Rangkaian Kerja |
Written by Dr. Azizan Bahari |
Friday, 09 January 2009 06:56 |
Oleh : Azizan Bahari
Dengan perkembangan pesat yang dialami masyarakat dalam pelbagai bidang kehidupan peranan dan tugas-tugas yang dihadapi oleh pergerakan sukarela menjadi semakin mencabar. Penyebaran dan penyerapan nilai-nilai serta budaya dominan oleh media elektronik dan internet memaksa rakyat negara-negara membangun dan mundur serta gerakan sukarela yang memperjuangkan kepentingan mereka bekerja lebih keras untuk mencapai keadilan sejagat. Di samping itu, pengaruh syarikat-syarikat gergasi antarabangsa terhadap dasar, dan kecenderungan sesetengah pemerintah, di negara-negara ini menyekat atau membataskan usaha-usaha pendemokrasian di dalam negeri, tambah menyulitkan gerakan sukarela dalam peranannya untuk mempengaruhi halatuju negara.
Namun, peranan dan tanggungjawab pergerakan sukarela mesti diteruskan. Untuk mencapai suatu persekitaran demokratik dan membolehkan rakyat sama-sama mempunyai suara dan keupayaan menentukan masa depan atau destini mereka sendiri maka gerakan sukarela yang dimaksudkan terpaksa mempertingkatkan usaha agar menjadi lebih berkesan dan berpengaruh.
Dalam hal ini, salah satu tindakan penting yang perlu diberi perhatian oleh gerakan sukarela ialah mengadakan rangkaian perhubungan dan rangkaian kerja (networking) yang berkesan. Rangkaian kerja yang dimaksudkan ini meliputi pelbagai kegiatan atau tindakan yang dijalankan untuk mewujudkan dan memelihara perhubungan dengan individu-individu, kumpulan-kumpulan dan pihak-pihak yang dianggap penting sebagai sumber maklumat dan bantuan, serta potensi bagi mengadakan kerjasama dan seterusnya persepakatan (coalition) dengan pertubuhan-pertubuhan lain.
Rangkaian kerja di sini memberi implikasi perhubungan, perkongsian, persefahaman dan kerjasama. Ia juga satu prasyarat bagi mengadakan persepakatan di kalangan pertubuhan. Rangkaian kerja yang baik berupaya meningkatkan kelancaran dan keberkesanan peranan serta misi pertubuhan.
Rangkaian kerja penting kerana ia membantu pengurus pertubuhan dan pertubuhan umumnya mengikuti perkembangan yang berlaku di sekitar dan di luar pertubuhan. Melalui maklumat yang terkini dari pelbagai kontak, pertubuhan akan berupaya membuat langkah dan perhitungan serta mengambil tindakan yang wajar dan tepat.
Rangkaian kerja juga sangat penting untuk mendapatkan sokongan dan bantuan (dalam berbagai-bagai bentuk) bagi menjayakan sesuatu rancangan atau tindakan pertubuhan.
Dalam konteks perubahan pesat yang disebutkan di atas pergerakan sukarela tidak ada pilihan lain untuk menjadi berkesan dan berpengaruh kecuali mewujudkan dan mengembangkan rangkaian perhubungan dan kerjasama yang luas dan strategik dengan pelbagai pihak. Melaluinya, sumber-sumber tenaga mahir/kepakaran, teknikal dan kewangan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pertubuhan-pertubuhan sukarela.
Rangkaian kerja juga memungkinkan sistem sokongan (support system), penganjuran kursus/latihan, usahasama penerbitan serta penyelidikan di kalangan pertubuhan secara yang ekonomik.
Semua tujuan atau faedah rangkaian kerja ini menjurus kepada suatu bentuk kerjasama atau kesepakatan di kalangan pertubuhan sukarela dalam rangka menuju matlamat atau cita-cita bersama.
Rangkaian kerja pertubuhan sukarela mengambil beberapa bentuk seperti :
Bentuk yang pertama lebih cenderung kepada kumpulan pendesak (pressure group) dalam ertikata ia diwujudkan untuk memperjuangkan sesuatu isu sosial atau politik dan untuk berhadapan dengan pihak-pihak tertentu. Bentuk kedua lebih bertujuan menghadapi kuasa-kuasa luar dan atau syarikat-syarikat gergasi yang kuat dan berpengaruh, manakala yang ketiga lebih merupakan suatu usaha melaksanakan agenda-agenda kebajikan, sosial dan kebudayaan yang mencakup kepentingan pihak yang luas.
Terdapat pelbagai sikap dan tindakan yang boleh diambil bagi mewujudkan rangkaian kerja dan seterusnya persepakatan di kalangan pertubuhan sukarela, antaranya :
Semua langkah ini tidak begitu sukar dilaksanakan. Cuma, ia memerlukan sedikit inisiatif serta kesungguhan di pihak pertubuhan sukarela sendiri. Apapun, yang penting rangkaian kerja perlu terus dikembangkan dan dipelihara. Seperti yang disebut oleh seorang penulis, “Mereka yang menduduki jawatan-jawatan penting bertukar-ganti, organisasi berubah, dan persekitaran luar turut berubah, semua ini menimbulkan keperluan untuk mengadakan kontak-kontak baru”.
Menurut seorang penyusun komuniti yang terkenal, Si Kahn, persepakatan ialah sekumpulan pertubuhan bekerjasama untuk mencapai sesuatu objektif atau cita-cita bersama.
Dalam mewujudkan persepakatan beberapa persoalan berikut perlu diberi perhatian : adakah sesuatu isu yang akan diperjuangkan mempengaruhi atau memberi kesan kepada pihak-pihak yang akan dilibatkan, bagaimana isu tersebut memanfaatkan mereka, apakah sumbangan pihak-pihak berkenaan dalam persepakatan itu nanti, adakah pihak-pihak berkenaan merupakan aset atau masalah (liabiliti) kepada persepakatan?
Sepertimana rangkaian kerja di atas, beberapa sikap dan tindakan berikut wajar diberi perhatian dalam pembentukan persepakatan :
Proses persepakatan yang baik berupaya memupuk keyakinan diri di kalangan yang daif dan lemah. Ia menimbulkan kesedaran yang lebih mendalam di kalangan pertubuhan tentang makna kerjasama dan perpaduan. Persepakatan memberi peluang kepada yang terlibat mendapat pengalaman baru yang barangkali sangat berguna di masa depan. Ia memberi peluang kepada pihak-pihak yang terlibat mengenali satu sama lain secara lebih dekat (tak kenal maka tak cinta!), serta memahami kemampuan dan keterbatasan masing-masing. Ia juga jelas membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam proses membuat keputusan dan menentukan perjalanan hidup mereka; memungkinkan usaha-usaha pendemokrasian terlaksana.
Rangkaian kerja suatu yang penting bagi pergerakan sukarela. Apapun faedah yang boleh diperolehi darinya, rangkaian kerja tidak semata-mata untuk rangkaian kerja. Rangkaian kerja perlu untuk memungkinkan kerjasama, perpaduan, persefahaman dan seterusnya persepakatan sesama pertubuhan bagi mencapai cita-cita bersama yang luhur.
Disebabkan keterbatasan dalam beberapa perkara, pergerakan sukarela tidak mungkin menjadi mantap dan berkesan dalam memainkan peranan dan melaksanakan misinya tanpa mengadakan perhubungan dan rangkaian kerja yang luas lagi strategik, serta membentuk persepakatan dengan pihak-pihak lain untuk memperjuangkan cita-citanya.
|