Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Keangkuhan
Keangkuhan
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 15 July 2011 12:51

Kemenangan yang berulang-ulang menjadikan seseorang atau sesuatu pihak berasa cukup kuat, hatta mampu menentukan segala. Keyakinan yang ekstrem menjadikan orang angkuh dan bongkak. Kekalahan yang tak diduga membuat orang amat kecewa dan hampir gila!

Semua ini dapat disaksikan pada tuntutan umum dan pemilihan bersejarah di  mana-mana. Ada orang yang tidak dapat menerima kenyataan lalu menyalahkan siapa saja kecuali dirinya. Buku, blog dan wawancara cuba diisi dengan alasan dan hujah bela diri yang sudah dijangkakan...  Ada pihak yang naik berang lalu terus bebal mengulangi hujah-hujah lapuk bagi mendapatkan jawapan kepada isu-isu yang (kekadangnya) mereka sendiri problematikkan.

Mereka sebahagiannya mangsa sistem politik yang lama terbina di atas asas-asas dan kerangka pemikiran atau teori yang rapuh. Mereka mungkin produk didikan dan proses sosialisasi yang terbatas ruang dan rencam pemikiran sehingga terbantut daya imaginasi dan kreativitinya. Mereka sukar atau enggan memahami dinamika perubahan, apalagi jika perubahan itu menggugat kepentingan, keselesaan dan kedudukannya.  Mereka sangat one-dimensional (meminjam perkataan yang dipopularkan Marcuse), tak berupaya menerima kenyataan, atau menolak segala perspektif lain. Inilah juga contoh bebalisme – fenomena kebebalan dalam masyarakat – seperti yang diungkapkan Syed Hussein Alatas.

Sifat dan sikap ini bukan sesuatu yang unik bagi mana-mana orang atau tempat. Sejarah memperlihatkan pengulangannya di merata pelusuk dunia. Kerana itulah maka konflik dan perlawanan berlaku dan berterusan.

Betapapun dihalang dan dipatahkan, perubahan berlaku jua kerana ia hukum kehidupan dan alam. Ia bak arus berlalu yang enggan akur pada sekatan; ke kiri ke kanan, ke bawah, melencung atau mengepung, arus berlalu jua... Dan begitulah seterusnya, perubahan demi perubahan berlaku sepanjang kehidupan dan zaman. Di sekitar kita segala berubah. Diri kita sendiri berubah -- dengan kesedaran atau tanpa kesedaran kita.

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti