Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Karenah Kerja
Karenah Kerja
Written by Dr. Azizan Bahari   
Saturday, 03 July 2010 02:51

“Bila datang bos baru, banyaklah cakap-cakap tentang pembaharuan dan pembaikan, namun realitinya sama sahaja. Keadaan masih di takuk lama”.

“Saya tertekan di tempat kerja. Usaha dan sumbangan saya tidak mendapat pengiktirafan dan penghargaan”.

“Kami tidak bekerja dalam suasana yang harmonis. Masing-masing mementingkan diri sendiri; ada yang sanggup menekan orang lain untuk pangkat dan kedudukan”.

Ini, dan rungutan-rungutan lain seumpamanya, sering kita dengar di mana-mana. Baik di sektor awam, korporat, maupun badan sukarela; rungutan dan komennya serupa. Budaya kerja profesional, etika kerja, nilai-nilai dan amalan terpuji (best practice) dalam perkhidmatan, atau sifat tolong-menolong dan sikap prihatin dan bertimbang rasa sering merupakan kata-kata ata slogan kosong tanpa amalan dan penghayatan sewajarnya...

Semua ini mencerminkan suatu sistem kehidupan dan pekerjaan yang berpenyakit. Ia memperlihatkan simptom atau gejala negatif dari sebuah masyarakat yang dirasuk oleh nilai-nilai, sikap, serta kecenderungan individualisme, materialisme, serta rasa tidak selamat dan ketidaktentuan/kecelaruan (kehilangan arah) dalam hidup. Jika tidak difahami dan ditangani sewajarnya, ia boleh memporak-porandakan masyarakat.

Selaku individu atau kumpulan kecil di tempat kerja kita tidak harus membebankan diri kita dengan permasalahan yang besar dan mencakup ini. Tanpa susunan baru dan kuasa yang boleh tercetus darinya kita tak berupaya melakukan perubahan. Kita tidak harus menyulitkan dan mengecewakan diri kita dengan cita-cita yang lunak tetapi yang sukar dicapai itu.

Ini tak bererti kita tidak harus melawan kebobrokan sedemikian. Tak bererti kita harus menyerahkan diri dan masa depan kita kepada keadaan dan takdir. Tidak! Kita wajar memperbaiki keadaan pada tahap-tahap dan cara-cara kita yang sepatutnya. Kita malah harus menyusun diri dan mereka yang mengerti dan bersimpati untuk membentuk suatu sub-budaya kerja, suasana dan persekitaran kerja, serta sistem kerja yang lebih mesra pekerja, mesra insan.

Walau bagaimanapun, kita tidak harus mempunyai suatu sasaran yang tinggi buat diri kita. Memadailah dengan yang mampu dicapai dalam keterbatasan yang wujud itu. Kita mesti cuba memahami mekanisme, dinamisme dan sistem yang beroperasi itu agar kita sentiasa cekal menghadapi cabaran dan tidak mudah kecewa dengan kegagalan.

Menghadapi budaya atau sistem (apa pun) bukan perkara mudah atau calang-calang – ia menuntut segala daya intelek, ketahanan dalaman dan keupayaan diri. Seperti juga dengan sesuatu budaya atau sistem yang mengambil masa panjang untuk terbentuk (seperti yang mencengkam kita kini), maka mengubahnya juga mesti memakan masa. Oleh itu, jika kita bertekad untuk mengubah keadaan, lakukan setapak demi setapak (berdikit-dikit lama-lama jadi bukit), dan sebaik-baiknya, lakukan sebagai suatu kebiasaan, sebagai suatu amalan hidup!

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti