Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Kerja Sukarela Kurang Mendapat Sambutan
Kerja Sukarela Kurang Mendapat Sambutan
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 09 January 2009 06:39

 

Oleh: Azizan Bahari

 

 

 

 

Sejak akhir-akhir ini terdengar berbagai-bagai rungutan tentang kemerosotan kesukarelawanan (kesukarelaan) dalam kalangan badan-badan sukarela kita. Dalam kalangan pertubuhan belia, umpamanya, terdengar aduan tentang kekurangan sambutan terhadap program yang dianjurkan. Mendapatkan peserta semakin dianggap satu masalah besar. Pelbagai “daya penarik” terpaksa diadakan walaupun sekadar mencukupkan korum!

 

 

Hal ini semakin dianggap serius oleh sesetengah pihak. Tanpa kesediaan orang ramai, apalagi dalam kalangan ahli, untuk melibatkan diri dalam kegiatan sukarela, pertubuhan dan gerakan sukarela tidak mungkin berkembang menjadi suatu tenaga yang berpengaruh dan berupaya memainkan peranannya yang penting dalam masyarakat.

 

 

Kerja sukarela umumnya ialah kegiatan atau usaha yang dilakukan dengan rela hati dan ikhlas untuk masyarakat (atau orang lain) tanpa mengharapkan ganjaran wang atau kebendaan. Kerja ini biasanya dijalankan pada waktu lapang, yakni di luar waktu kerja rasmi seseorang.

 

 

Dalam konteks masyarakat moden hari ini, kerja sukarela atau kesukarelaan juga digalakkan kerana dianggap penting untuk memupuk dan mengembangkan nilai, amalan kerjasama dan perpaduan, demokrasi, hak-hak asasi manusia dan keadilan sosial dalam masyarakat. Kerja sukarela yang melibatkan orang ramai dalam hal-hal kepentingan bersama merupakan suatu jaminan politik bahawa nilai dan amalan hidup yang dianggap secocok dengan perkembangan tamadun manusia itu dapat dipertahankan dan dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat.

 

 

Nilai dan amalan murni tersebut tidak dapat diserahkan kepada golongan pemimpin atau segelintir golongan tertentu untuk mengawal atau memupuknya di kalangan masyarakat. Penyelewengan atau salah guna kuasa untuk kepentingan diri atau kumpulan tertentu boleh berlaku. Anggota masyarakat sendiri perlu sama-sama memainkan peranan melalui penglibatan diri dalam pelbagai pertubuhan dan kegiatan sukarela, sekali gus menghayati nilai dan amalan hidup yang dianggap terbaik itu.

 

 

Semangat sukarela bagi nilai dan amalan hidup tentulah amat besar maknanya bagi kehidupan masyarakat.
Amalan ini juga mempunyai implikasi penting terhadap pembinaan negara-bangsa yang kuat dan maju. Semangat sukarela jelas tidak hanya terbatas kepada kegiatan yang “remeh-temeh” (seperti yang dibayangkan oleh sifat “kegiatan masa lapangnya”), tetapi juga meliputi usaha sedar dan tersusun untuk menyumbang ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan masyarakat.

 

 

Sudah tentu terdapat beberapa faktor dorongan atau tujuan lain orang melakukan sesuatu secara sukarela seperti cuba mendapatkan pengaruh dan kedudukan, menjaga kepentingan kumpulan/puak dan seumpamanya. Tetapi, ini ternyata menyeleweng daripada tujuan dan prinsip kesukarelaan sebenarnya.

 

 

Kemerosotan semangat sukarela yang berlaku pada hari ini boleh dihuraikan daripada beberapa perspektif. Pertama, seperti yang kita maklum, masyarakat kita sedang mengalami suatu perubahan yang drastik. Perubahan ini memberi kesan atau impak langsung ke atas nilai kerjasama dan perkongsian dalam masyarakat. Pertumbuhan ekonomi dan perkembangan industri yang pesat, antara lain, umpamanya, menggalakkan persaingan, kerjaya, kejayaan peribadi, kedudukan atau status dalam masyarakat. Kehidupan di bandar dengan serba kemudahan pula, antara lain, turut menggalakkan nilai dan sifat-sifat individualistik, menghakis perasaan dan tabiat kejiranan, serta mencetuskan masalah psikologi dan sosial yang baru di kalangan anggota masyarakat.

 

 

Dalam masyarakat tersebut, kita lihat orang semakin kagum pada kekuatan ringgit yang dikatakan berupaya “membeli apa saja”. Perlahan-lahan hampir setiap perhitungan dan tindakan anggota masyarakat berkisar di sekitar kebendaan (materialisme) dan wang. Dengan kekuatan ringgit dan kebendaan, orang semakin yakin pada diri sendiri, malah mudah menjadi sombong. Kehidupan beransur-ansur menjadi suatu pergelutan untuk kesenangan kebendaan. “Dengan duit semua boleh jadi” seolah-olah menjadi prinsip hidup baru masyarakat.

 

 

Fikiran masyarakat juga sering dirasuk oleh pelbagai unsur kemodenan, persaingan, kekayaan, kemewahan, kecanggihan, serta kebesaran. Ketinggalan daripada semua ini diertikan sebagai ketinggalan zaman!

 

 

Tetapi, dalam waktu yang sama, sebahagian anggota masyarakat masih cuba mempertahankan nilai-nilai tradisional yang dianggap murni. Bagi mereka, nilai dan unsur kehidupan tradisional seperti kerja secara gotong-royong, kesederhanaan, bersopan-santun dan berbudi bahasa, serta rendah hati, tetap penting dalam kehidupan bermasyarakat, di samping turut memberi makna kepada kehidupan yang singkat itu.

 

 

Pertembungan antara unsur dan nilai tradisional dengan moden, menimbulkan kekacauan atau krisis nilai di dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan muda-mudinya. Kekacauan sebegini melenturkan semangat kesukarelaan dan melemahkan asas nilai yang mendorong kesukarelaan.

 

 

Kemerosotan semangat sukarela boleh juga dikesani pada modus operandi badan sukarela sendiri. Bagaimana badan ini mengendalikan kegiatan mereka? Apakah kaedah yang digunakan untuk menarik minat ahli dan orang ramai menyertai kegiatan yang dianjurkan? Apakah jenis kegiatan yang dilaksanakan dan adakah kegiatan ini memenuhi atau menepati kehendak ahli dan golongan sasaran? Bagaimanakah proses menentukan kegiatan tersebut? Barangkali ini merupakan beberapa soalan umum yang perlu dijawab oleh badan-badan sukarela sendiri untuk mengetahui mengapa kemerosotan kesukarelaan itu terjadi.

 

 

Hal ini penting kerana kalangan kepimpinan badan sukarela seringkali tidak memberi perhatian terhadap kelemahan sendiri yang boleh mengakibatkan semangat sukarela menjadi lentur. Sebagai contoh, mereka barangkali tidak sedar (atau tidak mahu mengakui) bahawa terdapat beberapa kelemahan dalam pendekatan kerja atau kegiatan mereka, sikap, cara berhubung dengan ahli dan orang ramai, kaedah membuat keputusan tentang sesuatu kegiatan yang ingin dikendalikan dan cara memimpin. Kelemahan-kelemahan ini mungkin menyebabkan ahli dan orang ramai kurang atau hilang minat terhadap kegiatan yang dijalankan dan seterusnya gagal mendapat maklum balas yang diharapkan daripada ahli dan orang ramai.

 

 

Dalam kes-kes tertentu, kemerosotan semangat sukarela boleh juga berlaku kerana terlalu banyak inisiatif dan ganjaran daripada pihak atasan. Contohnya, dalam rangka mengawal atau membeli kesetiaan (loyalty) ahli dan orang ramai, selain kemajuan ekonomi yang kita nikmati, pelbagai kegiatan dan bentuk layanan “istimewa” diberikan oleh agensi dan jabatan kerajaan kepada badan sukarela tertentu. Keadaan ini membantu mewujudkan pergantungan dan naungan (patronage) dalam kerja sukarela umumnya. Ditambah pula dengan cara membuat keputusan dari atas (atau pusat) ke bawah tanpa melibatkan ahli (dan kumpulan sasaran) sendiri, maka ahli rata-ratanya menjadi lebih tidak berinisiatif, tidak bermaya, hilang daya cipta dan inovasi.

 

 

Harus diakui bahawa untuk menghadapi arus perubahan yang melanda masyarakat, bukanlah sesuatu yang mudah. Badan-badan, malah gerakan sukarela sendiri mungkin tidak mampu mengendalikannya. Tetapi ini tidak bererti sesuatu yang bermakna – meskipun secara kecil-kecilan tidak dapat diusahakan. Untuk menggalakkan semangat sukarela di kalangan masyarakat, antara lain, haruslah dirujuk kepada asas nilai atau sumber semangat sukarela yang terdapat di sekitar kita.

 

 

Sebagai contoh, kita harus menggalakkan orang kembali menghayati nilai kemuafakatan, kejiranan, kekeluargaan, dan kekampungan yang terdapat dalam budaya dan adat resam hidup masyarakat kita. Kita harus memahami kekuatan, kebaikan, dan potensi yang terdapat pada nilai-nilai kehidupan tersebut dan mampu menghubungkannya dengan keadaan semasa dan masa depan bersama.

 

 

Dalam konteks ini harus disedari bahawa apa yang dikatakan “budaya penyayang” (masyarakat penyayang) bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat kampung kita sejak sekian lama. Cuma dalam masyarakat moden yang sibuk “membangun” ini, maka budaya tersebut diperlukan.

 

 

Untuk menjayakan projek penghayatan nilai kekampungan ini, kita haruslah membina keyakinan dan mempunyai iltizam sendiri terhadap nilai-nilai tersebut dan seterusnya mempopularkannya dalam kalangan anggota dan kumpulan masyarakat. Cara menghayati nilai dan amalan masyarakat kita sendiri, seharusnya lebih mudah diterima oleh orang ramai, berbanding dengan cara memperkenalkan sesuatu yang lain atau agak asing bagi mereka.

 

 

Semangat sukarela juga boleh dipupuk dan berkembang melalui penggalakan cara hidup sederhana. Kesederhanaan hidup dan semangat tolong-menolong membuat kita lebih peka terhadap kesusahan dan penderitaan orang lain, di samping cuba melawan sifat tamak dan penting diri dalam diri sendiri. Seperti dengan nilai positif yang lain, kesederhanaan harus dipupuk sejak kanak-kanak dan remaja. Kesederhanaan yang juga dianjurkan oleh agama-agama dan sistem kepercayaan besar memungkinkan proses kawalan kendiri atau check and balance dalam diri seseorang, di samping mendorong memberikan sumbangan demi kesejahteraan bersama.

 

 

Konsep zakat dalam Islam, contohnya, memerlukan para penganutnya menggunakan sesuatu sekadar cukup atau perlu (bukan berlebihan) dan memberikan selebihnya kepada yang memerlukan. Konsep yang murni ini tidak harus dibataskan hanya kepada harta benda, wang ringgit, atau makanan sahaja, tetapi juga harus meliputi ilmu pengetahuan, pengalaman, kepakaran, kasih saying dan sebagainya.

 

 

Sebagai sebuah masyarakat yang agak kuat berpegang pada ajaran agama, maka amat wajar bagi kita mempelajari dan menyebarkan nilai agama yang berhubung dengan kesukarelaan. Ajaran-ajaran yang baik ini bukan sahaja membantu mendorong kerja sukarela, tetapi sekali gus menggalakkan nilai-nilai positif yang lain dalam pentadbiran, perancangan, perkhidmatan, perhubungan, dan kepimpinan, baik dalam badan-badan sukarela sendiri mahupun di luarnya.

 

 

Mungkin terdapat beberapa strategi atau cara lain untuk menggalakkan semangat sukarela. Namun yang jelas, semua itu menuntut perhatian serius dan iltizam tinggi di pihak pergerakan sukarela sendiri. Arus perubahan yang turut mengancam semangat sukarela dalam masyarakat bukanlah sesuatu yang dapat dihadapi dengan mudah. Tetapi, berkat kefahaman, kesabaran, kegigihan dan kerjasama dalam pelbagai bentuk dalam kalangan sukarelawan sendiri, beban yang berat boleh menjadi ringan!

 

 



(Dipetik dari Dewan Masyarakat, keluaran Mac 1993)

 

Aktiviti

Aktiviti