Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Budaya Ilmu
Budaya Ilmu
Written by Dr. Azizan Bahari   
Saturday, 12 June 2010 19:31

Kata orang arif:

Apabila engkau mendapat wang, belikan emas;
jualkan emas itu, belikan intan;
jualkan intan, belikan manikam;
jualkan manikam, belikan ilmu
.”

Petikan daripada Hikayat Abdullah di atas (yang dihasilkan pada tahun 1849) menangkap sekaligus merumuskan kearifan orang-orang kita dahulu tentang pentingnya ilmu dalam kehidupan masyarakat manusia. Ilmu ditempatkan pada kedudukan teratas, berbanding segala kekayaan dan kemewahan duniawi.

Lebih 2,000 tahun dahulu, ahli-ahli falsafah dan pemikir Yunani sudahpun membudayai dialog dan wacana ilmu; menerokai makna dan kebenaran dalam kehidupan sosial, mempersoalkan ciri-ciri dan amalan-amalan terbaik bagi sistem politik dan governans, serta merumuskan nilai-nilai teras dan etika pemerintahan dan keprofesionalan. Pemikir mereka memartabatkan ilmu sebagai ”keutamaan tertinggi”.

Tradisi dan hasil keilmuan masyarakat Yunani ternyata terus mempengaruhi bangsa-bangsa dan tamadun-tamadun lain di dunia, termasuk Roma, Islam dan Barat sehingga ke hari ini. Pelbagai bidang seperti matematik, perubatan, retorik dan bahasa, politik, astronomi, dan sebagainya malah berkembang ekoran tradisi Yunani ini.

 

Mengapa Ilmu

Ilmu (knowledge) atau makna yang berlandaskan kepada kebenaran (truth); atau kesedaran atau kefahaman tentang sesuatu berdasarkan pengalaman; atau pengetahuan dan kepandaian dalam sesuatu perkara, memainkan peranan signifikan dalam kehidupan manusia. Ilmu bagaikan obor yang mencerahkan perjalanan hidup manusia dan membantu memberi makna kepada kehadirannya di jagatraya.

Peradaban manusia sejak dahulu hingga sekarang diukur dan berpaksikan tahap pencapaian ilmu masyarakatnya. Dengan ilmu sesuatu masyarakat berupaya menerajui dunia. Sebaliknya tanpa ilmu, atau ketandusan ilmu, masyarakat menjadi lemah, tersorot ke belakang, malahan mudah diperkotak-katikkan atau diperhambakan. Itulah rumusan sejarah manusia zaman berzaman.

Atas kesedaran tersebut jua maka ilmu menjadi tuntutan masyarakat kini. Banyak dan pelbagai bentuk pelaburan dibuat untuk menjayakan projek ilmu ini. Pusat-pusat pengajian, termasuk universiti, tegak teguh dan dilestarikan untuk memikul tugas utama menjana dan menyebarkan ilmu, dan dengan itu membina negara-bangsa dan peradaban.

Penggalakan budaya ilmu dan, sehubungan itu, budaya intelektual dalam kalangan masyarakat, seharusnya merupakan agenda yang penting bagi semua pusat ilmu. Ia sebahagian yang menyumbang kepada penjanaan dan penyebaran ilmu. Dalam hal ini, walaupun terdapat pelbagai saranan tentang budaya ilmu, persoalan rangsangan/galakan, persekitaran yang kondusif, dan prasarana yang sesuai bagi penerapan dan penghayatan budaya tersebut masih belum dirumuskan, apalagi ditangani sepatutnya.

Rata-rata debat intelektual secara aktif belum menjadi sebahagian budaya warga kampus kita. Sudut Pidato bagaikan makam intelektual lampau atau suatu pentas artificial bagi memenuhi kriteria keautonomian universiti. Yang nyata dan kelihatan lebih rancak ialah soal-soal piawaian dan pembinaan citra (image) agar diiktiraf dan dikenal dunia (suatu bentuk ”imperialisme akademik”?), yang sentiasa ditekankan ialah peperiksaan dan gred terbaik yang disamakan pula dengan kecemerlangan! Sedang di luar sana, di bawah Kementerian atau agensi-agensi awam yang berkenaan (dan bertanggungjawab), usaha menggalakkan wacana ilmu dan pembacaan masih terlalu hambar dan mengecewakan, berlaku percanggahan antara apa yang disarankan dengan apa pula yang harus dilaksanakan, ataupun lebih indah khabar dari rupa.

Di sini perlu difikirkan, adakah minda dan jiwa generasi yang kurang dicabar atau dirangsang mampu berkembang dan membina ketahanan (resilience) yang diperlukan bangsa dan negara? Apakah tanpa berdepan dan menangani fikiran, fahaman dan pandangan yang berbeza, apalagi yang berlawanan dengannya, seseorang itu dan sesuatu generasi akan berupaya melahirkan idea dan menyumbang secara konkrit kepada masyarakatnya?

Jika ilmu itu obor yang menunjukkan jalan dan mencerahkan kehidupan manusia, dan dengan ilmu pelbagai bidang kehidupan dapat dimajukan dan kualiti hidup dan ketamadunan manusia mampu dipertingkatkan, di manakah kedudukan kita dan masa depan kita berbanding masyarakat dan bangsa-bangsa lain? Tanpa kesungguhan dan keghairahan menggalakkan ilmu, khususnya dalam kalangan generasi muda, apakah mungkin kita sebagai sebuah masyarakat melonjak ke atas dan muncul bersinar di langit zaman?

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti