Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Pelajar dan Keprihatinan Sosial
Pelajar dan Keprihatinan Sosial
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 09 January 2009 06:48

Oleh : Azizan Bahari

 

 

 

 

Walaupun dalam nada yag berbeza-beza, rungutan terhadap sikap apati sebahagian pelajar terhadap isu-isu sosial sering kedengaran. Kalangan pelajar sendiri apabila dihadapkan dengan persoalan ini, acapkali terpinga-pinga mencari jawapan.

 

 

Selaku golongan yang bakal mewarisi kepemimpinan dalam pelbagai bidang kehidupan, pelajar perlu memahami masyarakatnya. Untuk itu, perlu ada keprihatinan atau kepekaan terhadap isu-isu dan masalah masyarakat. Tanpa keprihatinan sosial yang dipupuk di universiti dan pusat-pusat mengajian tinggi bagaimana mungkin mereka dapat memainkan peranan selaku pemimpin dan menangani pelbagai masalah masyarakat?

 

 

Hujah yang mengatakan bahawa keprihatinan sosial akan terbentuk apabila mereka memegang jawatan dan menjalankan tugas masing-masing nanti adalah suatu hujah yang simplistic. Memang sesiapa sahaja mudah mengatakan bahawa jawatan yang dipegang dan tugas-tugas yang dilaksanakan merupakan suatu manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab sosialnya walaupun hakikatnya dia mungkin “bekerja cari makan”.

 

 

Keprihatinan sosial penting kerana sikap ini merupakan intipati dan asas kehidupan bermasyarakat. Keprihatinan sosial semakin penting ketika berlaku proses pemodenan atau perubahan pesat yang turut menghakis nilai-nilai utama (core values) dan amalan kolektif (tradisional) masyarakat.

 

 



Bukti Sejarah

 

 

Seperti yang kita sedia maklum, sebahagian pemimpin negara sama ada di dalam parti-parti politik pemerintah dan pembangkang, maupun di dalam gerakan-gerakan sosial lain, mempunyai keprihatinan sosial yang tinggi semasa menuntut di universiti dahulu. Baik di Singapura, United Kingdom, Asia Barat ataupun di tanahair sendiri, generasi pemimpin kita ketika itu telah memperlihatkan kepekaan dan keprihatinan terhadap isu-isu dan persoalan-persoalan negara melalui pelbagai kegiatan.

 

 

Hal yang sama juga terbukti jikalau kita menyingkap sejarah perjuangan pelopor-pelopor politik, sosial, penulisan, dan agama negara ketika zaman pra-Merdeka, malah sejak di suku pertama abad yang lalu lagi. Keprihatinan sosial dan penglibatan mereka dalam perjuangan kemerdekaan dan membentuk negara-bangsa merupakan suatu khazanah yang tidak ternilai yang kita warisi sehingga kini. Jelaslah bahawa keprihatinan sosial bukan sesuatu yang terjadi secara spontan, automatik atau mekanikal. Ia suatu proses yang terbentuk melalui pemahaman dan penghayatan nilai-nilai murni masyarakat serta amalan (praktis) sosial itu sendiri.

 

 



Persiapan dan Cabaran

 

 

Untuk itu pelajar perlu merasakan diri mereka bebas (bukan dikongkong), mempunyai kepercayaan terhadap diri sendiri, dan berkeyakinan bahawa mereka boleh memberi sumbangan kepada masyarakatnya. Hal ini melibatkan persiapan ilmu dan intelektual. Ia memerlukan pencetusan dan interaksi idea serta perbahasan sesama pelajar dan dengan pihak-pihak lain. Dan ini pula mesti dirangsang atau didorong oleh perasaan insaf dan cintakan bangsa dan negara – suatu perasaan murni yang dapat memberi makna kepada kehidupan seseorang.

 

 

Namun, inilah yang ternyata agak sulit. Betapapun tingginya semangat sesetengah pelajar untuk melahirkan isi hati mereka dan melibatkan diri dalam isu-isu sosial yang mendesak, beberapa faktor dalaman dan luaran (kampus) nampaknya bertindak sebagai penghalang kepada idealisme itu.
Bagi sebahagian yang lain, tidak dinafikan faktor-faktor ini “menghalalkan” sikap apati atau ketidakpekaan mereka. Pelajar sering diingatkan tentang “tujuan” dan “tugas” mereka apabila diberi peluang belajar di universiti. Mereka dituntut agar menumpukan perhatian kepada pelajaran, manakala hal-hal lain harus dianggap “tidak penting”.

 

 

Ini dan pelbagai bentuk tekanan akademik seperti keperluan kursus yang banyak, jadual kuliah dan tutorial yang ketat, tuntutan tugasan (assignment) dan peperiksaan, di samping peraturan-peraturan dan undang-undang tertentu membantut pelajar daripada melahirkan kata hati (conscience) mereka menimbulkan keadaan tegang, sulit dan serba salah. Proses kemahasiswaan di pusat-pusat pengajian tinggi barangkali bukan lagi suatu pengalaman yang sarat dengan persoalan, perdebatan, eksperimen, penerokaan dan adventure, sebaliknya lebih merupakan suatu tekanan, pergelutan dan perlumbaan yang meresahkan.

 

 

Malah, dengan meningkatnya peranan dan status industri dalam ekonomi negara, bidang-bidang pengajian dan kursus serta fokus penyelidikan turut disesuaikan dengan keperluan dan tuntutan industri. Di samping itu, sikap memandang rendah terhadap bidang-bidang ilmu dan pengajian yang dianggap “kurang mempunyai nilai ekonomi”, sebaliknya memberikan segala galakan dan sokongan kepada bidang-bidang yang diperlukan industri, misalnya, boleh menimbulkan kesan negatif yang serupa di kalangan pelajar.

 

 

Akta Universiti dan Kolej (1971, 1975) yang ternyata agak menyeluruh dari segi ruang lingkup dan mekanisme pengawalannya terhadap politik kampus (yang amat berkaitan dengan proses keprihatinan sosial) menjadikan sikap apati dan ketidakprihatinan itu bagaikan sesuatu yang diinstitusikan pula.

 


Sudah tentu siri kuliah melalui pelbagai kursus dan buku, hatta projek-projek kampung atau keluarga angkat yang dijalankan beberapa hari (atau minggu) setiap kali cuti panjang universiti, tidak mencukupi untuk menimbulkan kesedaran dan keprihatinan, apalagi keperibadian yang dimaksudkan.
Keprihatinan ini memerlukan penglibatan pelajar secara sedar (conscious) dan rela serta penuh komitmen. Penglibatan yang demikian bukan sekadar mempertahankan tradisi, dan bagi pelajar pula, tidak dengan motif mendapatkan tempat tinggal di kolej kediaman atau menebalkan resume untuk tujuan mencari pekerjaan nanti. Bukan ala hangat-hangat tahi ayam. Sebaliknya, perlu ada kesungguhan dalam melaksanakan projek – ada perancangan dan tindakan susulan jangka panjang – untuk memperbaiki keadaan di kampung-kampung angkat berkenaan.

 

 

Sehubungan ini, perlu ada suasana yang dapat menggalakkan pelajar menjadi pemimpin (kampus), penggubal dasar dan pembuat keputusan dengan pelbagai inisiatif dan kreativiti tersendiri.
Universiti sendiri haruslah kekal sebagai tempat pelajar meneroka dan mengenal diri mereka, bereksperimen dengan idea dan perspektif, serta membentuk sikap dan pendirian sendiri. Jika tidak, sekali lagi keinsafan dan penghayatan yang dimaksudkan tidak mungkin berlaku.

 

 



Antara Kebimbangan dan Keperluan Masyarakat

 

 

Memang sesetengah pihak mencurigai hal ini. Mereka bimbang kemungkinan berlakunya kebangkitan semula student power di kampus. Mereka ini barangkali bimbang kalau-kalau sentiment protes dan anti-establishment pelajar berkembang dan mengancam kestabilan sistem yang sudah bertapak itu. Atau, kebimbangan ini mungkin juga didorong oleh komitmen tinggi mereka untuk memajukan anak bangsanya yang berpeluang ke universiti. Namun itu suatu kebimbangan yang biasa. Yang jelas apapun psikologi dan politik kawalan yang dikenakan ke atas pelajar, kampus tetap tidak terpisah daripada masyarakat dan persekitarannya, malah turut memanifestasikan mood, emosi dan sentiment mutakhir masyarakatnya.

 

 

Kepentingan, keinginan dan cita-cita masyarakat tidak harus berdasarkan kepada sesuatu set nilai golongan tertentu, betapapun berilmu dan berpengalamannya golongan ini. Ini suatu ciri dan tuntutan demokrasi dan sepatutnya disedari dan diakui oleh pihak-pihak berkenaan, lebih-lebih lagi yang terpelajar. Anggota-anggota masyarakat termasuk pelajar, harus sama-sama terlibat dalam proses penentuan dan memperbaiki keadaan. Lagipun sejarah pelbagai masyarakat banyak menunjukkan bahawa masyarakat cukup versatile dan berupaya menghadapi sebarang pergolakan yang timbul.

 


Pelajar yang pada perhitungan terakhirnya harus bertanggungjawab terhadap masyarakatnya, perlu melibatkan diri mereka dalam proses-proses yang lebih mencakup itu.
Dalam proses ini, keprihatinan sosial adalah salah satu aspek yang penting.

 

 

Keprihatinan sosial merupakan suatu cetusan idealisme pelajar dan generasi muda umumnya. Idealisme ini memberikan semangat dan dorongan kepada pelajar untuk melakukan yang baik, untuk menyumbang bakti kepada msyarakatnya. Ini amat wajar kerana masyarakat telahpun banyak berjasa kepada pelajar. Idealisme ini justeru tidak harus dicurigai, sebaliknya diberi ruang untuk berkembang.

 

 

Kalangan kakitangan akademik dan pentadbir yang diberikan kedudukan strategik di pusat-pusat pengajian tinggi perlu membantu menggalakkan keprihatinan sosial di kalangan pelajar. Mereka harus lebih accomodating dan bersikap toleran terhadap pelajar yang ghairah bertanya, meneroka dan kadangkala tidak sabar mahu bertindak itu. Perlu diakui bahawa semua itu suatu fenomena biasa di kalangan generasi muda termasuk pelajar. Ia bukan sesuatu yang perlu dirisaukan sangat, tetapi harus dipantau dengan penuh timbang rasa dan tolak-ansur kerana kesan positif jangka panjangnya yang kerap terbukti itu.

 

 

Di samping itu kita juga tidak harus membenarkan nilai dan ideologi pasaran menentukan keutamaan dan orientasi universiti walaupun keperluan pasaran dan peluang pekerjaan bagi pelajar nanti sesuatu yang penting. Peranan universiti jauh lebih mencakup daripada sekadar isu-isu dan perhitungan ekonomistik yang demikian. Dalam masa yang sama kita juga tentu tidak mahu generasi pelajar yang terus dibentuk di pusat-pusat pengajian kita berkembang menjadi golongan pemimpin, birokrat dan teknokrat yang kekok, kaku dan mekanikal.

 

 

Dalam kalangan pelajar proses keprihatinan sosial juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Pelajar perlu berusaha memecahkan tembok yang menghalang mereka daripada memainkan peranan terhadap masyarakat. Inisiatif dan kreativiti di pihak pelajar amat penting di sini. Walaupun ini sukar, kalau hendak seribu daya, kata pepatah. Sebagai contoh, pelajar perlu terus berusaha menangani dan mengatasi kemelut-kemelut dan isu-isu dalaman (persatuan pelajar, kolej kediaman, fakulti) dan memupuk serta memantapkan persefahaman, kerjasama dan perpaduan di kalangan mereka. Mereka juga harus bijak dan tegas dalam menuntut dan mempertahankan hak-hak mereka dan tidak mengharapkan pihak lain, betapapun simpatetik, untuk memperjuangkan kepentingan mereka. Ini akan membantu pelajar dalam memainkan peranan bersejarah mereka terhadap masyarakat, di samping menggalakkan perkembangan universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi yang lebih adil, saksama, segar dan demokratik bagi semua yang terlibat.

 

 



Rumusan

 

 

Universiti sejak awalnya, diwujudkan untuk meneroka dan menyebar ilmu, menjadi medan perbahasan dan pertembungan pelbagai gagasan dan pemikiran, memupuk dan mengembangkan daya intelektual pelajar dan pensyarah, serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Malahan, apa yang dikatakan kecemerlangan dan keunggulan universiti (yang biasanya diasaskan kepada output penyelidikan, bilangan pelajar berijazah tinggi, karya ilmiahnya, dan pengiktirafan oleh pihak-pihak yang berwibawa) tidak juga bermakna dan relevan, jika gagal menyesuaikan diri dengan cita-cita dan kehendak masyarakatnya.

 

 

Di sinilah keprihatinan sosial itu diperlukan kerana ia memberi makna kepada kewujudan universiti/pusat-pusat pengajian tinggi di tengah-tengah masyarakatnya. Jika universiti dapat diibaratkan sebagai tanah subur maka keprihatinan sosial pula benih-benih yang wajar bercambah untuk memanfaatkan pelajar dan masyarakat sekitarnya.

 

 

 


(Dipetik dari buku Generasi Muda Menangani Cabaran, 2004)

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti