Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Hidup Bermaruah
Hidup Bermaruah
Written by Dr. Azizan Bahari   
Saturday, 03 July 2010 03:09

Hidup bermaruah bererti hidup dengan prinsip yang teguh dan rela dengan apa jua kemungkinan kerananya. Hidup bermaruah bererti mempunyai keyakinan tinggi pada jalan yang dipilih serta sedia menghadapi segala dugaan, cabaran dan rintangan.

Ia kehidupan berpandukan nilai-nilai murni, yakni gagasan yang diterima dan memberi makna kepada kehidupan bermasyarakat. Ia bererti tidak bergelut dan berlumba-lumba mencari peluang untuk bersenang-senang melalui kaedah-kaedah yang memperkecilkan (apalagi menghina) jiwa dan martabat diri.

Hidup bermaruh juga bererti tidak meminta sedekah atau melobi kurniaan atau anugerah untuk glory dan glamor, tidak memuji-memuja tokoh atau kenamaan (dengan apa jua cara) untuk habuan atau balasan (segera ataupun di kemudian nanti), tidak memohon pengiktirafan atau mengharapkan naungan (patronage) bagi setiap yang disumbangkan.

Hidup bermaruah memang suatu perjuangan berterusan dengan diri, lebih-lebih lagi jika diri dikepung dan diasak oleh struktur sosial-ekonomi yang semakin kehilangan arah, selain dibelenggu oleh budaya material picisan dan tekanan nilai ”hidup untuk sekarang dan di sini sahaja” itu. Hidup bermaruah bagaikan perjalanan melawan arus apabila di sekeliling diri sarat dengan sikap dan tindak-tanduk kelunturan akhlak; ya! untuk ke atas atau mendapat sesuatu yang lebih baik maka segala peluang dan kaedah diharuskan (atau melalui cara yang disifatkan sebagai ala-Machiavellian itu).

Maruah atau martabat jauh lebih tinggi dan besar daripada semua itu. Ia tak ternilaikan. Maruah atau martabat merupakan nilai dan makna kolektif yang muncul dan berkembang jauh sebelum kita... Ia jua melampaui tempoh kehadiran kita di sini.

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti