Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Usman Awang, Bintang yang Terus Menyinar di Langit Zaman...
Usman Awang, Bintang yang Terus Menyinar di Langit Zaman...
Written by Dr. Azizan Bahari   
Sunday, 03 April 2011 08:50

Bau harum rokok keretek dan kopi o bekalan hariannya ke pejabat di Dewan Bahasa dan Pustaka bagaikan masih terhidu meskipun dia sudah di alam abadi...  Perawakan dan suaranya lembut mesra, kata-kata tersusun indah; bagi saya, Abang Usman hidup sebagai penyair dalam tulisan dan pengucapan.

Usman Awang lama menjadi ikon seni budaya kita, suatu institusi, malah legenda bangsa. Usman penyair romantik dengan bahasa yang menyerap ke lubuk perasaan. Dia seniman progresif -- intipati dan mesej karyanya berakar pada kehidupan, mimpi dan naluri kebebasan rakyat. Usman seorang warga dunia yang menolak persempadanan geografis dan politik; karya-karyanya segar dengan rindu dan cinta kemanusiaan.

Usman yang meninggalkan kita hampir sedekad lalu (pada November 2001) telah menghasilkan tulisan menarik yang tak lentur dek hujan, tak lekang dek panas. Sajak-sajaknya teradun dalam bahasa dan irama yang merdu, dialog dan monolog oleh watak-watak (skrip) teaternya sarat dengan mesej dan cubitan sinis. Menatap dan menontonnya kita pasti berhadapan dengan keserakahan, kebudimanan, dan kesetiakawanan...

Dia tenaga pemersatu yang disegani dalam kalangan pekerja seni. Melalui bimbingan dan dorongannya aneka kesenian bercambah. Selama beberapa bulan di sekitar awal 1970-an semasa menumpang tinggal di bilik buku di rumahnya dan sering bersamanya ke pejabat, saya melihat para sahabat, penyair muda dan pentadbir kerap berkunjung dan berbincang di rumahnya. Layanan dan tegur sapanya sentiasa lepas mesra. Betapa sekawan kucing (12 ekor ketika itu) di rumahnya selalu kelihatan riang. Dan betapa Kak Hasnah, isterinya yang baik hati, sentiasa dalam kesibukan!

Selaku anak muda yang cenderung kepada seni progresif, saya turut menyokong sambil menyaksikan peminat dan penggiat berduyun-duyun mengikuti dan menyertai aneka persembahan. Antaranya saya masih teringatkan kegiatan-kegiatan ala-Cempaka Berbunga dan Manifestasi Dua Seni ilham Abang Usman, atau pementasan skrip-skrip beliau seperti Ibunda (dari karya Maxim Gorky), Uda dan Dara, dan Matinya Seorang Pahlawan.  Ketika itu keghairahan pada pembacaan sajak, lagu puisi dan teater pendek tampak nyata dan genuine. Perkongsian sajak oleh Abang Usman dan rakan-rakan tentang perjuangan rakyat Palestin, petani-petani Telok Gong, penahanan Said Zahari dan sebagainya berkumandang di sana sini. Abang Usman sering bersama dan merupakan bintang bersinar yang menyemarakkan suasana.

Melalui bait-bait yang mengalir dari jari-jemarinya serta dalam kelembutan dan keharmonian madahnya, Usman pencinta rakyat dan alam yang sentiasa teguh dan setia. Sepanjang mengikuti dan mengenalinya, Usman gigih selaku pejuang-pembela golongan marhaen, para pekerja, serta mereka yang dianiaya dan dilupakan.

Saya hanya dibenarkan memerhati beliau dari pintu biliknya ketika dia uzur terbaring, saya juga tiada kudrat untuk menghadirkan diri ketika jenazahnya dikebumikan, namun ingatan, penghormatan dan kasih terhadapnya kental dan kekal merentasi alam...

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti