Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Persahabatan
Persahabatan
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 31 July 2009 05:13

 

Alangkah manisnya kehidupan jika kita mempunyai kawan rakan yang dapat diajak berbicara, berkongsi pengalaman dan minat, serta menemani kita ketika sangat memerlukan? Persahabatan amat istimewa bagi seseorang lebih-lebih lagi jika ia berpanjangan, yakni menjangkau ke usia-usia lewat. Persahabatan menyerikan kehidupan, membuatkan kita merasa disukai dan dihargai, di samping memberikan kita sokongan dan rangsangan untuk menghadapi kehidupan.


Elok jika yang disahabati itu mereka yang dari aneka kecenderungan agar pelbagai fakulti di dalam kita mendapat rangsangan dan teman kongsinya. Ini bererti, jika saya seorang yang bergiat dalam kerja kemasyarakatan, terlibat dalam kegiatan-kegiatan intelektual, berminat pada karya-karya seni (seperti novel, puisi, lukisan, teater, filem), menyukai sukan bola sepak, badminton dan tenis, dan turut mengikuti perkembangan politik di dalam dan luar negeri, umpamanya, maka saya seharusnya mempunyai circles of friends atau rangkaian/jaringan persahabatan yang luas dan beraneka pula. Saya memerlukan kawan-rakan yang, antara mereka, terdapat sesuatu atau beberapa minat dan kecenderungan sedemikian, untuk membolehkan saya berkongsi maklumat dan pengetahuan, idea dan perasaan, agar dapat terus memperkembangkan dan memantapkan diri saya.

 


Tentulah lebih menarik jika saya mempunyai kawan-rakan yang pada mereka terkandung pelbagai minat dan kecenderungan serentak (sekali gus) yang secocok pula dengan saya, tetapi ini agak mustahil atau sukar didapati. Jarang kita temui seorang yang mempunyai pelbagai minat. Barangkali sistem dan budaya kita belum mampu memupuk dan merangsang kepelbagaian sedemikian. Barangkali juga beberapa sensitiviti, potensi, bakat atau fakulti sesetengah kita tak terdedah atau berpeluang untuk dicuit, dirangsang atau dicabar untuk bertindak balas serta berkembang.

 


Jadi, mengikut kecenderungan dan minat masing-masing, dengan kawan-rakan yang pelbagai ini saya bisa berbual, bertukar fikiran atau berkongsi tentang sesuatu atau beberapa bidang sealiran tertentu. Melalui persabahatan ini keperluan kerja, keperluan minda, dan keperluan hati nurani saya dapat dipenuhi.

 


Ini tidak bererti kita harus bersikap utilitarian dalam menjalin dan mengekalkan persahabatan, yakni mengikut kesesuaian, keperluan dan kepentingan diri kita sahaja. Persahabatan mesti dijalinkan dan terus dipupuk mengikut keperluan dan keinginan bersama – secara simbiotik, bukan parasitik! Keperluan dan kecenderungan kawan-rakan mesti sentiasa diperhitungkan. Berdasarkan sikap kawan, jangka masa persabahatan, dan darjah kemesraan, maka tidak sukar untuk dipastikan sama ada persahabatan kita itu simbiotik (mendapat respons positif di pihak kawan), ataupun tidak. Persahabatan yang berat sebelah biasanya tidak mesra dan kekal. Ia akan terkubur lambat launnya.

 


Walau bagaimanapun, tidak semua keinginan, minat dan kecenderungan kita boleh menemui teman kongsinya. Ada bidang-bidang tertentu yang harus dipupuk dan dikembangkan sendiri seperti melalui pembacaan, pemerhatian, dan amalan hari-hari. Ini malah boleh menjadi aset dan keistimewaan kita, yang juga dapat menyumbang kepada persahabatan.

 


Di samping itu terdapat juga persahabatan yang bersifat peribadi – terjalin dan berlangsung lebih kerana keserasian personaliti. Kita bersahabat kerana kita serasi atau saling menyukai dan menyenangi walaupun ini juga mungkin ditunjangi oleh kebersamaan nilai, latar belakang dan minat tertentu. Ini termasuk persahabatan yang terbentuk sejak kecil remaja dan berkekalan hingga dewasa tua. Walaupun apa yang dapat dikongsikan bersama mungkin agak terbatas, persahabatan jenis ini juga manis, intim, dan bermakna.

 


Kawan menangis sukar dicari, demikian kata orang tua-tua yang menggambarkan betapa susahnya mendapat kawan rapat yang dapat saling dikongsikan suka-duka dan riang-kecewa. Kawan dan persahabatan jenis ini juga punya latar sejarah dan proses pergaulan yang lama dan mendalam (intense).

 


Sehubungan di atas harus difahami bahawa seperti perhubungan orang berkasih, atau perhubungan pasangan hidup, persahabatan juga tidak boleh diambil mudah (taken for granted), sebaliknya mesti dipupuk, disiram dan dijaga agar terus subur berkembang…

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti