras untuk apa dan siapa sebenarnya tidak pula jelas. Dari penglihatan mereka universiti-universiti tertentu kita (dan juga di tempat-tempat lain) kurang atau bawah standard. Sesetengah mereka bercakap dan berlagak bagaikan agen-agen pemodal/korporat dengan cliché “keperluan pasaran”.

Sehingga kini, jika ada pun segelintir antara kita yang cuba mempersoalkan hal-hal falsafah dan misi sebenar universiti, mereka sering dipandang sinis, dan hujah-hujah mereka tak disambut. Suara intelektual dan ilmuwan malahan begitu asing di daerah-daerah ilmu kita. Menjadi rahasia umum bagaimana sesetengah pihak mencurigai kaum intelektual, kecuali yang dianggap semazhab atau agak sebulu dengan mereka.

Mereka barangkali kurang meninjau teks dan kenyataan oleh beberapa ilmuwan dan intelektual awam kita. Sekadar satu contoh, dalam Persidangan Universiti dan Tradisi Intelektual pada 24-25 September 1996 di Kuala Lumpur (yang saya sendiri terlibat mengendalikannya) orang boleh mengikuti dan membaca (antara yang tersurat dan tersirat) pandangan dan hujah sebahagian ilmuwan-intelektual nusantara kita dan mereka pasti mendapat mesej yang jelas tentang persoalan fundamental dan raison-de-etre universiti itu. Namun sejauh manakah semua ini mendapat respons sewajarnya kalangan pimpinan Negara dan masyarakat kita?

Maka demikianlah kita mensia-siakan idea dan sumbangan tokoh-tokoh kita seperti Renato Constantino, A. Rahman Embong, Wazir Jehan Karim, Syed Hussein Al-Atas, Muhammad Abu Bakar, Arief Budiman, Ahmat Adam, Wan Abdul Manan Muda, dan lain-lain, sekadar beberapa nama, meskipun mungkin akur akan kekuatan dan kerelevanannya bagi pembangunan dan kebaikan kita. Barangkali sesetengah kita masih dengan sikap lama (“purba”?) “mendengar apa yang mahu didengar”, atau “mendengar apa yang kita cakap” sahaja yang ternyata tidak membawa kita (sebagai sebuah masyarakat) jauh ke mana.

Roh universiti, misi sebenar universiti, raison-de-etre universiti, etc.… seharusnya mendapat maknanya dan bertapak, memekar dan berkembang dari situasi konkrit, imaginasi dan kreativiti masyarakat itu sendiri. Tidak cukup dan tidak bijak sekadar meniru orang, kita harus jujur dan jelas dengan realiti dan keutamaan kita, harus berani berdepan dengan masyarakat sendiri dan bersama-sama berganding dan melonjak ke hadapan..

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti