Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Kesukarelawanan Pemangkin Pembangunan Seimbang
Kesukarelawanan Pemangkin Pembangunan Seimbang
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 09 January 2009 06:53

 

Oleh : Azizan Bahari

 

 


Pembangunan yang dituntut masyarakat ialah pembangunan seimbang (balanced development), yakni pembangunan yang mengambil kira pembangunan ekonomi, sosial, spiritual, moral, fizikal, kesihatan dan persekitaran hidup masyarakat. Pembangunan sebegini memberi penekanan kepada hal-hal kemanusiaan dan pembangunan insan dalam dasar dan agendanya, dan melihat peningkatan kualiti hidup masyarakat dalam konteks kemanusiaan, keinsanan, keilmuan dan keintelektualan, keluhuran peribadi, keadilan sosial, kesejahteraan hidup, keseimbangan dan kelestarian alam sekitar, kemurnian jiwa, serta kemesraan dan keakraban perhubungan anggota-anggota masyarakat.

 

 

Kesukarelawanan sebagai suatu konsep perkhidmatan, perkongsian, proses pendidikan, serta penglibatan aktif warganegara (active citizenship) dalam hal-hal kemasyarakatan merupakan satu-satunya pemangkin kepada proses pembangunan seimbang. Kesukarelawanan yang turut merangkumi pemupukan nilai-nilai dan sifat-sifat mulia seperti bertimbang rasa, rendah hati, penyayang, saling membantu dan bekerjasama, serta berperibadi luhur adalah suatu bentuk dan kaedah pendidikan dan latihan yang sudah lama teruji dan berkesan bagi melengkapkan proses pembangunan yang demikian. Kesukarelawanan juga suatu sumber (resource) yang sangat kaya dan berpotensi bagi sebarang perubahan dan transformasi sosial.

 

 


Permasalahan Kini

 

 

Walaupun tidak menafikan kesedaran kita tentang hal-hal di atas, sebagai sebuah masyarakat dan negara kita barangkali terlalu ghairah “membangun”. Itulah yang jelas sejak beberapa dekad yang lalu. Juga jelas bahawa kita lebih rancak dengan hard development, yakni pembangunan material, infrastruktur fizikal (hatta, pemusnahan alam sekitar juga diertikan sebagai pembangunan!), penegakan mercu tanda dan simbol-simbol kemegahan/kehebatan, serta terlalu taksub dengan penciptaan rekod dan glamor (termasuk dalam hal-hal yang melucukan dan mencabar kewarasan dan kematangan kita!). Sebaliknya, kita kurang dalam soft development – pembangunan insan, pembangunan komuniti, akhlak dan spiritual, nilai dan etika, dan sebagainya. Cakap-cakap, khutbah dan seruan tentang keinsanan, kejiranan, kemasyarakatan, dan sebagainya itu kurang disusuli dengan langkah-langkah konkrit, sistematik dan konsisten – lebih hangat-hangat tahi ayam!

 

 

“Strategi” kita nampaknya mengejar orang yang sudah jauh ke hadapan, malah, cuba memintas mereka dengan bantuan teknologi terkini dan semangat “boleh” kita. Kita mahu diiktiraf sebagai bangsa dan negara maju tanpa menghiraukan erti dan matlamat pembangunan dan kemajuan. Kita berselindung di sebalik penegasan dan keyakinan sendiri bahawa nilai dan budaya kita lebih superior daripada orang lain, bahawa sistem kepercayaan dan tradisi kita lebih unggul daripada mereka.

 

 

Memang tiada salahnya kita mempunyai acuan sendiri dalam membentuk kehidupan kita. Kita juga tidak tersilap dalam membentuk kehidupan kita. Kita juga tidak tersilap dalam mempercayai bahawa kita punya keupayaan untuk bersaing dan mengatasi sesiapa saja. Itu malah prasyarat wajar bagi membina bangsa bermaruah dan bertamadun. Namun, kita harus sentiasa akur bahawa model pembangunan apapun memerlukan falsafah, perancangan, metodologi pelaksanaan dan program yang mantap, dan semua ini memerlukan proses pengisian dan pembaikan (improvement) yang berterusan. Asas-asas (foundation) pembangunan juga amat penting – nilai dan prinsip yang menjadi panduan, persiapan mental dan psikologi rakyat, budaya ilmu, sikap dan amalan hari-hari masyarakat dan sebagainya. Asas-asas ini perlu kuat. Memandang enteng kepada hal-hal ini bererti menjejaskan pembangunan kita dalam jangka panjangnya.

 

 

Kita sedia maklum, umpamanya, betapa Eropah melalui revolusi sosial-politik, revolusi industri, era teknologi dan pembangunan ekonomi – beratus tahun – suatu sejarah dan pengalaman yang lama dan memakan pengorbanan yang pelbagai. Kita sepatutnya mengambil iktibar dari sejarah dan transformasi sosial tersebut.

 


Kerana tidak memberi perhatian kepada pengalaman sejarah ini, dan akibat daripada kebebalan kita, maka kita tidak dan belum bersedia dengan kefahaman dan mekanisme yang sesuai untuk menangani kemelut pembangunan kita sendiri.

 

 

Masyarakat kita menghadapi social chaos, value conflict, cultural dilemma dan sebagainya. Kita hanya mengandaikan bahawa latar belakang agama dan nilai spiritual kita tinggi (berbanding orang lain, baik Barat maupun Timur), justeru kita beranggapan kita punya prasyarat yang cukup untuk maju. Gejala sosial yang kita hadapi kini – di kalangan remaja dan dewasa juga – adalah manifestasi kesongsangan dan kekalutan pembangunan kita, yakni pembangunan yang tidak seimbang itu!

 

 


Strategi dan Tindakan

 

Namun, dalam apa situasi pun, kita harus meneruskan juga perjalanan yang berliku ini. Biarpun payah, kita harungi jua.

Setiap pihak harus berikhtiar dan melakukan sesuatu yang dapat menyumbang kepada pembaikan dan pemulihan pembangunan kita. Isyarat dan sikap awal yang ditunjukkan kerajaan sekarang harus mendapat respons positif kita sewajarnya.


 

Pihak negara umpamanya, harus lebih terbuka dan proaktif dalam membantu mewujudkan sistem sokongan yang diperlukan sektor sukarela. Ini dalam pelbagai bentuk seperti menyesuaikan dasar-dasar, peraturan, khidmat nasihat dan bantuan teknikal serta kepakaran (sepertimana yang dilaksanakan bagi menggalakkan kemajuan ekonomi dan perniagaan) agar inisiatif warganya (citizens initiative) dalam bidang-bidang yang dinyatakan tadi dapat dipermudahkan dan mencapai kejayaan yang diharapkan.

 

 

Potensi sektor sukarela dalam memberikan sumbangan kepada pembangunan seimbang seperti dalam merekrut dan menggerakkan (mobilize) anggota dan kelompok masyarakat bagi sesuatu tujuan bersama yang murni (collective good) sangat ketara dan wajar dimanfaatkan sebaiknya. Barang diingat bahawa dalam cara dan bidang tertentu, sektor sukarela ternyata lebih berkesan daripada negara sendiri.

 

 

Konsep sektor sukarela sebagai rakan kongsi pembangunan (dalam kes ini pembangunan seimbang) harus dipraktikkan dengan sikap keterbukaan, dengan komitmen yang jelas, dan tindakan-tindakan yang konkrit.

 


Sektor swasta
harus cuba menjiwai semangat komuniti dan perkongsian dengan sektor sukarela. Usaha-usaha ke arah pembangunan seimbang yang dapat disumbangkan oleh swasta amat banyak dan pelbagai. Usaha-usaha seperti pendidikan masyarakat, penerapan nilai-nilai terpuji melalui program komuniti, kempen-kempen kesedaran, program komuniti, kempen-kempen kesedaran, program komuniti angkat yang memfokus kepada perkembangan minda dan sahsiah remaja belia, dan sebagainya wajar diberi perhatian. Ia harus dijadikan budaya dan dasar kerana ini merupakan tuntutan realiti masa kini, bukan sekadar suatu PR exercise! Kalangan swasta harus reciprocate kepada masyarakat tempatan yang telah banyak memberikan sumbangan kepada kejayaan-keuntungan mereka selama ini.

 

 

Begitu juga publisiti dan pemupukan nilai-nilai kolektif (kebersamaan) dalam pembangunan dan menangani isu-isu sosial oleh media harus dilakukan secara serius dan konsisten, bukan suatu lip service sekadar menyambut saranan adhoc pemimpin-pemimpin politik. Media harus melaksanakan tanggugjawab sosialnya, bukan bersaing hanya untuk peningkatan rating yang selanjutnya menjanjikan iklan dan ganjaran kewangan semata-mata. Ini penting kerana media dalam era visual dan digital mempunyai pengaruh dan kesan penting terhadap khalayak ramai. Itu sebabnya penting bagi negara dan sektor sukarela untuk bersama-sama memastikan peranan media yang sewajarnya terlaksana.

 

 


Sikap dan Inisiatif Sektor Sukarela

 

Bagi sektor sukarela sendiri khususnya, ia harus meneruskan inisiatif, harus meneroka daerah-daerah, pendekatan dan kaedah-kaedah baru dalam menyumbang kepada pembangunan seimbang ini. Sebagai suatu tenaga perkasa dalam masyarakat, sektor sukarela berupaya menjayakan cita-cita luhurnya untuk kesejahteraan bersama.

 

 

Kalangan kepemimpinannya tidak harus terlalu banyak bercakap, asyik mencari publisiti, membuat kenyataan, dan sebagainya itu, tetapi harus lebih membuktikan dengan usaha-usaha nyata dan ikhlas. Masyarakat hari ini sudah dapat membezakan yang mana kaca , yang mana intan.

 

 

Jika negara diminta lebih terbuka dan menghayati idea sektor sukarela sebagai rakan kongsi pembangunan, maka sektor sukarela pula harus lebih terbuka kepada kalangan ahli dan masyarakat umum. Ia harus yakin pada keupayaan rakyat untuk menangani pembangunan dan membuat perubahan. Ia harus menggalakkan penglibatan di kalangan akar umbi di samping terus menggemblingkan tenaga yang terbiar itu. Ini penting kerana terlalu banyak pengalaman, kearifan, kepakaran dan kebolehan yang terdapat di dalam masyarakat yang harus dikenalpasti dan diketengahkan untuk kepentingan bersama.

 

 

Sektor sukarela mesti memberi perhatian kepada penggalakan budaya ilmu di kalangan ahli dan masyarakat umum. Kegiatan-kegiatan pembacaan, perbincangan, perbahasan, melahirkan idea bernas dengan pelbagai cara, menulis dan sebagainya mesti digalakkan dan dianjurkan secara berterusan. Di bidang ini, kita sebagai sebuah masyarakat sebenarnya, sangat jauh ketinggalan. Pembangunan kita tidak sampai ke mana tanpa peningkatan dalam tahap keilmuan dan keintelektualan masyarakat.

 

 

Begitu juga dengan program/projek yang dapat menggerakkan daya cipta atau kreativiti masyarakat. Sastera, teater, kraftangan, muzik, serta pelbagai jenis kesenian lain perlu dirancakkan dan diperhebatkan dengan sektor sukarela memainkan peranan utamanya. Budaya tinggi, karya agung, atau sumbangan klasik tidak akan tercetus dan lahir daripada masyarakat dan bangsa kita jika kita tidak menghargainya dan hanya sibuk dengan kegiatan-kegiatan ekonomistik dan materialistik secara melampau.

 

 

Selain di atas, sektor sukarela mesti mengamalkan sinergi, rangkaian dan kerjasama dengan pelbagai pihak. Inilah suatu jaminan sumber dan kekuatannya. Ini juga jaminan kejayaan usaha-usahanya menyumbang kepada pembangunan seimbang.

 

 


Rumusan

 

Idea pembangunan seimbang sangat relevan dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi ketika kita terus dikejutkan dengan pelbagai kegawatan sosiobudaya yang melanda masyarakat kini. Agenda pembangunan seimbang mesti diteruskan dengan pengubahsuaian dan pembaikan yang sepatutnya.

 

 

Untuk itu setiap pihak yang prihatin dan merasa bertanggungjawab harus tampil memainkan peranannya. Semuanya – negara, sektor swasta dan sektor sukarela punya tanggungjawab sosial dan moral yang mesti diserlahkan. Sektor sukarela yang sudah lama memberikan sumbangan bermaknanya kepada pembangunan seimbang ini harus melakukan refleksi diri dan bangkit dengan inisiatif serta gagasan-gagasan kreatif baru bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan usaha-usaha murni itu.

 

 

 


(Dipetik dari buku Menghayati Kerja Sukarela, 2005)

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti