Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Petikan Ucapan Pengarah Seminar, Dr. Azizan Bahari Di Seminar Kebangsaan Kerja Sosial Dalam Pendidikan, Universiti Utara Malaysia, 10-11 Mei 2010.
Petikan Ucapan Pengarah Seminar, Dr. Azizan Bahari Di Seminar Kebangsaan Kerja Sosial Dalam Pendidikan, Universiti Utara Malaysia, 10-11 Mei 2010.
Written by Dr. Azizan Bahari   
Tuesday, 01 June 2010 00:00

1. Walaupun sudah lama established di negara-negara maju,  termasuk negara-negara yang berdekatan kita (seperti Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun) Kerja Sosial Sekolah (school social work) masih suatu yang baharu di negara kita. Kita difahamkan ada usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum ini  memberikan khidmat sosial kepada pelajar-pelajar yang menghadapi permasalahan sosial berkenaan, tetapi usaha ini tidak berterusan atas sebab-sebab tertentu, dan akhirnya terhenti.

2. Apa yang cuba kita lakukan melalui seminar ini ialah mengetengahkan isu-isu dan cabaran-cabaran yang berkaitan dengan proses pembelajaran dan pembangunan sahsiah remaja/pelajar dan, sehubungan itu, apakah yang dapat dan perlu disumbangkan oleh pekerja sosial terlatih. USM, UUM, UNIMAS dan UMS, sebagai contoh, masing-masing mempunyai program sarjana muda Kerja Sosial, dan sehingga kini sudah ramai graduan kita. Namun, sejauh manakah sumbangan universiti-universiti ini dimanfaatkan oleh pasaran, termasuk pihak Kerajaan sendiri?

3. Di sini, kita juga sekaligus cuba menangani salah faham dalam kalangan masyarakat, malahan kalangan pemimpin juga, tentang perbezaan antara pekerja sosial terlatih (trained social workers) dan pekerja masyarakat sukarela atau pekerja sosial sukarela. Ramai yang tidak sedar dan jelas tentang perbezaan ini, atau tidak tahu tentang kewujudan pekerja sosial terlatih di merata pelusuk dunia (termasuk di negara kita).

4. Kita menjemput pakar kerja sosial sekolah dari Jepun, Prof Eizaburo Yamashita yang juga selaku Presiden Persatuan Kerja Sosial Sekolah Jepun untuk menyampaikan ucaputama selepas perasmian ini, dan beliau juga diminta mengendalikan satu bengkel khas tentang Kerja Sosial Sekolah di bahagian akhir seminar.

5. Kita juga akan mengadakan satu perbincangan panel pada 10 Mei. Antara anggota panel ialah: Dato’ Abdullah Malim Baginda, mantan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Dr Zulkarnain Ahmad Hatta, pensyarah USM yang banyak mengikuti perkembangan bidang Kerja Sosial Sekolah di dalam dan di luar negeri, dan Sdr Teoh Ai Hua, Presiden Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW), satu-satunya pertubuhan yang mewakili kepentingan pekerja sosial di seluruh negara.

6. Ada soalan ditimbulkan oleh para peserta seminar tentang ke mana seminar kita selepas ini. Akan adakah sebarang usul seminar yang bakal dipanjangkan kepada pihak-pihak tertentu? Soalan demikian timbul barangkali kerana antara kita merasakan terdapat perkara-perkara penting dan bermakna yang tidak harus hilang atau berakhir begitu saja. Barangkali ada yang terpanggil untuk meneruskan usaha, untuk melihat suatu penjelmaan konkrit daripada pembentangan, hujah atau percambahan idea yang berlangsung selama dua hari ini.

7. Kepada soalan yang demikian sekali lagi saya katakan bahawa InsyaAllah, pihak Sekretariat Seminar akan meneliti perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam seminar ini dan membuat suatu rumusan berdasarnya untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran, Suruhanjaya dan Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan pihak-pihak lain yang berkenaan.

8. Tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bahawa seminar mungkin sahaja diadakan dan berlalu bagaikan Angin Timur di daerah Sintok...  Dia akan berkunjung lagi bila tiba musimnya, dan kemudian berakhir. Tapi, saya percaya tuan-tuan dan puan-puan, tak kira dari mana latar belakang pendidikan dan pekerjaan, amat faham betapa pentingnya kandungan dan tema seminar kita ini. Dengan kegawatan sosial dan kompleksiti permasalahan yang menjerat anak-anak muda kita sekarang, apakah kita harus bersembunyi, menyendiri, atau mempersetankan semua itu? Adakah sebahagian kita percaya bahawa kita tiada idea, tiada peranan yang boleh dimainkan? Adakah kita sanggup membiarkan anak-anak yang berisiko itu, dan ramai lagi yang mungkin terpengaruh dan terjebak nanti, mendewasa tanpa peluang memperbaiki diri dan seterusnya  menjadi insan dan anggota masyarakat yang menyumbang?

9. Selain pihak-pihak atas sana (Kementerian, pembuat dasar, pengurusan tinggi, dsb.) kita masing-masing juga harus mengupayakan diri untuk melakukan sesuatu di peringkat kita. Kita sebagai ibubapa dan penjaga anak-anak, sebagai guru dan pensyarah, sebagai pentadbir sekolah dan pusat pengajian, melalui PIBG, selaku penyelidik, penulis, wartawan, aktivis masyarakat, pekerja komuniti, pemimpin/anggota pertubuhan sukarela, ahli Rukun Tetangga, JKKK, penjawat awam, profesional, pentadbir pusat pengajian, dan pelbagai lagi... kita masing-masing, dan secara kolektif, pasti ada sesuatu yang boleh disumbangkan! Pasti ada!

10. Isu-isu dan permasalahan sosial pelajar/remaja yang kita bincangkan selama dua hari ini semakin membesar dan penting untuk dibiarkan begitu sahaja, hatta kepada Kerajaan sendiri. The issue is becoming bigger and complex to be left to the machinary of the State alone. Indeed, the state is powerless if we, the supposedly concerned and active citizens, do nothing.

11. Special thanks to Prof. Eizaburo Yamashita, the President of School Social Work Association Japan, who delivered a keynote address and conducted a three-hour workshop on School Social Work at this seminar. Prof Yamashita, I must say that in your humbleness, you have been a great factor at this two-day program!

12. Bagi pihak JK Pengelola Seminar, saya mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir selaku peserta, pembentang, ahli panel, pengiring pembentang dan lain-lain.

13. Kami mengucapkan terima kasih kepada Kementerian, jabatan, pertubuhan dan orang-orang perseorangan, UUM-CAS, The University Inn UUM, dan ramai lagi yang tak disebutkan di sini tetapi tersenaraikan di dalam brosur Program Seminar.

14. Kepada rakan-rakan dalam Program Pengurusan Kerja Sosial UUM-CAS, termasuk para pelajar kita, Terima Kasih  dan Tahniah! Sdr/i telah melakukan yang terbaik di bawah kemampuan dan keterbatasan yang ada.

15. Sekian, Semoga sedikit sebanyak usaha kita ini mendapat keredaan Ilahi.

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti