Skip to content

Sukarelawan Malaysia

Praxis
Written by Dr. Azizan Bahari   
Thursday, 05 August 2010 01:14

Mengkritik dan menganalisis diri, yakni melalui proses refleksi (muhasabah diri) tentang sesuatu sikap dan keseluruhan pendekatan dan cara mengerjakan sesuatu, menilai pro-kontranya (sikap dan tindakan kita itu), menghuraikan kekuatan-kelemahan diri, meneroka potensi dan sumber-sumber diri, serta menjangka kemungkinan-kemungkinan baharu yang boleh dicetuskan kelak jika berpeluang mengerjakan sesuatu lagi, adalah suatu amalan yang sangat membantu.

Ia bukan sekadar post-mortem tentang tugasan atau tindakan, tetapi turut meliputi engagement dengan diri secara rigor dan mendalam. Dengan demikian keseluruhan keupayaan diri – sikap, tindakan, perasaan, fikiran, kekuatan-kelemahan, bakat dan kebolehan, keinginan dan azam – dapat dikenal pasti dan seterusnya mampu dipertingkatkan.

Refleksi harus diikuti dengan amalan (praktis atau tindakan). Amalan selepas refleksi ialah amalan yang seharusnya lebih mantap. Ini kerana ia mendapat manfaat daripada analisis dan rumusan semasa proses refleksi tadi. Dalam kata lain, jika kita berpeluang mengerjakan sesuatu sekali lagi maka rumusan dan hasil kritik diri tadi dapat cuba diterjemahkan dalam tindakan konkrit (real) dan berupaya memberikan dampak lebih baik.

Praxis atau proses refleksi + amalan (praktis, atau tindakan ekoran refleksi tadi) yang dilakukan secara cyclical (yakni berulang kali menyerupai suatu kitaran, dengan setiap ulangan kitaran memperlihatkan peningkatan kualiti tindakan dan kesannya) merupakan suatu jaminan pembangunan diri, melestarikan diri dan memungkinkan diri sentiasa relevan.

Ringkasnya, perkataan praxis mula digunakan Aristotle, dan kemudian diadaptasikan oleh Karl Marx muda sebagai amalan (practice), yakni suatu gabongan (fusion) teori dan tindakan revolusioner. Praxis ditakrifkan oleh Paulo Freire (di dalam bukunya, Pedagogy of the Oppressed, atau terjemahan Melayu Pedagogi Kaum Tertindas), sebagai ”refleksi dan tindakan terhadap dunia untuk menukarkannya” (yakni, merobah dunia). Bagi Freire, melalui praxis golongan yang ditindas atau dipinggirkan mendapat kesedaran kritikal tentang kedudukan dan keadaan mereka dan, bersama-sama sekutu-sekutunya, bergerak ke arah pembebasan!

Dalam kerja dan kehidupan kita praxis atau gabongan refleksi dan amalan ini suatu konsep yang dapat membantu dan cukup bererti. Tanpa refleksi atau muhasabah diri, tanpa selalu mengimbas kembali segala kelemahan, kekurangan dan potensi diri, bagaimana mungkin kita berjaya dan mara ke hadapan? Tanpa cuba mengamalkan apa yang terumus daripada imbasan kembali dan analisis, bagaimana mungkin kita menjadi bertambah baik dan berkesan?

Praxis wajar dibudayakan dalam kerja dan kehidupan kita. Ia mampu menjanjikan kemantapan dan keberkesanan diri.

 

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti