Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Kepentingan Umum
Kepentingan Umum
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 16 January 2009 03:48

Jika sesuatu rancangan atau usaha diketengahkan dengan tujuan kepentingan umum (masyarakat), the common good, maka ia semestinya bertolak dari situasi, cita-cita dan kepentingan umum itu.Malangnya, banyak pihak yang meniupkan trumpet mengisytiharkan mereka bekerja atau berjuang atas nama atau untuk kepentingan ramai, tetapi jika diteliti, ia lebih ”indah khabar dari rupa”…


Seringkali yang mendasari rancangan atau usaha tersebut ialah kepentingan peribadi atau puak. Itu sebabnya seringkali iltizam tidak kekal lama, usaha dan ikhtiar tidak mencakup dan mendalam, manakala kesan dan hasilnya pula sering mengecewakan.


Rakyat ramai ”hakim” yang lebih saksama untuk menilai kejayaan dan pencapaian sesuatu rancangan atau usaha kepentingan umum. Penerimaan dan respons mereka, pembelajaran dan kefahaman mereka, serta penglibatan dan tindakan aktif mereka (dalam rancangan dan usaha tersebut) merupakan petanda atau manifestasi konkrit tahap kemajuan (atau kelembapan) sesuatu rancangan atau usaha.


Untuk memenuhi syarat kepentingan umum sesuatu rancangan atau usaha harus bermula dari situasi serta berpaksikan kepentingan, keperluan dan aspirasi umum (rakyat ramai). Ini bererti ia harus dijana dan dikembangkan daripada mereka. Sebagai pihak berkepentingan, mereka sendiri harus terlibat dalam keseluruhan proses perbincangan dan membuat keputusan, pelaksanaan dan penilaian, dan seterusnya pembaikan dan peningkatan keberkesanan usaha. Ya! Rakyat bukan rakan kongsi pasif atau pembonceng yang tak punya peranan kecuali sebagai penerima (receiver). Sebaliknya, mereka pelaku (aktor) penting yang (dalam penglibatannya) turut menentukan kejayaan dan pencapaian (juga kegagalan) rancangan.


Memenuhi syarat kepentingan umum juga bererti menggunakan bahasa mereka, menggunakan pendekatan dan cara-cara yang dimengerti dan diterima mereka, mengambil kira hak-hak dan kepentingan mereka (selagi ini tidak bercanggah atau menggugat kepentingan yang lebih luas), menghormati nilai-nilai teras dan cara hidup (budaya) mereka, serta memanfaatkan potensi, kebolehan dan pengalaman mereka. Jikapun ini menimbulkan kesulitan, atau melambatkan proses perubahan, atau malah tidak mencapai tujuan utama rancangan, ia tetap suatu syarat wajib yang harus diberi perhatian dan dilaksanakan. Ia masih suatu keperluan strategi rancangan yang mampu menjana output atau dampak lain yang bermakna bagi kepentingan umum itu.


Membelakangkan semua itu, atau memandang enteng hal-hal tersebut memang boleh memudahkan atau mempercepatkan kerja. Namun, sikap demikian juga bererti cuba mengelak daripada peranan dan tanggungjawab sebenar, tidak memungkinkan perubahan yang bermakna, selain tidak memenuhi tujuan kepentingan bersama.

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti