Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Menghormati Pegangan Orang, Mengawal Ketaksuban Diri
Menghormati Pegangan Orang, Mengawal Ketaksuban Diri
Written by Dr. Azizan Bahari   
Wednesday, 05 May 2010 05:09

Setiap orang berhak memilih dan berpegang pada mana-mana fahaman, ideologi, atau pandangan hidup (weltanschauung) yang diyakini dan disenanginya.  Dalam kata lain, setiap orang berhak memilih dan menentukan jalan hidupnya. Inilah hak dan kebebasan diri yang sukar dihalang oleh sesiapa, hatta mana-mana sistem pentadbiran dan undang-undang sekalipun.

Sama ada diketahui orang atau tidak, sama ada ia terserlah atau tersembunyi, pilihan dan pegangan ini menjadi panduan hidup dan memberi nilai atau makna istimewa bagi seseorang.  Sudah tentu dia (juga bermaksud suatu kelompok atau kolektiviti atau jemaah atau masyarakat) menjalani suatu proses pencarian, penerokaan, pengkajian dan penghayatan yang lama sebelum dia tiba kepada titik pertemuan, dan seterusnya menentukan pilihan dan pegangannya itu.

Namun, mempunyai sesuatu pilihan dan pegangan hidup (dalam apa bentukpun) tidak harus bererti memperkecilkan, apalagi menghina pilihan dan pegangan orang lain. Sepertimana kita, orang lain juga melalui proses pencarian, penerokaan, pengkajian dan penghayatan sebelum tiba pada rumusannya.

Memberi nilai dan makna tinggi pada sesuatu pegangan dengan apa cara jua adalah hak mutlak seseorang.  Begitu juga memelihara dan mempertahankan sesuatu pegangan merupakan kewajipan suci (sacred duty) setiap orang yang tidak boleh dihalang, apalagi ditindas oleh pihak lain.

Sepertimana menterjemahkan sesuatu pegangan tidak harus mengancam orang lain, maka meraikannya juga tidak harus diganggu-gugat oleh sesiapa.  Mengingkari atau melanggar syarat-syarat ini, seperti yang disaksikan sepanjang sejarah manusia, bererti menganjurkan huru-hara, konflik dan peperangan yang tiada kesudahan dengan kos yang amat tinggi bagi kemanusiaan.

Belajar menghormati pegangan orang ternyata bukan mudah buat manusia meskipun keupayaan kognitif dan inteleknya menggapai angkasa.  Tapi, manusia terpaksa juga belajar menghormati pegangan orang, terpaksa juga belajar mengawal ketaksuban (pada pegangan) diri, kerana ini sahaja jaminan bagi kelangsungannya untuk hidup dengan pegangannya, untuk berkongsi alam dan hidup bersama.

 

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti