Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Kepentingan dan Habuan
Kepentingan dan Habuan
Written by Dr. Azizan Bahari   
Wednesday, 05 May 2010 05:05

Demi kepentingan, kedudukan, serta segala keistimewaan dan peluang yang hadir bersamanya, orang sanggup melakukan apa saja.  Maruah dan harga diri, adab dan kesantunan, nilai dan peraturan, semuanya bisa saja dipersetankan.  Demikian juga demi habuan atau pulangan, yang lain bersedia menghulurkan dan menggadaikan apa saja.

Mereka membina empayar dan melonggok kemewahan di atas kesusahan dan kemelaratan orang.  Meskipun sama-sama berhak ke atas khazanah alam dan peluang-peluang sosial yang diwujudkan, jurang kehidupan terus melebar di antara kita dan tiada kepedulian dan kesungguhan untuk mengubah keadaan. Seperti watak Alang Bakhil dalam Uda dan Dara Usman Awang, segolongan orang tidak juga puas-puas, dan senantiasa bergelut untuk membolot, merebut dan mengaut lagi dan lagi...

Dan, semua ini sah dan dianggap normal dalam kehidupan.  Mereka dilindungi hukum, dipermudahkan peraturan dan tatacara, dijamin ketenteraman dan keselesaannya.., sedang ramai yang lain tak bermaya menukar susunan/peraturan, ataupun jika berupaya nanti, mencubanya dengan kos yang sangat tinggi. Apakah ini -- ”manusia bertamadun” di abad ke 21 yang canggih teknologi dan berdaya saing di pentas dunia --  bukan kegilaan namanya?

Saya teringatkan Noam Chomsky, pakar linguistik dan intelektual awam terkenal Amerika, yang menyebut tentang kehebatan manusia mencipta bahasa (yang memakan entah berapa lama masa!) sehingga kini memudahkan perhubungan, interaksi, penguasaan ilmu dan peningkatan kualiti kehidupannya dalam pelbagai bidang…  Namun, mengapa dalam hal mengurus khazanah alam dan mengawal kehendak diri yang sangat elementary inipun manusia gagal dan ternyata terus gagal? Atau, seperti yang diimplikasikan Chomsky, mengapa manusia (sebagai satu kolektiviti tentunya) tak berupaya menguruskan kehidupannya sehingga terus-menerus mencetus konflik dan pertikaian, peperangan, pemusnahan…..?  Mengapa tidak mahu merenung dan belajar daripada sejarah?  Mengapa tiada keinsafan dan gagal bangkit meraikan pelbagai pencapaian, lalu kembali menjadi manusia bertamadun untuk sekadar berkongsi kehidupan?

Seperti tiada logiknya penciptaan dan pencapaian bahasa berbanding kehadiran pertelingkahan-pemusnahan yang berterusan di tengah-tengah ketamadunan itu, seperti itulah juga barangkali kegilaan tadi bertakhta di hadapan kita.  Segala kuasa dan sistem teguh memastikan kegilaan (kebodohan, ketakmunasabahan, …..) ini bermaharajalela, dan kita yang seharusnya berkuasa menentukan sistem sebaliknya dikerdilkan dan diperhambakan oleh imperatif kuasa dan sistem itu.

 

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti