Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Pengupayaan Komuniti
Pengupayaan Komuniti
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 09 January 2009 06:59

Oleh : Azizan Bahari

 

 

 

Pengupayaan (empowerment) atau pemerkasaan mengandungi idea dan maksud kesedaran tentang maruah/martabat dan harga diri, hak-hak rakyat mengambil sikap, membuat keputusan dan seterusnya, secara aktif, melibatkan diri dalam menangani perubahan.

 


Idea pengupayaan menjadi amat relevan dalam konteks pembangunan yang sukar dipastikan arah dan matlamatnya kini. Dalam pembangunan demikian peranan rakyat tidak dianggap penting, malah sering dipinggirkan. Mereka dilihat lebih sebagai penerima atau “pihak yang akan menikmati hasil pembangunan”. Mereka hanya perlu menyokong, mengikut arahan pihak berkuasa atau atasan dan memastikan agenda dan projek-projek pembangunan itu “berjaya”.

 

 

Mereka sebenarnya tidak dianggap penting. Walaupun masih dilihat sebagai peserta dalam pembangunan, mereka adalah peserta yang pasif (passive participants).

 

 

Sebaliknya, melalui idea pengupayaan, perspektif dan pendekatan pembangunan yang demikian cuba ditukar. Melalui pengupayaan hak dan kuasa cuba dikembalikan ke tangan rakyat untuk mereka sama-sama terlibat dalam merancang, melaksanakan, menilai dan memperbaiki pembangunan. Jelas, peranan rakyat sendiri menjadi penting. Di sini, dengan pengupayaan dimaksudkan bahawa potensi dan tenaga rakyat diiktiraf, dimartabatkan dan digalakkan.

 

 

Namun, seperti yang kita sedia maklum, pengupayaan bukan sesuatu yang dapat dicapai dengan mudah atau dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat. Ia proses yang memakan masa dan amat mencabar. Selain tenaga yang committed, ia memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan untuk dilaksanakan.

 

 


Mengapa Pengupayaan Penting?

 

 

Pengupayaan penting kerana ia menghormati maruah dan harga diri rakyat. Pengupayaan mengembalikan kedudukan (status) dan peranan sebenar rakyat dalam proses perubahan. Mereka tidak dikesampingkan sebagai penerima bantuan, lalu dicemuh dan disindir kerana dikatakan mempunyai mentaliti subsidi dan terlalu bergantung kepada ihsan pihak berkuasa. Sebaliknya, pengupayaan mementingkan rakyat dan mengiktiraf mereka sebagai penentu pembangunan.

 

 

Pengupayaan penting kerana ia menghargai kemampuan atau potensi rakyat dalam pembangunan. Sumber yang banyak dan pelbagai ini tidak disia-siakan begitu sahaja, sebaliknya digalakkan untuk menyumbang kepada kesejahteraan bersama. Hanya dengan terserlahnya kebolehan, daya kreatif, kemajmukan dan kekuatan rakyat baru sebuah masyarakat dan negara-bangsa mampu melonjak ke hadapan mencipta kejayaan yang penting dan bermakna.

 

 

Selain itu, melalui pengupayaan prinsip-prinsip demokrasi dapat dihayati. Pandangan, keputusan dan kehendak rakyat terbanyak mendapat tempat yang sewajarnya. Rakyat bukan lagi the silent majority yang sering diketepikan, tetapi suatu tenaga yang turut mencorakkan dan menentukan perubahan dan masa depan.

 

 

 


Bekerja Dengan Komuniti

 


Kerja sukarela, jika dikendalikan dengan terancang, mampu menyumbang kepada proses pengupayaan komuniti ini. Di sini, salah satu bidang kerja sukarela yang dapat membantu usaha-usaha ke arah pengupayaan rakyat ialah “kerja komuniti” atau kerja dengan komuniti..

 

 

Kerja sukarela ini dilaksanakan dalam suatu seting komuniti, dengan kehadiran anggota-anggota dan pelbagai pihak dalam komuniti berkenaan. Komuniti yang dimaksudkan biasanya ialah komuniti miskin atau terpinggir – tak kira sama ada di kota, di desa, atau di kawasan pendalaman – walaupun ini tidak harus menghalang kerja komuniti dilaksanakan di kalangan mereka yang taraf sosioekonominya lebih baik (seperti golongan menengah rendah dan menengah tengah).

 

 

Sebagai suatu usaha yang mencabar dan berjangka panjang, pengupayaan memerlukan tenaga sukarela yang cekal dan tabah, sabar dan berani. Ia juga menuntut beberapa kemahiran asas yang penting, di samping kesedaran dan iltizam yang tinggi di kalangan sukarelawan berkenaan.

 

 

Di sini terdapat beberapa komponen atau aspek penting dalam kerja komuniti yang harus mendapat perhatian sukarelawan, antaranya :


  • Latar belakang komuniti
  • Profil komuniti (community profile)
  • Pendekatan dan kaedah bekerja yang berkesan
  • Andaian-andaian (assumptions) positif terhadap komuniti sasar
  • Kemahiran-kemahiran asas
  • Rangkaian perhubungan

 

Secara ringkasnya, perkara penting yang mesti dimiliki oleh sukarelawan, antara lain, ialah kefahaman tentang keseluruhan latar belakang dan profil komuniti sasar.

 


Latar belakang ini meliputi sejarah dan tradisi komuniti, nilai-nilai dan ideologi dominan yang dipegang atau mempengaruhi komuniti, serta adat resam mereka. Profil komuniti pula ialah keseluruhan data dan maklumat semasa yang penting tentang komuniti. Ini termasuk status ekonomi, struktur pekerjaan dan pendapatan ahli, struktur kuasa, kepemimpinan (formal dan tidak formal), golongan dan kumpulan-kumpulan sosial di dalam komuniti, pelbagai institusi (sosial, agama dan kepercayaan, politik, kebudayaan), sumber-sumber dan potensi di dalam komuniti, serta faktor-faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi komuniti.

 

 

Mengetahui, apalagi menguasai latar belakang dan profil komuniti memudahkan sukarelawan bekerja dengan komuniti. Ia juga amat membantu dalam menentukan pendekatan dan kaedah bekerja yang sesuai.

 

 

Ekoran di atas, sukarelawan perlu tahu apakah pendekatan dan kaedah bekerja yang berkesan untuk mengupayakan komuniti sasar. Di sini dimaksudkan cara-cara terbaik yang dapat digunakan bagi menggalakkan dan mendidik komuniti agar mempunyai keyakinan diri dan seterusnya berani dan berupaya menjalankan sesuatu (secara kolektif) yang berfaedah bagi mereka. Sebagai contoh, kaedah-kaedah seperti advokasi (berhubung isu-isu tertentu yang penting), bengkel dan perbincangan, mewujudkan koperasi, mengusahakan projek ekonomi, program sosial dan kesenian, acara-acara keagamaan dan kerohanian, kegiatan-kegiatan pendidikan, lawatan, kerja-kerja kebajikan dan sebagainya itu harus dipertimbangkan.

 

 

Begitu juga para sukarelawan perlu mempunyai andaian-andaian yang positif dan sesuai terhadap komuniti sasar seperti : “komuniti boleh berubah”, “setiap orang mempunyai potensi dan boleh memberi sumbangan”, “orang boleh bertanggungjawab jika diberi tugas dan peranan”, bersatu teguh bercerai roboh dan sebagainya.

 


Sikap dan persepsi yang positif terhadap komuniti
juga penting untuk membolehkan sukarelawan diterima baik oleh komuniti dan proses pengupayaan komuniti terlaksana. Sebagai contoh, sikap memihak kepada komuniti, sikap rendah hati (humble), tidak menyalahkan komuniti (ala-blaming the victims atau menyalahkan mangsa), sedia belajar daripada pengalaman dan kearifan kolektif komuniti, dan percaya serta yakin terhadap komuniti merupakan sikap dan persepsi yang penting dan perlu untuk berkhidmat.

 

 

Selain itu perhatian harus juga diberi kepada usaha menguasai beberapa kemahiran asas tertentu untuk bekerja dengan komuniti seperti kemahiran menyusun (organizing), kemahiran menganalisis, kemahiran berkomunikasi, kemahiran mendengar, kemahiran merancang dan mengendalikan program, kemahiran mengurus dan kemahiran memimpin.

 

 

Di sini “kemahiran” yang dimaksudkan itu bukanlah kemahiran dalam ertikata ia digarap atau dikuasai melalui suatu proses latihan formal dan diiktiraf oleh suatu badan berwibawa tertentu sebagai kemahiran. Adalah sukar kita mengharapkan sukarelawan yang rata-ratanya memberikan khidmat mereka secara sukarela itu menguasai kemahiran yang demikian, kecualilah mereka sudah pun memiliki kemahiran-kemahiran berkenaan melalui latihan/kursus dan pengalaman kerja yang lama sebelum ini. Apa yang ditekankan di sini ialah pengetahuan dan cara bekerja asas yang boleh membantu seseorang sukarelawan bekerja dengan berkesan. Pengetahuan dan cara bekerja ini harus dapat dipertingkatkan atau didalami oleh sukarelawan dalam proses kerjanya dan ini mampu pula meningkatkan keberkesanan kerjanya.

 

 

Pengetahuan dan cara bekerja ini perlu dikuasai melalui penglibatan dalam kegiatan-kegiatan berkenaan, melalui bimbingan dan tunjuk ajar dari orang-orang yang berpengalaman dan mahir, melalui pelbagai kursus atau latihan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu, serta melalui pembacaan. Memang tidak ada jalan pintas untuk menguasai kemahiran apapun. Sukarelawan harus keluar untuk mendapatkan nasihat dan panduan daripada mereka yang berkenaan. Sukarelawan harus memupuk semangat dan keinginan untuk belajar dan menguasai sesuatu yang difikirkan penting bagi perkembangan dirinya dan kejayaan khidmatnya. Suatu perancangan dan usaha gigih tersendiri perlu dibuat untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan itu.

 

 

Selain itu rangkaian perhubungan juga perlu diberi perhatian dalam kerja komuniti. Sukarelawan bukan sahaja perlu menjalin perhubungan dengan pihak-pihak di dalam komuniti, tetapi juga dengan yang di luar komuniti. Perhubungan dengan rakan-rakan sukarelawan, pertubuhan-pertubuhan sukarela, kalangan profesional dan pentadbir, dan sebagainya itu dapat membantu melancarkan kerja sukarelawan. Begitu juga jika diperlukan bantuan atau pertolongan maka pihak-pihak berkenaan dapat dihubungi untuk bantuan atau sokongan tersebut.

 

 

Semua komponen dan aspek kerja komuniti di atas harus digarap dan dipraktikkan dalam proses pengupayaan komuniti.

 

 


Penyertaan Aktif Komuniti

 

 

Selaras dengan maksud pengupayaan yang digariskan di atas, keseluruhan kerja komuniti ini mesti melibatkan penyertaan aktif anggota-anggota komuniti. Sama ada dalam aspek perbincangan, perancangan, pembahagian tugas, pelaksanaan kerja atau lain sebagainya, anggota-anggota komuniti harus diketengahkan untuk berperanan secara aktif. Sukarelawan tidak harus melakukan segala-galanya. Harus diingat, yang hendak diupayakan ialah komuniti, bukannya sukarelawan.

 

 

Sukarelawan harus menjadi pemangkin (catalyst), pendorong, pembantu, dan pembimbing, tetapi bukan segala-galanya. Malahan peranan yang disebutkan itu pun harus dikurangkan apabila terdapat tanda-tanda anggota komuniti sendiri sudah bersedia mengendalikannya sendiri. Ingat juga, yang dipentingkan di sini ialah keupayaan keseluruhan komuniti bangun dan berdikari – menjaga kepentingan-kepentingan dan memperjuangkan hak-hak mereka. Sukarelawan mungkin terus berada di situ (jika ia sebahagian daripada komuniti tersebut) tetapi dia juga mungkin beredar dari situ nanti apabila peranan yang dimainkannya “selesai”.

 

 

 


(Dipetik dari buku Menghayati Kerja Sukarela, 2005)

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti