Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Hidup biar Berjasa
Hidup biar Berjasa
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 16 January 2009 03:51

Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama. Demikian pepatah Melayu yang menggambarkan pentingnya sumbangan, bakti atau jasa bagi sesuatu kehidupan.


Ramai antara kita cuba meneroka dan mencari makna kehidupan yang kompleks ini. Penerokaan dan pencarian ini berterusan sepanjang sejarah manusia, dan tidak ada petanda bahawa ia sudah terhenti. Orang mendapat jawapan dari pelbagai sudut pemikiran dan gagasan masing-masing – kepercayaan, agama, ideologi politik, pandangan hidup dan sebagainya.


Memanglah, berbanding dengan bumi, segala cakrawala lain dan bintang-bintang, apalagi jagatraya ini, maka kewujudan dan kehidupan kita relatif singkat. Barangkali kesedaran ini, dan sifat kehidupan (nature of life) itu sendiri, menuntut kita memberi atau mencari makna bagi kehidupan itu. Kita tidak merasa puas jika segalanya wujud dan tiba-tiba berakhir begitu sahaja…


Sementara orang terus berdebat, berbeza pendapat atau gigih membina kepercayaan serta keyakinan masing-masing tentang kewujudan dan kehidupan umumnya, persamaan (commonality) yang ketara di kalangan kita ialah pada pengisian kehidupan itu sendiri. Rata-rata orang melihat bakti, amal jariah, perkongsian, sumbangan atau jasa sebagai suatu yang memberikan nilai positif kepada kewujudan dan kehidupan sosial kita. Rata-rata orang, dari pelbagai tamadun, budaya dan kefahaman memberi penghargaan dan menggalakkan bakti, sumbangan atau jasa dalam kehidupan bermasyarakat, dan ini berkait langsung dengan proses pemaknaan hidup kita. Maka dengan itu timbullah kata-kata “hidup biar berjasa” yang menjadi cogankata kehidupan.


Barangkali amat wajar kita mewarnakan hidup ini dengan kerja-kerja yang dapat menyumbang kepada nilai-nilai murni kehidupan, di samping menyuburkan persefahaman, kemesraan dan kasih kemanusiaan. Usaha begini adalah bahasa dan isyarat yang mudah dimengertikan dan dihargai oleh kebanyakan orang. Kita turut merasa puas dan bangga dengan sumbangan demikian, di samping menjadi lebih sedar serta yakin bahawa kehidupan ini amat bermakna dan bernilai (albeit singkat tadi), dan kita sekali-kali tidak mahu mensia-siakannya

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti