Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Permasalahan Sosial Pelajar: Keperluan Kepada Kerja Sosial Sekolah
Permasalahan Sosial Pelajar: Keperluan Kepada Kerja Sosial Sekolah
Written by Dr. Azizan Bahari   
Tuesday, 01 June 2010 00:00

Azizan bin Bahari, Ph.D
Program Pengurusan Kerja Sosial
Universiti Utara Malaysia
E-mel: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
Laman web: www.sukarelawanmalaysia.com

Abstrak

Kertas ini membincangkan keperluan kerja sosial sekolah. Dalam konteks permasalahan sosial yang semakin kompleks hari ini kertas ini menerangkan mengapa pekerja sosial terlatih harus diberi peluang untuk turut memainkan peranan bagi membantu pelajar berkenaan menangani keadaan. Sehubungan itu tugas dan peranan pekerja sosial di seting sekolah dihuraikan. Turut dibincangkan ialah beberapa kekangan dan cabaran yang perlu ditangani dalam mengetengahkan idea penempatan pekerja sosial terlatih di sekolah, antaranya, dasar Kerajaan, sikap masyarakat, political will pemimpin, penawaran tenaga kerja terlatih, dan peranan masyarakat sivil. Kertas ini menyarankan supaya beberapa pihak yang sangat berkaitan dengan isu ini diajak untuk sama-sama terlibat mempengaruhi perubahan dasar agar kerja sosial sekolah mendapat tempatnya di Malaysia dan pelajar/remaja yang berisiko atau memerlukan bantuan mendapat perkhidmatan dan sokongan yang sewajarnya.


Pendahuluan

Permasalahan sosial dalam kalangan pelajar/remaja suatu subjek yang sering dan hangat diperkatakan pelbagai pihak. Ia juga semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengkaji/penyelidik di institusi pengajian tinggi (lihat Rohany et al, 2005). Permasalahan yang simptom atau gejalanya meliputi buli, penyalahgunaan dadah, lumba haram, ponteng sekolah, ketidakupayaan belajar, keciciran, keengganan membaca, vandalisme, seks bebas, masalah salahlaku dan disiplin, pembuangan bayi, gangsterisme, dan jenayah ini semakin meresahkan masyarakat dan dibimbangi menimbulkan kekecewaan yang boleh menyebabkan kehakisan keyakinan terhadap sistem sosial umumnya.

Walaupun terdapat pelbagai cadangan bagi menangani keadaan, ternyata kebanyakannya tinggal cadangan. Preskripsi ala-ceramah yang banyak mencirikan bengkel dan pertemuan dengan remaja dikhuatiri kurang berkesan. Begitu juga rejim peraturan dan kepatuhan tidak semestinya dapat menyebati diri remaja, apalagi dihayati mereka.

Pendekatan dan kaedah-kaedah lain juga perlu digemblengkan bagi mendepani permasalahan. Ini kerana gejala-gejala sosial umumnya, termasuk yang dihadapi pelajar/remaja, ialah cerminan dan kesan dari realiti sosio-ekonomi dan politik masyarakat yang lebih mencakup. Ia bukan permasalahan mikro yang muncul dan menular secara terpisah dari kecacatan struktur dan kehakisan sistem sosial masyarakat. Selain kajian dan analisis tentang permasalahan, dasar dan program tindakan yang integratif lagi konsisten sangat diperlukan.


Permasalahan Sosial Masa Kini

Dalam konteks perubahan sosio-ekonomi dan politik hari ini permasalahan sosial pelajar/remaja juga fenomena yang semakin kompleks. Kelemahan institusi keluarga, bebanan guru dan sistem pendidikan yang menekankan peperiksaan, kesan “hegemoni” media dan internet, pembandaran, perubahan teknologi, kehakisan institusi keluarga, serangan nilai-nilai materialistik ekoran perkembangan ekonomi dan peningkatan tahap affluence masyarakat, dan sebagainya itu bercampur-baur mempengaruhi perspektif hidup (nilai), sikap dan tingkah laku pelajar (lihat Azizan, 2004). Sebahagian mereka terjebak atau menjadi mangsa kepada situasi ini, dan jika tidak dibantu atau diperkasakan, akan lebih menyulitkan proses pembangunan masyarakat dan negara seluruhnya.

Dalam mengamati permasalahan ini suatu yang mesti diakui oleh semua pihak ialah: seperti anggota-anggota lain masyarakat, pelajar/remaja yang berisiko ini juga mempunyai hak yang sama ke atas sumber-sumber dan kemudahan-kemudahan yang disediakan negara. Mereka berhak hidup sebagai insan biasa dalam erti kata mendapat pendidikan yang sempurna, berpeluang meningkat kapasiti dan membangunkan diri, dan berkembang menjadi warga negara yang menyumbang (kefungsian sosial).

Menangani permasalahan ini tidak syak menuntut kefahaman tentang konteks, latar dan interplay tenaga-tenaga sosio-ekonomi dan politik tersebut, di samping memerlukan pengemblengan tenaga pelbagai sumber yang berkaitan. Dalam perkataan lain, tidak cukup dengan sekolah sahaja, dan tidak juga cukup sekadar keluarga sahaja; pelbagai pihak – komuniti, jabatan/agensi di sekitar, sektor sukarela, pihak swasta dan lain-lain – harus juga dilibatkan dan bekerjasama dalam menghadapi isu-isu dan permasalahan ini.

Di peringkat mikro – permasalahan psiko-sosial yang dihadapi pelajar/remaja – juga menuntut pendekatan dan cara kerja yang sesuai dengan keperluan kes dan konteks sosial. Ini ternyata suatu bidang yang kurang diberi perhatian. Terlalu banyak masa dan tenaga diberikan kepada hal-hal isu dan permasalahan, serta dasar dan peraturan, tetapi tidak banyak kepada soal model/pendekatan, kaedah dan kemahiran untuk bekerja dengan golongan yang memerlukan bantuan. Permasalahan sosial, termasuk yang dihadapi pelajar/remaja, memerlukan input kategori kedua ini untuk memungkinkan ia ditangani sebaiknya.


Peranan dan Tugas Pekerja Sosial

Selain ibu bapa dan keluarga, guru, pentadbir sekolah dan kaunselor (yang kini sudah ditempatkan di sekolah), pelajar berisiko juga harus mendapat bantuan pekerja sosial terlatih bagi menghadapi situasi yang dialaminya. Sinergi ini dapat memperkayakan pendekatan dan kaedah bekerja dengan pelajar di samping lebih menjamin keberkesanan bantuan.

Pekerja sosial terlatih telah melalui proses pembelajaran dan latihan khusus untuk bekerja dengan pelbagai pihak yang memerlukan bantuan. Pekerja sosial didedahkan kepada ilmu dan teori-teori asas, pendekatan dan kemahiran-kemahiran intervensi untuk bekerja dengan individu, kumpulan/kelompok, keluarga, komuniti dan organisasi dalam rangka memperkasakan (empower) atau meningkatkan keupayaan pihak sasaran ini agar dapat berfungsi dalam persekitaran sosialnya (DuBois & Miley, 2005; Trevithick, 2005; Zastrow, 2004). Mereka juga dibekalkan dengan prinsip-prinsip, nilai-nilai dan etika kerja sosial untuk menjalankan proses membantu pihak-pihak berkenaan.

Pekerja sosial rata-ratanya dilatih sebagai pengamal generalist yang membolehkan mereka beroperasi dalam pelbagai seting, termasuk seting pendidikan (sekolah, kolej, universiti dan sebagainya). Asas generalist ini bolehlah dimantapkan dengan pendedahan dan latihan yang lebih khusus (specialized) bergantung kepada keperluan kerja dan pihak sasaran.

Selain itu pekerja sosial yang baru bertugas juga perlu mendapat penyeliaan daripada orang yang berpengalaman dalam bidang tugasan tersebut. Ini untuk memastikan dia menjalankan tugasnya berpandukan ilmu, prinsip-prinsip, nilai dan etika, serta tatacara kaedah yang digunapakai dalam profesion kerja sosial agar dapat memberikan khidmat terbaik kepada pihak sasaran dan masyarakat.

Dalam membantu pelajar yang berisiko atau memerlukan bantuan, sebagai contoh, pekerja sosial terlatih seharusnya dapat bekerja dengan pelajar (individu), rakan sebaya pelajar, keluarga pelajar, komuniti setempat, dan dengan jabatan/agensi dan organisasi di sekitar, selain dengan guru-guru, pentadbir dan kaunselor di sekolah. Dia menggunakan pendekatan dan kaedah-kaedah yang dipelajarinya bagi membantu pelajar seperti kaedah kerja kes, kerja kumpulan (kelompok), kerja dengan keluarga dan kerja komuniti.

Bekerja dengan pelajar (kes) yang berisiko atau memerlukan bantuan menuntut ilmu dan kemahiran-kemahiran psiko-sosial tersendiri. Begitu juga untuk berurusan dengan keluarga pelajar, rakan sebaya dan sistem sosialnya yang lain menuntut kefahaman budaya dan nilai, keupayaan menganalisis, networking, dan kebolehan menyusun dan mengemblengkan sumber-sumber di sekitar.

Pekerja sosial membuat lawatan dan bertemu ibu bapa atau penjaga pelajar di rumah, menemubual, memerhati dan mengenali ahli-ahli keluarga pelajar, berbincang dengan rakan-rakan pelajar berkenaan (termasuk yang di luar sekolah), serta meninjau dan mendapatkan maklumat tentang komuniti. Dia harus menggunakan kreativitinya dan mengambil inisiatif bekerjasama dengan sumber-sumber di sekitar bagi membantu pelajar sambil berusaha membentuk persekitaran agar lebih terbuka, prihatin dan supportive terhadap pelajar. Kerja sebegini di luar bidang tugas guru dan kaunselor dan harus dilihat sebagai saling membantu (complementary) dengan apa yang sedang dan boleh dilakukan oleh guru, pentadbir sekolah dan kaunselor.

Peranan dan tugas pekerja sosial jelas lebih khusus dan memfokus kepada membantu pelajar menangani permasalahan tersebut dalam pelbagai persekitarannya. Pekerja sosial berperanan meningkatkan keupayaan (kapasiti) dan potensi pelajar – pembangunan sahsiah, kemajuan akademik dan juga perhubungan sosialnya. Pelajar dilihat bukan sebagai entiti yang berasingan daripada persekitaran sosialnya (di dalam maupun di luar sekolah). Permasalahan sosial pelajar dan tahap keupayaan pembelajaran dan pembangunan sahsiahnya dianalisis dan cuba ditangani dari perspektif dan berdasarkan konteks yang luas (sosial) ini. Selain membantu individu pelajar, intervensi (pencelahan) yang dilakukan pekerja sosial juga meliputi usaha pengubahsuaian atau perubahan sistem dan persekitaran yang turut mempengaruhi permasalahan sosial ini.

Jelas, untuk bekerja dengan remaja dan orang muda menuntut sikap, pendekatan dan kemahiran-kemahiran tertentu (Smith, 2008; Sapin, 2009; Wood & Hine, 2009). Tanpa ini isu dan permasalahan sosial hanya suatu retorik yang berligar di pentas ceramah atau di dewan persidangan sahaja. Pekerja sosial (termasuk pekerja belia) terlatih didedahkan kepada aspek-aspek kerja ini dan seharusnya dapat mengaplikasikan apa yang dipelajarinya kepada situasi objektif di lapangan, di samping melakukan kajian berterusan bagi meningkatkan kefahaman dan keberkesanan kerja.

Peningkatan permasalahan sosial dalam kalangan pelajar/remaja hari ini memerlukan pekerja sosial terlatih di seting sekolah. Sama ada pekerja sosial ini (a) di tempatkan di sekolah, atau (b) ditempatkan di Jabatan Pelajaran dan ditugaskan mengendalikan kes-kes berkenaan di beberapa buah (kelompok) sekolah, atau (c) ditempatkan di agensi atau jabatan lain (bukan Pelajaran) tetapi memberi khidmat sosialnya kepada pelajar berkenaan, semua itu pendekatan atau model-model yang boleh dipertimbangkan. Pelbagai model ini telah digunapakai di negara-negara lain dan boleh dijadikan asas pertimbangan kita di sini. Yang penting pelajar berisiko atau yang memerlukan bantuan mendapat khidmat pekerja sosial terlatih bagi menghadapi situasi berkenaan.

 

Kekangan dan Cabaran

Pekerja sosial terlatih wajar diberi peluang untuk sama-sama berperanan membantu pelajar-pelajar berisiko dan pelajar-pelajar lain juga yang memerlukan bantuan. Namun terdapat beberapa kekangan dan cabaran dalam cadangan mendapatkan khidmat pekerja sosial ini, antaranya: dasar Kerajaan, sikap masyarakat, political will pemimpin, penawaran tenaga kerja yang terlatih (pekerja sosial), dan peranan masyarakat sivil.

 

Dasar Kerajaan

Pada tanggapan penulis, kekangan dan cabaran utama bagi cadangan ini ialah dasar Kerajaan, khususnya pihak Suruhanjaya dan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran. Keperihatinan dan komitmen mereka dalam usaha menangani permasalahan sosial ini, kesediaan mereka melihat permasalahan dari perspektif yang lebih luas dengan implikasi pendekatan (bagi menanganinya) yang juga secara holistik dan bersepadu, sesuatu yang dipercayai dapat membantu.

Sehingga kini belum terdapat jawatan (designation ) “pekerja sosial” dalam perjawatan sektor awam di Malaysia. Pengalaman penulis dalam mengendalikan bengkel-bengkel yang melibatkan penjawat awam juga menunjukkan betapa kecilnya bilangan mereka yang terlatih dalam kerja sosial diambil bekerja dalam bidang-bidang yang berkenaan. Akta Kerja Sosial (yang mungkin dapat membantu mengatasi keadaan ini) sudah agak lama diperbincangkan, namun sehingga kini masih belum menjadi kenyataan.

Tidak juga jelas apakah pihak-pihak yang mengkaji dan menggubal dasar tidak maklum dengan pengalaman-pengalaman masyarakat yang lebih maju dalam bidang ini (kerja sosial di seting sekolah / pendidikan) seperti Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, New Zealand dan Singapura, sekadar beberapa contoh di sekitar kita.

Dalam kalangan sesetengah birokrasi perkara yang sering dibangkitkan setiap kali idea atau cadangan dikemukakan ialah “masalah kewangan”. Dalam keadaan ekonomi sekarang mereka nampaknya menemui alasan paling mudah dalam “masalah kewangan” ini untuk mengecualikan diri (baca Kementerian, jabatan atau agensi) daripada sesuatu yang mempunyai implikasi kewangan . Kerana kewangan mereka enggan terlibat meskipun sekadar berbincang dan meneroka idea dan pengalaman lain yang mungkin dapat membantu menjayakan hasrat murni bos politik mereka sendiri!

Walau bagaimanapun, suatu asas penting yang boleh dipertimbangkan berhubung idea kerja sosial di sekolah ini ialah Akta Pendidikan 1996 itu sendiri. Mukadimah akta ini, antara lain, menyebut:

“Dan bahawasanya Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dizahirkan seperti berikut:

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu seseorang secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan...” (Akta Pendidikan 1996).

Jika mukadimah yang merupakan objektif akta ini ditafsirkan dan diterjemahkan dalam konteks permasalahan sosial semasa yang dibincangkan di sini maka ruang bagi penglibatan pekerja sosial dalam usaha bersama membangun potensi pelajar jelas terbuka.

Begitu juga dengan kenyataan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Muhyiddin Yassin pada Mac 2010 yang mahukan audit komprehensif dilakukan bagi menentukan kekurangan dan keperluan sekolah-sekolah di seluruh negara, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan-kawasan pendalaman di Semenanjung (Goh, R., 2010). Kenyataan yang turut menyebut hasrat Kementerian melakukan transformasi ke atas Sistem Pendidikan Kebangsaan yang bakal menekankan usaha-usaha membangun potensi pelajar secara yang lebih seimbang itu jelas suatu kenyataan positif yang seharusnya mendapat respons daripada dan disusuli dengan langkah-langkah proaktif oleh pihak-pihak yang prihatin.


Sikap Masyarakat

Seperti dinyatakan di awal kertas ini, masyarakat semakin resah dengan permasalahan sosial ini. Sebelum keadaan menjadi “tidak terkawal” dan mereka kecewa serta hilang kepercayaan terhadap kemampuan sistem menangani keadaan maka sesuatu yang konkrit wajar disegerakan.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang merupakan stakeholder utama dalam melihat permasalahan sosial ini ditangani dan pelajar yang terjebak mendapat bantuan sewajarnya boleh berperanan aktif membawa isu keperluan pekerja sosial di seting sekolah ini ke atas. Peranan PIBG dalam hal ini vis-a-vis kepimpinan di pelbagai peringkat, suatu faktor penting yang dipercayai berupaya mempengaruhi keadaan.


Political Will Pemimpin

Dalam banyak isu yang menyentuh dasar-dasar kepentingan luas masyarakat, political will pemimpin sesuatu yang dianggap kritikal. Pandangan, apalagi gesaan pemimpin politik, lebih mudah mendapat respons daripada pihak birokrasi dan profesional yang bekerja di bawahnya.

Dalam konfigurasi pemerintahan sesebuah demokrasi, politik merupakan komponen dominan yang sering menentukan dasar. Hasrat pemimpin politik diterjemahkan sebagai arahan. Dan melalui proses pemilihan, pemimpin politik yang mewakili kepentingan awam berhak dan berkewibawaan menerajui perubahan, manakala golongan birokrasi yang berkhidmat di bawah arahan “the political masters” harus akur.

Di sini soal pekerja sosial di seting sekolah juga menuntut kefahaman dan seterusnya sikap positif pemimpin politik. Tidak cukup sekadar bengkel dan seminar yang lebih bersifat mass education, usaha-usaha advokasi dan melobi juga harus digiatkan ke arah mendapatkan perhatian, simpati, persetujuan dan sokongan (endorsement) serta komitmen politik pemimpin.

Walau bagaimanapun, sama ada kerana beban dan tuntutan tugasnya yang banyak dan pelbagai itu, atau beranggapan dan berharap orang-orang di bawahnya akan melaksanakan hasrat dan cadangannya, pemimpin politik rata-ratanya berhenti bertindak selepas membuat kenyataannya. Dalam situasi begini menjadi tugas dan peranan pihak-pihak lain, khususnya konstituensi politik (yang semestinya dianggap penting oleh pemimpin) seperti pelbagai kumpulan, jawatankuasa penduduk tempatan, dan pertubuhan masyarakat untuk terus menyuarakan permasalahan dan agenda penting ini.

Selain itu kalangan guru dan pentadbir sekolah, kakitangan di jabatan-jabatan (khususnya yang bekerja dengan remaja belia, kanak-kanak, keluarga dan komuniti), dan ahli akademik di universiti yang peka dengan permasalahan sosial dan bersetuju dengan idea keperluan peranan pekerja sosial di seting sekolah ini, mereka juga harus memainkan peranan masing-masing sewajarnya. Input profesional mereka perlu untuk memantapkan political will pemimpin dan memungkinkan ia diterjemahkan secara konkrit.


Penawaran Tenaga Terlatih

Pendidikan dan latihan kerja sosial di universiti-universiti kita mengandaikan wujudnya pasaran bagi para graduannya. Hal ini kurang tepat. Meskipun pembangunan negara pesat dan kesan-kesan sampingannya (permasalahan sosial) bertambah dan menjadi semakin kompleks, pasaran umumnya (termasuk sektor awam yang disebutkan di atas) agak lembab dan kurang responsif kepada pendidikan dan latihan kerja sosial.

Dalam keadaan demikian pun universiti masih dapat terus mendidik dan melatih pekerja sosial, namun tanpa spesifikasi (keperluan dan tuntutan khusus) daripada pasaran, tanpa interaksi dinamik antara penawaran dan permintaan, maka universiti sentiasa tercari-cari suatu penanda aras bagi produknya. Universiti juga tidak tercabar untuk berkembang lalu menjadi “pusat kecemerlangan” seperti yang diarahkan dan diusahakannya.

Sehubungan ini pendidikan dan latihan kerja sosial di universiti kekurangan unsur-unsur peribumi (indigenous) yang sememangnya penting bagi keberkesanan sumbangannya. Kerja sosial yang terlalu “universal” mengundang permasalahan-permasalahan lain, khususnya penerimaan masyarakat dan kesesuaian teori dan sistem amalannya dalam persekitaran sosio-budaya tempatan. Malahan dalam soal kerja sosial dalam pendidikan di negara kita inipun pendekatan dan model yang sesuai masih perlu dibahaskan dan dirumuskan.

Walau bagaimanapun, seperti dinyatakan di atas, persiapan pelatih pekerja sosial berpandukan piawaian antarabangsa tetap terus dilaksanakan di universiti. Dengan persiapan tersebut graduan kerja sosial sudah mempunyai asas-asas yang diperlukan untuk bekerja, termasuk di seting sekolah. Kekurangan atau keterbatasan mereka harus ditangani melalui program penyeliaan yang lebih sistematik dan juga pendedahan dan latihan khusus (tambahan) sesuai dengan tuntutan kerja dan kepentingan pelanggan.


Peranan Masyarakat Sivil

Gerakan dan pertubuhan sukarela yang terlibat dalam bidang-bidang pendidikan dan pembangunan remaja belia juga mempunyai tanggungjawab moral dan peranan tertentu dalam hal ini. Pertubuhan belia, pertubuhan pelajar, pertubuhan wanita, badan-badan kebajikan kanak-kanak di pelbagai peringkat, sebagai contoh, yang sentiasa mengikuti permasalahan sosial dan kelemahan pembelajaran dalam kalangan golongan pelajar ini harus tampil menyatakan pendirian, mengemukakan cadangan, di samping melakukan sesuatu yang konkrit bagi menangani keadaan.

Umum mengetahui bahawa pelajar yang dikategorikan sebagai cemerlang dan berjaya dalam penilaian sememangnya mempunyai tempat-tempat dan kedudukan terjamin dalam sistem pendidikan dan pasaran kerja. Dewasa ini kanak-kanak berpotensi seawal pra-sekolah pun dijanjikan aneka kemudahan untuk berkembang maju (lihat Zulita Mustafa, 2009). Mengapa pelajar-pelajar yang menghadapi permasalahan atau kekurangan upaya (semula jadi atau sosial) begitu sukar mendapat kemudahan dan bantuan yang sepatutnya untuk memperbaiki diri dan maju ke hadapan? Ini persoalan tanggungjawab moral dan keadilan sosial yang mendasari falsafah dan prinsip kerja kemasyarakatan umumnya.

Sehubungan ini Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW) sebagai organisasi khusus bagi pekerja sosial terlatih di negara ini tentunya mempunyai tanggungjawab dan peranan besar dalam mengartikulasikan agenda ini dan melakukan advokasi serta networking (dengan Kementerian, jabatan dan agensi berkenaan, di samping jabatan-jabatan kerja sosial di universiti) bagi mempengaruhi penggubalan dasar, mendapatkan mandat perundangan (legislative mandate), dan pelaksanaan penempatan pekerja sosial di seting sekolah.

Dengan himpunan pengalaman dan kepakaran yang ada MASW harus menubuhkan jawatankuasa khas dan pelan tindakan yang tersusun bagi merealisasikan agenda ini. Begitu juga dengan perhubungan serta pergabungan dengan organisasi-organisasi kerja sosial antarabangsa, MASW dan ahli-ahli profesionalnya harus bertindak selaku the prime mover bagi memperjuangkan peningkatan martabat dan kemajuan profesion kerja sosial di Malaysia.

 

Kesimpulan

Permasalahan sosial dalam kalangan pelajar/remaja suatu fenomena yang menuntut kefahaman dan komitmen negara untuk ditangani sebaiknya. Ia jelas memerlukan pemuafakatan dan sumbangan pelbagai pihak, termasuk kalangan pekerja sosial terlatih.

Pekerja sosial yang dipersiapkan khusus untuk bekerja dengan individu dan golongan yang memerlukan bantuan, termasuk pelajar/remaja ini, merupakan suatu sumber dan modal insan yang wajar dilibatkan dalam agenda penting ini. Dalam perubahan pesat dan semakin kompleks ini kerja sosial sekolah yang sudahpun beroperasi di negara-negara maju itu harus dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat dan negara kita.

Walaupun wujud beberapa kekangan dan cabaran dalam mengetengahkan idea kerja sosial sekolah di negara kita terdapat juga faktor-faktor atau pihak yang berkeupayaan dan berpengaruh dalam masyarakat yang boleh diajak sama-sama memainkan peranan bagi menjayakan idea ini. Yang penting pelajar/remaja yang berisiko dan memerlukan bantuan perlu segera mendapat perkhidmatan dan sokongan, khususnya daripada mereka yang terlatih untuk membantu, agar dapat membangun kapasiti dirinya dan berkembang menjadi warga negara yang menyumbang.

 

 

Rujukan

Akta Pendidikan 1996. (1998). Kuala Lumpur: International Law Book Service.

Azizan Bahari (Ed.). (2004). Generasi muda menangani cabaran. Alor Setar: Yayasan Dr.Rodzi.

Goh, R. (2010). Muhyiddin orders comprehensive audit on school’s needs. Dlm. Arkib Akhbar Pusat Sumber BTP. Diakses pada 17 April 2010, daripada http://prbbtp.wordpress.com/category/the-new-straits-times/page/2/

DuBois, B. & Miley, K.K. (2005). Social work: an empowering profession. Boston: Pearson Education, Inc.

Rohany Nasir et.al. (Eds.). (2005). Siri prosiding realiti generasi muda: melangkah ke hadapan. Putrajaya: Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

Sapin, K. (2009). Essential skills for youth work practice. London: SAGE Publications Ltd.

Smith, R. (2008). Social work with young people. Cambridge: Polity Press.

Trevithick, P. (2005). Social work skills: a practice handbook (2nd.ed.). New York: Open University Press.

Wood, J. & Hine, J. (eds.). (2009). Work with young people: theory and policy for practice. London: SAGE Publications Ltd.

Zastrow, C. (2004). Introduction to social work and social welfare : empowering people (8th.ed.). Belmonth: Brooks/Cole-Thomson Learning.

Zulita Mustafa. (2009). Permata Negara fosters interaction from young. Dlm. New Straits Times, 12 Oktober, 2009, hal. Y5.


__________________________________

# Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Kebangsaan Kerja Sosial dalam Pendidikan anjuran Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW) pada 10-11 Mei 2010 di UUM, Sintok, Kedah.

 

 

Aktiviti

Aktiviti