Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Tentang Cumbria
Tentang Cumbria
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 15 July 2011 12:44

Beberapa hari kebelakangan ini agenda agak ketat. Paling istimewa lawatan ke Cumbria -- Lake District – kawasan pergunungan dan tasik di bahagian Barat Utara England. Tiga hari dua malam di daerah ini, menikmati panorama alam yang sukar diceritakan dengan kata-kata atau malah dirakamkan oleh lensa kamera...

Sejak belajar di sekitar ini dalam 1980-an sehinggalah berkunjung kembali beberapa kali yang lalu kami tak berkesempatan ke sini. Jika seluruh negeri kaya dengan padang-padang lapang berbukit-lembah, Cumbria indah kerana seluruh daerah luasnya berbukit-bukau dengan lereng-lereng, dataran dan tasik-tasik yang memukau. Di sini terhimpun pemandangan menarik. Dari mana sudutpun, lukisan-lukisan alam yang terbentang tetap cantik, dan tak menjemukan. Pekan-pekan kecil yang comel dan lengkap dengan aneka kemudahan dan keperluan tak henti-henti menerima pengunjung dari merata pelusuk dunia.

Kebetulan di hostel tempat kami berlabuh terdapat penghuni-penghuni dari Negara Thai, Republik Rakyat Cina, India, Kanada dan Jerman – suatu komuniti antarabangsa miniature tersendiri.  Hostel yang simple dan selesa itu juga terurus cekap dengan semua tempahan dan daftar masuk-keluar dilakukan melalui internet, wang sewa bilik dimasukkan ke dalam sampul surat dan terus ke dalam peti, sedang maklumat dan pemakluman sentiasa dikemaskini dan tertera di notice board tanpa memerlukan tetamu/pelanggan bersemuka dengan kakitangan.

Kami sempat mendaki suatu puncak tertinggi di pekan Waldermere untuk mendapat pemandangan terbaik. Rekod yang terpahat di batu menyatakan bahawa panorama di sekeliling yang sedang kami saksikan itu masih tak berubah sejak puncak ini ditemui beratus tahun lalu. Kami juga menaiki feri menyeberangi tasik terbesar, dan seperti biasa, selepas minum, aku akan meninjau kedai-kedai buku di setiap pekan yang kami singgah. Nasib sering memihakku apabila beberapa naskah yang memang diinginkan bagaikan tersedia untuk dibeli dan dibawa pulang, termasuk yang berstatus ”terpakai” yang jauh lebih murah tetapi tetap kental itu.

Kunjungan ke Cumbria lebih untuk menjamu mata dan hati… Perjalanannya agak memakan masa dengan jalan-jalan yang simpang siur; maklumlah daerah berbukit-bukau. Namun habuan mata dan pengalaman rasa sudah lebih daripada cukup sebagai bekalan pulang...

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti