Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Mendasari Kemelut Politik
Mendasari Kemelut Politik
Written by Dr. Azizan Bahari   
Thursday, 05 May 2011 07:38

(Respons kepada e-mel dan khidmat pesanan ringkas rakan-rakan)

Wajarkah kita melihat isu-isu, persaingan, konflik, malah fenomena politik, berdasarkan kenyataan dan tindakan oleh personaliti dan puak-puak yang bertentangan sahaja? Wajarkah dan memadaikah penilaian dibuat berpandukan kenyataan dan hujah oleh pihak-pihak yang bertelagah itu sahaja? Bukankah itu cara mendatar (superficial) menangani isu atau permasalahan, justru tidak membantu masyarakat memahami kedudukan perkara yang sebenar?

Memang konflik atau pertentangan antara tokoh mudah menimbulkan sensasi dan mampu menarik perhatian khalayak. Media konvensional -- biasanya kerana faktor pengedaran atau jumlah penonton dan rating, serta polisi pemilik/pemegang sahamnya -- tidak jemu-jemu mamainkan isu-isu dan cerita sebegini. Mereka mempelawa dan menampilkan para penganalisis, orang akademik, penulis, dan aktivis sosial untuk memberi pendapat dan berhujah kerana ini membantu memberikan kesahan/keabsahan (legitimasi) kepada isu-isu yang perlu mereka sensasikan itu.

Namun, bagi pendidik/pensyarah, penyelidik, penulis dan petugas-petugas ilmu lainnya, bukankah pendekatan, analisis dan hujah yang dikemukakan seharusnya lebih bertolak dari perspektif dan fakta-fakta yang mantap dan konkrit? Mengapa harus menerima kenyataan dan huraian oleh protagonist politik sebagai given (yang ditetapkan) lalu berlumba-lumba terjun ke gelanggang, riuh-rendah berpencak silat mengikut rentak mereka? Siapakah mereka ini (media dan penaja dan ketua mereka) dalam hal idea dan komitmen membentuk negara-bangsa? Siapakah dan mengapakah mereka yang menentukan agenda untuk perbahasan kita?

Dengan segala jaminan, kemudahan, malah monopoli untuk mengoperasikan media nasional buat sekian lama itu, apakah sumbangan bermakna yang telah diberikan mereka dalam meningkatkan daya pemikiran dan tahap kecerdikan masyarakat? Dan dalam gembar-gembur membina sebuah negara dan segala-gala yang “bertaraf dunia” itu (walaupun kita tidak pernah jelas maksud “bertaraf dunia” ini) adakah sensasi dan keghairahan demikian yang seharusnya disemaikan dan digalakkan..?

Dengan media konvensional yang sedemikian kita sebenarnya tidak mengharapkan suatu pendekatan dan kaedah analisis political economy dalam menangani isu-isu persaingan antara tokoh serta kemelut atau permasalahan politik. Kita juga tidak meminta suatu wacana tinggi yang menghuraikan struktur sosial masyarakat serta meneliti perkaitan dan hubungan kuasa (power relations) antara pelbagai tenaga yang hadir.

Namun, daya fikir dan potensi masyarakat tidak seharusnya dipersendakan, apalagi demi tuntutan picisan media dan pemilik mereka. Begitu juga golongan penulis dan petugas ilmu yang menyumbangkan idea tak seharusnya merendahkan martabat diri walaupun dengan jaminan honorarium, byline dan atau wajah yang sedia terpampang dan terjamin di dada media!

Atau barangkali sesetengah golongan ini sebenarnya sudah mengalami metamoforsis pemikiran (meminjam analogi Kafka) dan kini bertukar menjadi spesis yang kecelaruan mental, kurang keyakinan diri, kemandulan idea, dan seterusnya tidak berasa bersalah atau malu mempamirkan huraian yang amateurish itu? Barangkali demikianlah sesetengah orang, pantang diberi tempat, akan pantaslah dia mengadun bahasa dan kata-frasa sehingga terhasillah lambakan rencana kosong, tanpa tesis dan hujah kuat, tanpa intipati yang mampu mencuit intelek, tanpa perbandingan dan contoh yang dapat membantu memperjelaskan permasalahan. Kita akur di tangan mereka yang ahli, perkara yang kecil boleh dibesarkan dan tampak mustahak, manakala yang simple (“biasa biasa”) boleh diproblematikkan dan kelihatan begitu kompleks…

Akibatnya, saban hari masyarakat dipaksa menonton dan menatap bahan-bahan yang kekurangan atau tanpa mutu. Keghairahan penonton-pembaca terhadap isu-isu sensasi dieksploit sepenuhnya. Pengetahuan dan tahap pemikiran masyarakat lambat berkembang. Negara mengalami kerugian dari segi pembangunan modal insan yang melepas, manakala sebahagian tenaga berpelajaran dan terlatih yang kecewa dengan isu-isu dan politik hambar yang berterusan serta peluang pekerjaan yang terhad bertindak keluar meneroka di daerah-daerah lain (dengan risiko dituduh “tidak patriotik”!).

Masyarakat tentu berhak dilayan dengan lebih terhormat, bukannya terus diperlekehkan dengan bahan-bahan yang remeh-temeh dan merugikan masa nasional itu. Penonton dan pembaca berhak mendapat huraian dan penghujahan yang lebih mencabar minda, bukan dongengan atau propaganda yang membantut perkembangan fikiran dan intelek.

Penulis dan petugas ilmu tentu mempunyai tanggungjawab moral dan sosial terhadap masyarakat, bukan bersekongkol dengan media sedemikian untuk mengkhianati peranan dan tanggungjawab mereka. Mereka seharusnya melihat peluang menulis dan berhujah sebegini sebagai wadah untuk memberi sumbangan substantive dan meningkatkan keupayaan akliah khalayak.

Dalam menangani isu-isu, persaingan dan konflik, malah fenomena politik, faktor-faktor yang lebih fundamental (dan mendasari kemelut tersebut) perlu dikemukakan dan diperdebatkan, tentunya dengan mengambilkira tahap kefahaman pembaca dan penonton. Sebagai contoh: soal kepentingan ekonomi golongan tertentu, soal kekuatan dan imperatif modal (capital) dalam konfigurasi pembangunan dan pembentukan sosial, pengaruh (malahan diktat) kuasa-kuasa luar yang mempunyai kepentingan terhadap apa yang berlaku di negara kita, selain soal kedudukan dan nasib rangkaian serta suku-sakat ketua (protagonis), dan soal hubungan kuasa antara blok-blok yang bertelagah vis-à-vis konstituensi politik mereka, semua ini seharusnya diperhitungkan …

Tanpa mengemukakan dan memperdebatkan faktor-faktor ini sebagai sebahagian equation dalam menghuraikan konflik dan body politic, bagaimana mungkin kita mendasari permasalahan yang dihadapi, dan ekoran itu, bagaimana mungkin fikiran  masyarakat dapat berkembang? Dengan isu-isu arbitrari (sembarangan) yang tak mungkin diselesaikan dengan logic and reason, di samping memakan terlalu banyak masa dan tenaga itu, apakah agenda sebenar media dalam proses pembangunan masyarakat dan negara kita?

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti