Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Budaya Politik di Dunia Siber
Budaya Politik di Dunia Siber
Written by Dr. Azizan Bahari   
Monday, 19 September 2011 04:26

Resah dengan ulasan dan debat (baca pertengkaran) politik di blog-blog dan laman-laman sosial kita, seorang kawan lama bertanya adakah saya masih yakin bahawa masyarakat kita akan menjadi lebih berbudaya (termasuk sopan dalam berbahasa), dan lebih menghormati pandangan orang lain dalam berpolitik.

Tidak mudah menjawab soalan ini melalui e-mel. Saya juga tidak puas sekadar membuat kenyataan ringkas tentang hal-hal makro sebegini tanpa sedikit huraian dan latar sejarah (lagipun, seperti pernah dikatakan orang, bukankah kita ini social and historical being?).

Kawan saya pesimis dengan arus perkembangan debat politik tanahair apabila beliau merujuk blog-blog tertentu. Menurutnya, carutan, maki-hamun, dan kata-kata kesat lain suatu lumrah di kedua-dua belah pihak – propemerintah dan propembangkang.

Bagi kita, saya kira, sudah sekian lama masyarakat tidak berpeluang (atau terbatas peluang) untuk melahirkan isi hati dan berkongsi fikiran serta sikap secara terbuka dan meluas. Media konvensional, khususnya radio, televisyen dan akhbar, begitu dikawal oleh pemilik dan pihak berkuasa. Kebanyakan mereka yang sealiran fikiran dan sentimen sahaja yang mendapat tempat di situ. Jika adapun akhbar dan majalah popular tertentu yang ingin memberi ruang kepada pandangan dan sikap yang berbeza atau berlawanan, mereka juga sentiasa berwaspada agar tidak mengundang surat ”tunjuk sebab” atau pembatalan permit penerbitan oleh Kementerian berkenaan. Rapat-rapat umum dan manifestasi sikap tentang hal-hal dasar dan peraturan, pengurusan awam, kewangan negara dan sebagainya tidak juga begitu mudah diadakan. Banyak yang berperaturan dan memerlukan kelulusan sebelum dapat dilakukan.

Semua ini masih berlanjutan setelah 54 tahun Merdeka, dan dalam suasana kesedaran (politik) masyarakat yang jauh melepasi fasa politik eksperimental (experimental politics) yang biasa dilalui negara-negara bekas jajahan...(walaupun ada pihak sekarang yang menganggap Malaya kita tidak pernah dijajah British!).

Dalam konteks ini bagi sebahagian kita internet bagaikan bulan jatuh ke riba! Atau, bagi mereka yang sudah lama terbuku di kalbu, kehadiran internet tentulah bagaikan orang mengantuk disurungkan bantal! Blog, laman web, laman sosial, sistem pesanan ringkas dan sebagainya ini menjadi ”penyelamat” bagi jiwa yang resah-gelisah, sedih dan kecewa, geram dan marah, mahu melakukan sesuatu, berkongsi rasa, dan sebagainya ... Teknologi terkini ini membuka ruang (space) baharu yang dilihat seperti tanpa had (kecuali oleh tangan undang-undang tertentu) dan tiada tolok bandingnya bagi meraikan kebebasan!

Demikian ribuan dan jutaan tampil menjadi warganet yang aktif dan ghairah. Ya! Kita bukan lagi berada dan terhad di wilayah geopolitik-fizikal sahaja, tetapi juga kini di dunia siber yang jauh lebih luas, tanpa sempadan, dan menawarkan kepelbagaian. Malahan, ada sesetengah kita yang barangkali tidak sedar atau dapat membezakan di wilayah mana dia berada pada sesuatu ketika, atau dalam sesuatu tindakan!

Ketika ini, dalam epoch ini, masyarakat kita (khususnya generasi muda) begitu senang dan preoccupied dengan teknologi baharu. Isu, debat dan polemik politik melalui saluran ini juga mengambil tema dan bentuk-bentuk tersendiri. Seperti dinyatakan tadi, faktor ruang yang luas dan bebas amat menyumbang kepada bentuk serta tema debat dan polemik ini.

Debat dan polemik politik di dunia siber tidak semestinya menerima arahan atau diorkestrakan partai politik atau pemimpin tertentu. Bertembung dan bertempur di ruang siber orang tidak perlu apologetik, tidak perlu bimbang atau gundah, tidak perlu pretentious. Ia politik massa par excellence yang tak pernah direkodkan sejarah sebelum ini walaupun dalam persekitaran kacau-bilau pascarevolusi sosial. Setiap dasar, gagasan, pemimpin dan organisasi bebas dikritik atau dibakulsampahkan mengikut perspektif si penulis/pendebat.

Situasi ini memang kelihatan seakan-akan anarki – free for all – tanpa batas sempadan peraturan tertentu. Tetapi orang boleh sahaja mempertikaikan ”anarki bagi siapa?”.

Selain teknologi, kita juga tentu sedar bahawa politik kita dipengaruhi oleh pendidikan, kesedaran politik, tekanan ekonomi (peluang pekerjaan, inflasi, jurang pendapatan, dll), serta salah laku dan penyelewengan dalam pengurusan awam. Ini hal-hal konkrit dalam masyarakat yang menuntut perdebatan dan penyelesaian.

Amalan politik yang terbudaya selama ini dianggap tidak sesuai dengan aspirasi demokrasi masyarakat masa kini. Mereka yang tidak senang dengan budaya politik lama bukan sedikit bilangannya, dan sesetengah mereka ini bersedia pergi lebih jauh... Demikianlah ugutan, tekanan serta peraturan dan tindakan menghukum tidak akan mampu menyekat alun ini. Punca-punca permasalahan bagi hal-hal konkrit dan situasi objektif masyarakat tadi perlu ditangani sewajarnya, bukan cuba dinafikan atau ”disembunyikan” dengan alasan-alasan yang remeh-temeh.

Berdasarkan di atas, barangkali bahasa dan cara berpolitik melalui saluran baharu itu suatu bentuk reaksi/respons terhadap budaya politik konvensional serta kawalan dan tekanan pihak-pihak berkuasa selama ini. Barangkali juga kesopansantunan dan sikap menghormati lawan politik dianggap kerja sia-sia, atau bahasa yang tak akan dipedulikan orang.  Lagipun, sudah lama mereka cuba bersabar dan terus merendahkan diri, tetapi walhasilnya?  Dan sekarang pun mereka hanya sekadar melahirkan isi hati sahaja...

Jadi, jika semua gelagat ini dikatakan ”kurang berbudaya” atau ”tidak berbudaya” maka barangkali benarlah itu.. Cuma, sekali lagi, kita perlu jelas siapakah yang menentukan apa yang berbudaya atau tidak berbudaya itu... Atau, dari nilai siapa berbudaya atau tidak berbudaya ini disandarkan? Tidakkah selama ini persoalan moral, etika, dan nilai sering dimonopoli mereka yang berkuasa, berpengaruh, dan berkedudukan (yang punya suara atau wakil bicaranya dalam pelbagai alat negara, termasuk media konvensional), bukan orang-orang biasa seperti kebanyakan warganet ini?

Walau bagaimanapun, saya bersimpati dengan keresahan kawan lama saya itu bahawa komen dan kritik seharusnya tidak menjurus kepada serangan atau malah sendaan terhadap peribadi pihak tertentu, hatta watak-watak yang paling tidak disenangi dalam hidup kita! Orang berhak melahirkan emosi dan buah fikirannya, namun dia juga harus menghormati orang lain dalam komen dan kritiknya.

Dalam kata lain, kebebasan bersuara yang ditawarkan teknologi terkini dan internet harus diraikan, namun dalam masa yang sama, orang wajar berhemah dan bertanggungjawab, perlu bersuara dengan akal dan bukannya dengan perasaan yang tak terkawal.

Pihak yang dikritik itu pula perlu sedar mengapa semua ini semakin membudayai debat politik siber kita. Saya percaya sebahagian mereka berupaya memahami dan sedar, cuma mereka memilih untuk meneruskan sikap dan cara bebal atau angkuh mereka, dan oleh itu mengundang protes, termasuklah budaya politik siber yang diresahkan itu...

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti