Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Alahai, Akademia!
Alahai, Akademia!
Written by Dr. Azizan Bahari   
Wednesday, 28 December 2011 17:56

(suatu catatan tentatif yang harapnya tidak kekal relevan)

Selepas kira-kira sedekad terasa bahawa dunia akademik kekadangnya hambar dan mekanikal dalam menangani isu-isu dan problematik sosial-politik di sekitar. Hambar, kerana keselesaan menumpulkan daya analisis dan melemahkan tekad juang warganya. Mekanikal, kerana karya dan hujahan lebih suatu keraf penulisan dan penguasaan bahasa yang gagal menangkap realiti kehidupan dan pergelutan di lapangan.

Akademia yang elaboratif dan ”objektif” ini sering terperangkap di dalam kerangka-kerangka teori dan perspektif ilmiah “awang-awangan”. Orang harus menggunakan banyak masa-tenaga mencipta gagasan dan modaliti yang mesti didebatkan bagi mencari suatu titik penerimaan, hanya untuk dikritik dan ditolak nanti (meski atas soal-soal perincian yang diangkat menjadi penting) sehingga hal-hal fundamental yang mengepung dan menjerut kehidupan hari-hari masyarakat terus terabai dan terpinggir...

Keutamaan ialah pada penyelidikan dan hasilnya yang termuat di jurnal-jurnal ternama dan dipandang tinggi; bagi mereka, inilah ukuran kesarjanaan, suatu kerja examplary yang wajar disegani, dan dengannya terhidanglah pengiktirafan, anugerah pangkat, ganjaran material, dan jaminan masa depan. Pengiktirafan turut dijanjikan kepada penghasilan buku-buku ilmiah (lagi tebal buku dan lagi “berwibawa” penerbitnya maka lagi diiktiraf penulisnya) kerana itu petanda kecemerlangan prestasi, suatu sumbangan kepada ilmu; usah ditanya bagaimanakah dan siapakah yang sebenarnya memperoleh manfaat dari lambakan karya-karya ini. Di sini soal impak pengkaryaan kepada kemanusiaan tak sepenting soal keterlihatan (visibility) individu di mata dunia.

Begitu juga di sana sini orang ghairah berlumba membuat pembentangan dan hasil kajian di pelbagai seminar dan persidangan (di dalam dan di luar negeri). Bilangan dan kekerapan upacara yang dianjurkan tak terhitung jumlahnya; tidak mengapa untuk apa, bagi kepentingan siapa, dan ke mana akhirnya semua pembentangan dan upacara itu...?

Perkara-perkara lain seperti memberikan masa dan ruang serta berusaha meningkatkan tahap pendidikan, ilmu, dan daya intelek pelajar kurang diberi perhatian. Soal mendidik dan menggalakkan pelajar dalam hal-hal keperihatinan dan tanggungjawab sosial, harga diri dan ketelusan, kepemimpinan-kepengikutan, idealisme hidup dan nilai-nilai murni universal kurang dibudayakan, kecuali sebagai suatu tuntutan kokurikulum atau domain dan rutin pihak yang menguruskan hal-ehwal pelajar. Jikapun ia hadir atau muncul di sudut-sudut terpencil di kampus, maka itu lebih suatu kebetulan yang juga boleh menjadi bahan hebahan albeit tanpa tag prestij dan glamor akdemik sebenarnya.

Begitu juga soal mengidentifikasikan diri dengan isu-isu dan permasalahan masyarakat, tiada yang kelihatan begitu mendesak untuk segera dan bersungguh-sungguh ditangani oleh komuniti ilmuwan ini kecuali kerana tujuan perundingan; cukuplah sekadar kegiatan genre khidmat komuniti pelajar atau kerja sukarela semasa bencana bagi menjustifikasikan peranan sosial mereka... Maka kampus-kampus yang gah lagi indah itu laksana menara kaca nun dibelai awan, terselamat dari kehinaan di sekelilingnya!

Sesetengah mereka begitu bangga memperagakan pangkat dan gelaran akademik tanpa hasil kerja yang bermakna dan atau mampu menyumbang kepada tuntutan sosial melepasi sempadan dunia mereka. Sebahagian kecil amat ketara berkejaran ke hulu ke hilir mempamirkan wajah mereka agar terdaftar di mata dan dingatan tokoh-tokoh politik, tidak syak dengan harapan menggunung pada kedudukan glamor idaman masing-masing. Bagi mereka ini, jawatan akademik semasa, walau betapa tinggi, hanya sekadar jaminan ekonomi asas dan batu loncatan. Sebilangan yang lain pula sudah berpuas hati jika dapat muncul selaku tukang canai dan canang mewakili pimpinan dan aliran politik yang disenangi mereka, tentunya dengan sedikit ganjaran honorarium serta ruangan bagi muka mereka di media...

Ini tidak menafikan kehadiran segelintir ilmuwan yang teguh pada misi sosial akademiknya, yang bekerja dengan jujur dan gigih bagi memecah persoalan dan kebuntuan yang terus menghalang pembebasan masyarakat luas, dan sewaktu-waktunya cuba menegur kepincangan yang menonjol.

Namun, bagi sebahagian besar tadi – atas tuntutan akademik atau agenda peribadi -- isu-isu dan permasalahan sosial serta pembangunan dan perkembangan pelajar dilihat sebagai suatu fenomena biasa atau lumrah kerja tanpa pengaruh langsung terhadap akademia. Barangkali kerja akademik diterima sebagai suatu yang “objektif”, saintifik, yang juga bererti peminggiran partisanship (penyebelahan) dengan golongan bawahan yang kurang berdaya dan terabaikan.

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti