Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Pembangunan Negara Bangsa : Politik dan Bukan-Politik Sama DiPerlukan
Pembangunan Negara Bangsa : Politik dan Bukan-Politik Sama DiPerlukan
Written by Dr. Azizan Bahari   
Wednesday, 07 January 2009 05:20

Oleh : Dr. Azizan Bahari


Negara bangsa tidak tertegak dan maju hanya dengan satu tonggak, tiang
(pillar) atau teras. Mementingkan satu-satu tonggak atau tiang dan mengesampingkan yang lain boleh mengakibatkan kelemahan, malah kehancuran negara bangsa itu sendiri akhirnya.


Hal ini disedari oleh banyak pihak, namun ternyata tidak pula diberi perhatian sewajarnya dalam sikap dan tindakan mereka. Rata-rata politik mendapat fokus dan diberikan status mengatasi segala yang lain.


Paling menonjol ialah tumpuan, publisiti dan glamor yang diberikan kepada politik, sama ada tentang tokoh-tokoh politik, pergeseran atau konflik politik, malahan kenyataan, khabar angin, serta spekulasi politik.


Pada umumnya media (sama ada media cetak atau elektronik) memainkan peranan utama dalam menonjolkan politik sebagai bidang yang paling istimewa itu. Melalui ‘sembang-sembang’ dan gosip politik yang dipersembahkan dan diungkapkan dengan menarik, media, secara sedar atau tidak, menyumbang kearah budaya
over-politicking di kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

 


Politik yang dimaksudkan di sini ialah politik kuasa
(power politics). Politik yang diangkat ke mercu glamor kehebatan ini ialah politik adu-dumba personaliti dan pepuakan (factionalism), politik persaingan tempat dan kedudukan, politik yang berfungsi sebagai proxi pelbagai bentuk keistimewaan; tidak banyak politik ideologi dan dasar, atau politik yang menjadi instrumen bagi pembinaan negara bangsa dan tamadun.


Politik sentiasa mendapat kedudukan yang istimewa berbanding dengan bidang-bidang kehidupan yang lain seperti keilmuan dan keilmiahan, moral dan kerohanian, budaya dan pelbagai seni, sains dan teknologi dan aneka bidang profesional. Bidang-bidang lain ini, walaupun peringatkan sebagai penting, tidak pula mendapat layanan dan kedudukan seperti politik. Hal demikian memberi mesej seolah-olah bidang-bidang ini tidak sepenting politik dalam proses pembangunan dan halatuju negara bangsa kita.


Rata-ratanya sebahagian besar masa, tenaga dan imaginasi masyarakat tertumpu kepada politik. Segala peristiwa dan kejadian mahu dilihat dari perspektif politik.


Faktor-faktor lain, seperti ekonomi, agama dan ideologi, undang-undang, kebudayaan, sosial dan sebagainya, walaupun turut menentukan, tidak dikira penting atau harus mengambil tempat di belakang politik.


Politiklah yang sering disensasikan, dipolemik dan diperbualkan di mana-mana sehingga ia laksana kopi ‘O’ pekat atau teh tarik yang menimbulkan rasa ketagih jika tidak dihirup!


Interaksi pengaruh media dan sikap serta perilaku masyarakat berhubung politik ini semakin membudayai kehidupan kita. Di rumah, di tempat kenduri, di acara-acara rasmi, atau di pejabat, orang-orang politik diberi penghormatan dan layanan istimewa.


Walaupun
trend ini berterusan dan seharusnya membimbangkan, tiada usaha konkrit dilakukan untuk menanganinya. Segalanya seolah-olah diterima sebagai suatu yang biasa. Mereka yang mendapat habuan daripada bantuan politik merasa selesa dengan keadaan, manakala orang-orang politik pula bertambah yakin dengan kedudukan mereka oleh reinforcement dan kesahan (legitimasi) sosial ini. Disebabkan politik mempunyai hubungan yang rapat dengan pemerintahan dan kuasa maka tidak hairanlah jika pemimpin-pemimpin politik di peringkat bahagian dan cawangan pun (khususnya dari parti-parti yang berkuasa) turut merasa mereka kuat, penting dan istimewa.


Selain itu, bagi sebahagian orang politik berkenaan perasaan berkuasa dan penting ini diperkuatkan oleh pelbagai bentuk ganjaran material yang mereka perolehi. Oleh sebab hubungan politik yang terus dipupuk, sebahagian lain yang belum mendapat bahagian mereka juga mampu bercita-cita, malah yakin, bahawa masanya akan tiba juga nanti apabila mereka juga boleh meraihkan habuan serta meraikan kejayaan!


Keadaan turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengamal bidang-bidang lain. Daripada pengalaman sendiri, mereka terdorong untuk beranggapan bahawa bidang yang mereka ceburi tidak sehebat dan seistimewa politik. Terasa bahawa segala jerit-payah dan tungkus-lumus mereka untuk kejayaan dan kecemerlangan (diri, bangsa dan negara) tidak mendapat perhatian sewajarnya; tidak diberi pengiktirafan, penghargaan dan ganjaran seperti yang diberikan kepada orang-orang politik meskipun, pada pandangan mereka, kebanyakan orang politik ini tidak pula memberikan sumbangan yang besar dan benar-benar bermakna kepada bangsa dan negara.

 

Tanpa pilihan lain yang munasabah sesetengah kalangan bukan-politik ini terpaksa cuba berjinak-jinak dengan politik, atau alternatifnya, mencuba nasib dalam dunia korporat. Walaupun kenyataannya tidaklah semudah yang disangkakan, hanya melalui kedua-dua bidang inilah sahaja (yakni politik dan bisnes) dirasakan penghargaan dan ganjaran yang wajar akan diperolehi. Mereka yang lain, kecuali yang secara sedar memilih, yakin atau committed dalam bidang yang diceburinya, terus mengalami kekecewaan, atau tenggelam di dalam keghairahan perubahan.

 


Apabila bidang-bidang atau sektor-sektor lain merasa dianaktirikan atau tidak diberi pengiktirafan dan layanan yang adil maka sudah tentu
morale pengamal-pengamalnya akan menurun. Jika keadaan ini berterusan maka tidak syak bangsa dan negara akan kerugian.


Sudah tentu pengiktirafan dan layanan yang dimaksudkan di sini tidak hanya terbatas pada hal-hal yang berbentuk material. Liputan media seperti yang disebut awal-awal tadi itupun boleh merupakan suatu pengiktirafan dan layanan yang wajar walaupun tidak semua mereka yang berkenaan boleh berpuas hati dengan cara ini sahaja. Laporan yang seimbang dan adil berupaya meningkatkan citra bidang-bidang bukan-politik ini dan sekaligus memupuk sikap dan nilai baru yang lebih sihat di kalangan masyarakat.


Pengiktirafan dan penghargaan juga boleh diberikan melalui hadiah lawatan, mengikuti kursus atau program jangka pendek dalam bidang (pilihan) yang berkenaan, pemberian geran penyelidikan, dan sebagainya. Begitu juga penganugerahan bintang-bintang kebesaran yang sejak sekian lama begitu
bias kepada orang-orang politik dan korporat selain daripada kalangan kerabat diraja sendiri.


Tidak perlu ditekankan bahawa negara bangsa bukan hanya hasil kraf politik, betapapun definisi politik kita itu. Negara bangsa suatu penjelmaan dari pelbagai konfigurasi dan konflik sosial, budaya (termasuk ideologi), politik dan ekonomi sesuatu masyarakat melalui proses sejarah yang lama. Terlalu banyak faktor/pelaku yang terlibat dalam keseluruhan proses pembentukan dan perkembangannya.


Oleh itu, sekadar contoh, kalangan-kalangan lain yang bukan-politik harus yakin,
committed dan terus maju dalam bidang masing-masing tanpa rendah diri biar betapapun sikap orang dan layanan yang diterima. Sebaliknya mereka harus lebih gigih memperjuangkan status dan peranan penting bidang mereka dalam keseluruhan senario transformasi masyarakat kita ini. Sesungguhnya setiap bidang yang disebutkan merupakan konstituensi penting yang perlu diperdengarkan suara dan tuntutannya untuk mendapat perhatian dan tempatnya yang wajar dalam proses pembangunan kita.


Mereka sudah berada di dalam gelanggang, justeru mereka harus terus bersedia dan melangkah ke depan. Kerja mereka menuntut fokus dan kesungguhan untuk menghasilkan gagasan, agenda dan karya/ciptaan yang mantap bagi kemajuan negara bangsa. Sama ada disedari atau tidak hari ini, merekalah sebenarnya kekuatan kolektif daya fikir dan daya gerak, serta sumber kreativiti bangsa. Merekalah tunggak-tunggak penting bagi keteguhan dan pembangunan berterusan kita.


Politik sesungguhnya tidak kebal, tidak
invincible, tidak begitu kelihatan hegemonik jika kita tidak menjadikannya demikian. Untuk kebaikan politik itu sendiri, perlu ada check-and-balance dalam pengurusan kehidupan kita. Inilah salah satu peranan penting bidang-bidang lain yang disebutkan tadi.


Di negara-negara industri maju, politik suatu hal biasa dalam kehidupan masyarakat. Malah (tidak kira sama ada ini wajar atau tidak), ramai yang tidak begitu tertarik kepada politik jika tidak kerana berita-berita sensasi atau skandal yang melibatkan tokoh-tokoh politik yang dihebahkan media. Di negara-negara ini, menteri-menteri kabinet dan pemimpin-pemimpin politik (betapapun kedudukan dan pangkat mereka) bersedia meletakkan jawatan tanpa protes dan dendam, atau kekesalan yang amat sangat jika kepimpinan mereka tidak lagi berkesan, atau mereka didapati gagal memikul tanggungjawab yang sepatutnya, atau dipersalahkan kerana sesuatu tragedi atau kesan buruk yang menimpa masyarakat.


Ini tak be
rerti kita mahukan orang memandang enteng kepada politik. Tidak sekali-kali. Ia sekadar menunjukkan betapa masyarakat tidak harus taksub dan atau dididik supaya taksub dengan politik dan betapa politik dilihat sebagai just another job. Ia sekadar mengingatkan bahawa dalam masyarakat-masyarakat lain yang sudah lebih jauh maju daripada kita dalam pelbagai bidang kehidupan, dan juga yang setaraf
dengan kita seperti Thailand dan Filipina, politik merupakan salah satu tonggak atau tiang negara. Politik
malah menjadi bidang penglibatan kolektif – bukan monopoli kalangan politikus –bagi memperjuangkan dan memastikan kepentingan dan destini bersama.


Politik tetap penting bagi kestabilan, kemajuan dan penentuan arahtuju kehidupan kita bermasyarakat. Tetapi ia tidak harus diangkat menjadi yang terpenting dan paling berprestij sehingga mendorong masyarakat memandang rendah kepada bidang-bidang lain.


Kecemerlangan dituntut dalam semua bidang; tidak ada yang terkecuali. Kecemerlangan dalam ekonomi, perniagaan, pentadbiran dan pengurusan, sains, teknologi, kesihatan dan perubatan, perundangan, senibina, kejuruteraan, perakaunan, kerja sosial, pendidikan, pelbagai kegiatan intelektual dan keilmiahan, budaya dan kesenian, muzik, sastera, filem, teater, kewartawanan, semuanya amat penting bagi menjamin pembangunan seimbang dan holistik untuk mencapai kemantapan dan dan ketahanan negara bangsa.


Semua bidang politik dan bukan-politik penting selaku tonggak-tonggak negara bangsa yang memungkinkan kita meningkatkan ketamadunan dan martabat keinsanan yang lebih tinggi.



 



(Disiarkan dalam Buletin IKD – Vol : 3 (No. 1/96)

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti