Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN Warkah Kepada Anak-Anak
Warkah Kepada Anak-Anak
Written by Dr. Azizan Bahari   
Thursday, 10 March 2011 02:01

Minggu berlalu pantas, hinggakan tertangguh membalas e-mel yang kau kirimkan. Tak banyak nak dicatat sebenarnya, sekadar satu dua perkara...

Kini mak dalam semangat membaca dan menulis!  Dia terasa terpanggil untuk segera mencatat sesuatu tentang tok (the matriarch kita!) sebelum terlewat.  Sudah tentu kisah tok akan juga meliputi ahli-ahli keluarga besarnya yang lain.  Untuk itu, sebagai permulaan dan secara berjenaka, ayah syorkan novel A Hundred Years of Solitude karya Marquez.  Karya yang agak ganjil dan menarik (realisme magis) ini berkisar di sekitar watak seorang matriarch yang terus gagah menggerakkan dan memantau beberapa generasi suku-sakatnya (yang kebanyakannya menemui ajal masing-masing).

Tak disangka-sangka mak kini sedang cuba berjinak-jinak dengan novel tersebut! Ya! Mak (akhirnya!) sedang membaca sebuah novel besar oleh pemenang Hadiah Nobel dari Amerika Latin!

Kebetulan pula ayah baharu selesai membaca tiga novel Indonesia – Merahnya Merah dan Ziarah oleh Iwan Simatupang, dan Atheis oleh Akhdiat K Miharja.  Novel terakhir ini telah ayah baca dalam 1970-an dahulu tetapi sudah samar-samar tentang plot, watak-watak, perdebatan dan intrignya.  Kedua-dua yang awal itu sudah lama tertangguh walau sering disebutkan kawan-kawan.

Membaca semula Atheis dengan pertembungan antara tariqat Islam dan sosialisme serta anarchisme Kiri, serta percintaan-percintaan dan perkahwinan manis dan tragis antara para protagonisnya di Indonesia 1940-an ternyata suatu pengalaman hebat, lebih-lebih lagi apabila menalaahnya dengan berlatarkan pengalaman ayah sendiri dalam sepak-terajang dan polemik teologi dan politik pasca 13 Mei (1969), serta juga fasa genting perang dingin (saat-saat terakhir berdirinya Eropah Timur sebagai sebuah blok politik-ideologi) ketika belajar di England sekitar 1980-an.

Wah! Betapa indah walau menyedihkan... Selama 2-3 malam selepas itu bayangan watak-watak dan dialog serta monolog mereka – Hasan, Kartini, Rusli, Anwar – terus-menerus menghantui ayah. Ini barangkali kerana ayah dapat mengidentifikasikan diri dan berkongsi hujah dengan Hasan, seorang Muslim bertukar pseudo-atheist, Rosli, sosialis ”revolusioner” (yang kurang jelas praktisnya), juga anarkis Anwar, watak yang juga muncul dalam kalangan kami dahulu (baik di sebelah Kiri maupun Kanan) dan malahan masih terus menyumbang dengan cara dan gaya tersendirinya sehingga kini!

Ayah berharap dapat segera menyelesaikan Layar Terkembang oleh Sutan Takdir yang juga popular itu, selain Hikayat Abdullah (Munshi Abdullah) dan sebahagian penting Republic (Plato). Bagaimana mungkin dapat kita jelajahi sejarah dan khazanah dari zaman-zaman silam yang juga amat kaya dengan idea, kearifan (wisdom) dan penghujahan itu -- tak kira di Nusantara, Asia, Asia Barat, Eropah, Amerika Latin, Afrika, atau di mana-mana – jika tidak lewat karya-karya sebegini?

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti