Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Saltwell Park
Saltwell Park
Written by Dr. Azizan Bahari   
Thursday, 25 August 2011 09:22

(sebuah taman awam di Gateshead, Newcastle)

 

Kelmarin, setelah menggantikan tidur dan rihat (yang tertunggak), kami kembali bersiar-siar di Saltwell Park berhampiran tempat persinggahan kami di Gateshead, Newcastle-on-Tyne.  Taman Victorian yang dibuka kepada awam sejak 1876 ini cukup istimewa kerana lokasi, susun atur, dan pelbagai kemudahan yang disediakan. Kawasan lapang berumputnya sahaja seluas 55 ekar.

Di sini terdapat tasik sebagai sebuah ekosistem bagi aneka spesis itik (yang bermastautin dan berhijrah) di samping untuk orang bersampan di musim panas, tapak-tapak permainan kanak-kanak (berlainan kategori umur), zoo mini, taman-taman mawar (rose gardens), gelanggang-gelanggang sukan (tenis, bola jaring, bowling padang, dll.), kawasan belukar dan hutan (dengan tupai, burung hantu, belatok, dan sebagainya), anak sungai, Saltwell Tower bersenibina gabongan Gothic, Elizabethan dan Perancis (dengan kafe, ruang pamiran, taman bunga, dan kemudahan awam), serta tapak persembahan muzik, semuanya terhimpun untuk dinikmati oleh pengunjung...

Setiap kali berada di sini, jika cuaca mengizinkan, kami pasti kerap mengunjungi taman ini, dan tak pernah jemu-jemu. Di sinilah tempat berjalan-jalan dan mengendurkan ketegangan urat-saraf, membaca, menghirup udara segar, melepaskan pandangan pada landskap berbukit dan berlandai di kesaujanaan, minum-minum, melihat pamiran dan pelbagai aktiviti yang diatur, dan lain-lain.

Sentiasa dapat kita pelajari ialah kesungguhan dan keprofesionalan pengurusan dan penjagaan taman, dan pembukaan ruang untuk organisasi dan individu menyumbang kepada kemantapan dan keselesaan bersama. Tidak kelihatan pembaziran seperti penghiasan lampu, rock garden, tiang-tiang antik, dan binaan-binaan kosmetik (pintu gerbang, pondok, pentas, dll.) cantik dan mahal seperti yang menjadi preoccupation dan perlumbaan dalam kalangan pihak berkuasa dan pimpinan di tempat kita.  Tiada kotoran dan sampah-sarap di mana-mana seperti yang mencirikan tempat dan taman awam kita...

Ini sebahagiannya kerana pendidikan dan disiplin yang diterapkan ke dalam pemikiran dan budaya kehidupan masyarakat mereka. Peranan dan tanggungjawab awam bergerak seiring dengan penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan. Pertubuhan sukarela seperti The Friends of Saltwell Park, umpamanya, digalakkan untuk memberi komen dan pendapat, menganjur program tersendiri, melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti (mesyuarat, ceramah, mengendalikan event, memandu dan membantu pelawat/pengunjung, dll.), dan mempunyai suara dalam apa yang berlaku serta perancangan masa depan taman. Mereka juga mengambil inisiatif memantau, menjaga, dan merekodkan pergerakan burung dan haiwan di sekitar kawasan taman. (Kebetulan dalam kunjungan kami yang lalu terdapat pamiran besar tentang bidang-bidang kerja sukarela diadakan di taman ini dengan penglibatan pelbagai pertubuhan dan respons/sambutan orang ramai yang sangat menggalakkan).

Ruang dan peluang untuk penyertaan orang ramai seperti menyumbang bangku-bangku di taman untuk didedikasikan kepada ahli-ahli keluarga tersayang yang sudah meninggal, menaja dan turut menyelenggarakan sudut-sudut taman yang diperindahkan, menguruskan aktiviti untuk penyertaan khalayak, selain membina atau mendirikan arca-arca dan tugu-tugu peringatan bagi mereka yang berjasa atau terkorban dalam sengketa dan peperangan turut menonjol di sana-sini .

Sekadar ingatan, Saltwell Park yang diperkatakan di sini hanya sebuah taman di suatu kawasan kediaman. Ia bukan taman istimewa atau wakil (representative) sesuatu kawasan bandar besar dan dipelihara sebagai suatu showcase kebanggaan Datuk Bandar atau pemimpin/kenamaan tertentu. Banyak lagi taman-taman yang jauh lebih besar dan hebat di merata tempat di seluruh negara... Namun Saltwell Park tetap terurus dan terpelihara dengan baik, tetap menyediakan kemudahan dan keselesaan untuk pelbagai lapisan penduduk, dan terus bangga menjadi sebahagian penyempurnaan kehidupan masyarakat setempat.

Taman ini bermula dengan bangunan bermenara (Saltwell Tower) sebagai kawasan kediaman keluarga seorang industrialis di Newcastle. Ia kemudiannya dibeli oleh pihak berkuasa tempatan untuk dijadikan taman orang ramai. Kini Saltwell Park diselenggarakan oleh Gateshead Council. Sebahagian kawasan tambahan yang berdekatan juga diambilalih untuk dijadikan sebuah taman yang luas untuk pelbagai aktiviti dan kemudahan seperti yang dinyatakan tadi.

Meninjau sejarah dan perkembangan taman ini membuat saya memikirkan ... Mengapa kita tidak mampu (atau lebih tepat) bersedia membina taman-taman sebegini di negeri kita...? Apakah taman hanya sesuatu yang lumrah di dalam cerita-cerita dan filem-filem Melayu lama sahaja; dan itupun bukankah hanya untuk kaum bangsawan dan para gundik-pengiring mereka sahaja? Mengapa kita menafikan rakyat hak dan kemudahan untuk bersiar-siar, bersantai, sambil menikmati suasana dan persekitaran yang bersih, indah, lagi terjaga dengan baik? Mengapa kita sering bersikap ”hangat-hangat tahi ayam” atau ”melepaskan batuk ditangga” sahaja dalam merancang dan mengerjakan sesuatu untuk kepentingan awam? Dan mengapa kurangnya usaha yang bersungguh-sungguh dan beterusan untuk mendidik orang ramai mencintai dan menghayati estetik alam dan mengambil tanggungjawab dan peranan untuk sama-sama memuliharanya?

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti