Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Menulis, Atau Berkaryalah
Menulis, Atau Berkaryalah
Written by Dr. Azizan Bahari   
Wednesday, 05 May 2010 04:59

Menulis atau berkaryalah… bukan hanya asyik atau ghairah dengan tulisan atau karya orang lain walau betapa besar dan hebat.  Menulislah walau hasilnya terasa kecil berbanding dengan yang kita lihat dan baca kerana ia mungkin suatu sumbangan unik tersendiri kepada kehidupan dan ketamadunan umumnya.

Menulis memberi peluang untuk merangsang minda, membina keyakinan diri, mengetengahkan dan menguji idea dan, melalui komen atau kritikan orang nanti, memperbaiki diri.  Menulis suatu kesempatan perhubungan dan perkongsian, suatu latihan berfikir dan berhujah, malah menyumbang kepada cara diri menyusun kerja dan kehidupan.

Dalam kalangan kita ada yang boleh menulis dan melahirkan idea-idea bernas, tetapi lebih asyik dan menumpukan masa pada penghuraian gagasan-gagasan dan karya-karya orang lain yang dikira hebat.  Sementara kita berterima kasih atas sumbangan orang-orang yang dikaguminya itu, dan sedar bahawa karya mereka juga merupakan produk zaman (era) dan persekitaran mereka, kita merasa kerugian kerana tidak atau kurang mendapat sajian daripada penulisan angkatan kita sendiri yang barangkali lebih bererti, relevan dan membantu perkembangan kita bersama selanjutnya.

Mungkin penghuraian dan apresiasi  ke atas gagasan dan karya orang lain itu mahu dianggap sebagai suatu sumbangan diri kepada masyarakat dan tamadun masa depan kerana masyarakat sekarang dikatakan mungkin tidak memahami dan gagal memanfaatkannya. Namun alangkah lebih menarik dan bererti jika usaha-usaha kita kini dapat dimanfaatkan masyarakat atau setidak-tidaknya mencetus perbincangan dan perdebatan yang juga memungkinkan pembaikan (improvement) usaha-usaha kita?

Dengan pengetahuan, pengalaman dan juga bakat menulis, sebahagian kita sepatutnya berkarya untuk perkongsian dan kemanfaatan yang lebih luas.  Menulis, atau berkaryalah...

 

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti