Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA CATATAN SIAPAKAH DAN APAKAH PERANAN INTELEKTUAL?
SIAPAKAH DAN APAKAH PERANAN INTELEKTUAL?
Written by Dr. Azizan Bahari   
Wednesday, 05 January 2011 01:42

Siapakah intelektual, dan apakah peranan intelektual terhadap masyarakat?

Persoalan ini telah lama diperkatakan namun tetap suatu persoalan yang merentasi zaman. Saya teringat pernah menatap teks ceramah penyair Usman Awang semasa saya masih muda tentang persoalan ini. Kemudian saya terbaca tulisan Pramoedya Ananta Toer tentang perkara yang serupa. Begitu juga, kemudiannya saya berulang kali menelaah Representations of Intellectuals, buku kecil siri kuliah Edward Said, intelektual Palestin mantan profesor perbandingan sastera di Columbia University (New York), yang sangat menarik dan mencabar itu, dan seterusnya, seterusnya..sehinggalahlah kami (bersama Wan Abdul Manan Wan Muda dan rakan-rakan) mengusahakan satu persidangan kebangsaan – Universiti dan Tradisi Intelektual – di Petaling Jaya pada 1996 (yang dinyatakan di dalam sebuah catatan sebelum ini).

Dalam beberpa tulisan dan wacana, termasuk yang di atas, jawapan kepada soalan siapakah dan apakah peranan intelektual dapat disimpulkan berikut: intelektual seorang yang mempunyai daya fikir, kefahaman, dan kemampuan berhujah yang tinggi dan menggunakan semua ini untuk menyumbang kepada kepentingan yang lebih luas.

Walau bagaimanapun, di sini harus difahami bahawa golongan intelektual atau cendekiawan bukan suatu golongan manusia yang homogen (sama). Mereka boleh dibahagikan kepada beberapa jenis/kategori bergantung kepada sikap/pendirian serta matlamat kerja mereka. Umumnya terdapat tiga kategori intelektual: 1) intelektual establishment, 2) intelektual ”atas pagar” atau oportunis dan 3) intelektual awam (public intelectual).

Ringkasnya, intelektual establishment menggunakan ilmu pengetahuan dan daya inteleknya untuk membantu/menyokong pihak-pihak yang kuat, berkuasa dan berpengaruh seperti pemerintah, syarikat besar, golongan dan kumpulan elit dalam masyarakat, organisasi yang berkepentingan, dan sebagainya (yakni, golongan establishment). Intelektual ”atas pagar” mereka yang menonjolkan diri dan menyokong sesuatu pihak di sesuatu ketika dan suasana mengikut kesesuaian dirinya (dan puaknya). Dalam peribahasa Melayu mereka diibaratkan ”lalang ditiup angin”, yakni tanpa pendirian yang tetap dan jelas. Intelektual awam (public intellectual) pula mereka yang berjuang dengan keupayaan inteleknya untuk kepentingan masyarakat luas, khususnya golongan-golongan atau pihak-pihak yang lemah, terpinggir, tidak mempunyai kuasa, daif dan atau ditindas.

Dalam beberapa hal penting tidak ketara perbezaan antara intelektual establishment dan intelektual ”atas pagar”. Kedua-duanya menyumbang kepada status quo, atau, jika harus melakukan perubahan pun, ia perubahan piecemeal, incremental, atau tidak bersifat struktural, atau menggugat kestabilan (equilibrium) yang sedia wujud di dalam masyarakat. Kepentingan-kepentingan yang sudah terbentuk dan berkembang dari sistem dan peraturan sedia ada akan terus dipertahankan, jikapun tidak dikonsolidasikan lagi. Peranan dan sumbangan kaum intelektual ini juga ke arah melestarikan dasar-dasar dan peraturan yang telah tergubal dan digunapakai itu.

Ini berbeza dengan intelektual awam yang bukan sahaja menggunakan daya intelek dan pengetahuannya untuk menyumbang kepada masyarakat, dia juga harus gigih meneroka idea dan gagasan yang dipercayai dapat membantu menangani isu dan permasalahan dalam masyarakat, hatta melampaui sempadan geografis dan politik negara. Sepertimana dengan intelektual umumnya, intelektual awam mengkaji, menganalisis, merumuskan dan, berdasarkan semua ini, mengemukakan hujah dan pandangannya kepada khalayak dalam pelbagai bentuk dengan menggunakan pelbagai wadah. Namun, berbeza dengan intelektual lain yang boleh selesa dengan karier keintelektualannya, intelektual awam bukan sahaja harus cekal memperjuangkan buah fikiran dan rumusannya, tetapi terpaksa juga kadang kalanya menghadapi risiko dalam kedudukan dan kepentingannya.

Intelektual awam mesti peka dengan perkembangan di sekitar masyarakat dan negara serta sentiasa berikhtiar untuk mempengaruhi keadaan demi kepentingan masyarakat. Seperti intelektual lain dia mungkin melakukan apa jua pekerjaan formal bagi menampung keperluan hidup dirinya dan keluarganya, namun dengan kemudahan dan saluran yang terbatas, dia harus sentiasa mencuba ruang-ruang dan pendekatan baharu serta cara-cara yang lebih kreatif dan berkesan untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Di sini jelas, mewakili dan bersuara bagi pihak yang lemah dan kurang berpengaruh, intelektual awam terpaksa bekerja menongkah arus. Atas sebab yang sama, dia juga mungkin terpaksa menghadapi pelbagai kekangan dalam kerjanya, selain dicurigai atau cuba disisihkan. Namun, dia juga harus accomodating, teguh dan terfokus pada idealisme dan jalan pilihannya, di samping harus punya kebijaksanaan dan keberanian (courage) untuk meneruskan misi.

Untuk itu dia juga harus berkemahiran mewujudkan rangkaian (networking) dengan kawan-rakan yang berkongsi aspirasi. Perlu mewujudkan persepakatan (coalition) dengan pelbagai pihak atas dasar dan objektif yang mencakup kepentingan ramai. Tergambar di sini bahawa persoalan strategi dan metodologi kerja, serta isu ”program minimum” (minimum programme) itu, bukan hanya prerogatif orang-orang politik yang berideologi, tetapi juga sebahagian kemahiran yang dituntut daripada intelektual awam.

Tidak cukup dengan semua itu, seseorang intelektual awam harus hidup bermaruah -- bukan secara senyap-senyap (atau terbuka!) menggadai martabat dirinya untuk kepentingan-kepentingan picisan. Dalam kepungan struktur sosial dan ekonomi yang anomik ini, hidup bermaruah menuntut keberanian untuk menjadi advokat masyarakat dan relatif bebas daripada kongkongan kuasa – baik korporat gergasi maupun negara (the state). Bebas di sini bermaksud berupaya menyatakan sikap dan pandangan meskipun dibataskan oleh peraturan dan alat-alat pemantau dan represif.

Memang, seperti dinyatakan tadi, ini melibatkan risiko. Memang, dalam konteks masyarakat ”sedang membangun” kita, ”mencari makan” dan mencuba aktif sebagai intelektual awam bererti hidup dalam aneka kontradiksi (pertentangan). Itu sebabnya rata-rata kalangan cerdik pandai memilih untuk ”hidup selesa” – tanpa perlawanan dengan sesiapa, mematuhi diktat Kuasa meskipun amat akur dengan kesongsangan dan kejelikan di sekeliling yang mempersendakan intelek serta mencabar conscience mereka. Tetapi, seperti juga dibayangkan, intelektual awam tiada pilihan selain harus terus hidup dan menggunakan segala kebijaksanaan dan kreativitinya agar mampu menguruskan sistem, dan terus bekerja dan menyumbang.

Demikian, sedikit sebanyak siapakah dan apakah peranan intelektual, dan jenis-jenis intelektual dalam kalangan kita. Huraian ringkas ini menunjukkan beberapa perbezaan penting antara jenis-jenis intelektual. Ia juga mengingatkan tentang cabaran dan pahit getir bagi mereka (intelektual awam) yang memilih untuk menyebelahi masyarakat ramai. Mengenali siapa dan apakah peranan intelektual-intelektual ini dapat membantu kita dalam melangkah terus menuju perubahan dan kesejahteraan bersama yang diinginkan.

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti