Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Pembacaan
Pembacaan
Written by Dr. Azizan Bahari   
Sunday, 21 March 2010 20:04

Pembacaan memberikan kita maklumat dan pengetahuan. Dengan pembacaan kita lebih memahami keadaan, bersedia dan yakin untuk menghadapi dan menguruskan hidup.

Memang dalam suasana dan persekitaran hari ini – dengan kehadiran pelbagai gadget serta teknologi maklumat dan komunikasi – kita lebih senang menerima maklumat dan pengetahuan melalui deria pandangan dan pendengaran. Pembacaan menjadi sesuatu yang agak sukar bagi kebanyakan orang; ia memerlukan usaha (effort). Namun, pembacaan masih tetap suatu cara yang penting buat kita kerana hanya dengan membaca kita berpeluang mendalami sesuatu.

Dalam masyarakat kita, malangnya, pembacaan belum lagi merupakan suatu budaya. Rata-rata orang tidak atau malas membaca. Jika membaca pun, tidak lebih daripada mengimbas berita-berita sensasional dan gosip di muka-muka akhbar dan majalah (genre ini nampaknya lebih popular dan digalakkan di pasaran). Pesta buku dikunjungi lebih kerana tujuan mendapatkan bahan-bahan akademik (baca petua dan teknik menjawab peperiksaan) untuk anak-anak yang bersekolah. Kumpulan dan kelab buku sukar mendapat sokongan dalam kalangan masyarakat. Kempen membaca lebih suatu usaha ”melepaskan batuk ditangga” tanpa usaha-usaha kreatif bagi menarik dan mengekalkan minat terhadap pembacaan. Jadi, meskipun ungkapan ”minda kelas pertama” atau ”kelas dunia” (world class), atau ”manusia glokal” yang mampu bersaing di pentas antarabangsa sering dilaungkan, masih belum terdapat kesungguhan dan aneka inisiatif diambil oleh sektor awam, sektor swasta dan sektor sukarela untuk menggalakkan budaya membaca ini.

Membaca melatih dan membiasakan otak berfungsi dengan lebih baik. Kita dapat berhujah/berdebat dengan idea dan pemikiran yang terkandung di dalam teks, kita dapat menelitinya, menghuraikannya, dan atau dapat kembali semula kepadanya pada bila-bila...

Melalui pembacaan, ilmu yang menjadi prasyarat utama dalam apa jua bidang kehidupan dan kegiatan lebih mudah dikuasai. Ilmu membantu kita melakukan reinventing dan transformasi diri agar kita kekal relevan. Ia memperkayakan akal budi dan mematangkan fikiran, seterusnya membantu menjadikan kita lebih tajam dan arif. Oleh sebab itu tiada maaf dan justifikasi bagi yang malas dan tidak membaca! Bacaan malah menjadi tuntutan sepanjang kehidupan.

Namun, baca bukan sebarang baca. Kita harus dapat membezakan jenis-jenis bahan bacaan dan mengagihkan masa kita sebaiknya di antara bahan-bahan itu untuk mendapat manfaat terbaik daripadanya. Di pasaran terdapat bahan-bahan bacaan ringan yang menghidangkan berita, memberi panduan dan maklumat terkini. Terdapat juga bahan-bahan bacaan jenis kreatif atau fiksyen seperti novel, cerpen, puisi, skrip drama dan sebagainya. Ini santapan rohani yang memberikan nilai estetika atau keindahan, rasa lega, nikmat serta kepuasan. Di samping itu terdapat pula bahan-bahan bacaan berat tentang teori dan falsafah, debat idea atau gagasan tertentu, laporan dan analisis kajian, persoalan ideologi, perspektif dan metodologi kerja, dan sebagainya.

Semua jenis bacaan ini penting dan mempunyai peranannya masing-masing dalam kehidupan kita. Sebagai insan yang punya pelbagai minat, kecenderungan dan keperluan dalam hidup maka kita perlu memberikan dan membahagikan masa kita kepada segala jenis bacaan ini. Seperti kehidupan dan pemakanan, bacaan kita juga perlu pelbagai dan seimbang.

 

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti