Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Mewaspadai Politik Sempit
Mewaspadai Politik Sempit
Written by Dr. Azizan Bahari   
Saturday, 14 February 2009 04:04

Bukan mudah untuk ”bebas” daripada politik kepartian, politik kuasa dan politik adu-dumba! Sekali-kali tidak bagi generasi kita yang tumbuh dan berkembang dalam kancah politik lewat 1960-an dan 1970-an itu….


Kita berkembang dan mendewasa dalam pertarungan ideologi-politik tempatan dan global yang sengit. Kita membesar dengan semangat dan idealisme yang menyemarak dan membakar nurani… Kita berpencak-silat dengan mereka yang gagah dan lincah dan kini, antara kita, bukan sedikit yang berpeluang muncul hebat selaku protagonis baru yang mencorakkan lanskap politik tanahair…. Politik (yang kita biasa) sudah menjadi sebahagian diri – ia mematangkan kita dalam pengurusan hidup dan perhubungan, memberikan kita kerangka penilitian dan penghuraian, mewaspadakan kita tentang watak dan kemungkinan tindakan, dan turut memandu perjalanan dan kehidupan umumnya.


Kita akur bahawa melalui politik penyertaan besar-besaran rakyat bisa direalisasikan dalam masa yang relatif singkat. Kita juga bersetuju potensi dan keupayaan politik mampu mengemblingkan rakyat untuk melakukan transformasi sosial yang hebat. Demikianlah, baik bagi yang ambitious maupun yang visionary, yang gelojoh maupun yang beraspirasi murni, politik satu-satunya jalan pantas, berprospek dan relatif ”mudah” untuk tiba ke destinasi …


Namun, politik kini kekadangnya meresahkan… Kebimbangan dan panik pada kehakisan kuasa dan kepentingan-kepentingan lain membuat orang memilih pandangan sempit dan tindak-tanduk melampau (ekstrim).
Kemenangan yang tiba-tiba tanpa persediaan mental dan emosi secukupnya menjadikan orang sombong dan alpa…


Walaupun tak pernah berjauhan, kita harus berhati-hati dengan ketaksuban dan modus operandi yang tampaknya menghalalkan impian. Kita harus tidak terperangkap dalam pergelutan kuasa dan adu-dumba picisan yang memungkinkan kita menjadi gelojoh dan angkuh, tersasar daripada hal-hal kemanusiaan dan kesejagatan yang lebih primer (yang mulanya menjadi inspirasi orang berpolitik, serta memberi erti pada kesementaraan ini).

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti