Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH APAKAH KERJA KOMUNITI? ++
APAKAH KERJA KOMUNITI? ++
Written by Dr. Azizan Bahari   
Saturday, 17 March 2012 22:17

 

Kerja Komuniti atau Penyusunan Komuniti merujuk kepada proses pemerkasaan komuniti melalui penglibatan (penyertaan) aktif komuniti secara sukarela untuk pembangunan dan kesejahteraan bersama. Ia dipimpin dan dijalankan secara sistematik oleh pekerja atau penyusun komuniti berasaskan gabongan pelbagai teori (idea dan konsep) tentang komuniti dan masyarakat, pendekatan, serta kaedah dan kemahiran kerja yang sesuai dengan keadaan serta keperluan komuniti sasar.

Empat elemen penting dalam definisi (takrif) ini ialah pemerkasaan (empowerment) atau pengupayaan/pendayaupayaan, penglibatan komuniti, kesukarelawanan, dan pembangunan. Keempat-empat elemen tersebut seharusnya hadir dalam sesuatu kerja komuniti.

1.  Pemerkasaan komuniti --  usaha membantu meningkatkan kebolehan dan keyakinan komuniti atau penduduk untuk berdikari, yakni memikul tanggungjawab dan mengambil peranan (juga disebut kefungsian sosial) masing-masing di dalam komuniti dan masyarakat. Melalui proses pemerkasaan, penduduk atau anggota-anggota komuniti digalakkan, diberi peluang, serta dibimbing untuk terlibat aktif dalam memberikan buah fikiran, merancang dan membuat keputusan, serta mengambil langkah-langkah atau tindakan yang sesuai demi kepentingan dan kesejahteraan bersama.

2.  Penglibatan komuniti – kerja komuniti memerlukan penglibatan (involvement) atau penyertaan (participation) dan peranan aktif anggota-anggota komuniti dalam keseluruhan proses kerja. Penglibatan aktif komuniti suatu mekanisme utama dalam proses pemerkasaan (yang dinyatakan di atas). dan pembangunan komuniti. Oleh itu sukar dianggap kerja komuniti jika komuniti sendiri tidak terlibat, atau sekadar pemerhati/penerima sahaja.

3.  Kesukarelawanan -- kerja komuniti hanya mampu dilaksanakan dengan penglibatan komuniti (meliputi pemimpin, aktivis dan anggota) secara sukarela. Mereka yang terlibat aktif ini sukarelawan komuniti yang perlu dilatih untuk menyumbang kepada kepentingan atau faedah bersama. Sebagai sukarelawan komuniti mereka seharusnya mempunyai minat terhadap komuniti mereka dan sedia berkongsi dengan rela hati, ikhlas, dan tanpa mengharapkan ganjaran material (lihat Azizan, 2009; 2005).

Sehubungan itu pekerja komuniti serta kalangan pemimpin dan aktivis komuniti perlu memahami apakah kesukarelawanan, dan mengapa ia penting dalam kerja komuniti. Kesukarelawanan (volunteerism) yang dimaksudkan di sini meliputi, antara lain, sukarelawan (siapakah sukarelawan?, syarat-syarat asas seorang sukarelawan, persiapan menjadi sukarelawan, hak-hak sukarelawan, peranan dan tanggungjawab sukarelawan, dorongan dan rangsangan bersukarela, minat dan kecenderungan sukarelawan, dan kesesuaian tugasan yang diagihkan), prinsip-prinsip dan makna kerja sukarela, tujuan-tujuan dan bidang-bidang kerja/khidmat sukarela, peranan dan cabaran kerja sukarela, pergerakan/pertubuhan dan kumpulan sukarela, pembangunan sukarelawan, pengurusan sukarelawan, pengurusan pertubuhan sukarela, dan sebagainya.

Jelas, kesukarelawanan suatu tajuk yang luas. Pekerja komuniti dan seluruh tenaga penggerak dalam kerja komuniti harus sedar bahawa tanpa tenaga sukarela yang terlatih dan tersusun, dan seterusnya kesukarelawanan itu sendiri dibudayakan, tak mungkin kerja komuniti yang tulen (dengan penglibatan aktif komuniti) dapat menjadi kenyataan.

4.  Pembangunan -- merujuk kepada proses peningkatan kualiti hidup komuniti d alam pelbagai aspek dan bidang kehidupan. Ini meliputi aspek-aspek kognitif-mental, fizikal, emosi, kerohanian (spiritual) dan sosial komuniti. Pembangunan ini juga bersifat bersepadu (integratif) dan holistik, yakni memberi perhatian kepada keseluruhan bidang kehidupan komuniti seperti ekonomi, kesihatan, pendidikan, politik, budaya dan kesenian, persekitaran, teknologi, undang-undang, dan sebagainya (penjelasan lebih lanjut tentang pembangunan terdapat di dalam Bab 7, Erti Pembangunan).

Sebahagian elemen-elemen penting dalam definisi kerja komuniti ini (seperti penglibatan komuniti dan pembangunan dihuraikan di dalam Bab 3 (Prinsip-Prinsip Kerja Komuniti).

”Community work (especially community development work) is .. the process of assisting people to improve their own communities by undertaking autonomous collective action”

(Kerja komuniti, lebih-lebih lagi kerja pembangunan komuniti ialah .. proses membantu orang ramai memperbaiki komuniti mereka sendiri melalui tindakan kolektif secara autonomi.Terjemahan penulis).

Alan Twelvetrees (2008)

Menurut Marie Weil (2005, hal. 9) amalan komuniti merangkumi empat proses utama iaitu pembangunan (development), penyusunan (organising), perancangan (planning), dan perubahan yang progresif (progressive change). Amalan komuniti, tambah beliau, menekankan kerja bersama kumpulan rakyat, kumpulan dan pertubuhan budaya dan pelbagai budaya, dan pertubuhan khidmat manusia bagi memperbaiki pilihan-pilihan dan peluang-peluang kehidupan di dalam komuniti, serta berusaha ke arah meluaskan hak-hak sivil dan asasi manusia, kesaksamaan politik, dan agihan keadilan melalui pelbagai cara bagi mengubah sistem-sistem yang gagal menyokong nilai-nilai tersebut.

”Community practice is the application of practice skills to alter the behavioral patterns of community groups, organizations, and institutions or people’s relationships and interactions with these entities”.

Hardcastle & Powers (2004; hal.3)

Kerja komuniti dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan konteks (atau seting). Ia mungkin tidak disebut kerja komuniti seperti yang lazim digunakan dalam disiplin ilmu dan amalan kerja sosial (social work), sebaliknya dikenal dengan istilah-istilah seperti amalan komuniti (community practice), penyusunan atau pengorganisasian komuniti (community organising/organisation), pembangunan komuniti (community development), kerja pembangunan komuniti (community develpment work), kerja sosial komuniti (community social work) khidmat pengembangan (extension service), pendidikan komuniti (community education), pendidikan politik komuniti (community political education), tindakan sosial (social action) dan sebagainya.  Kebanyakan kerja ini cuba menggerakkan komuniti ke arah pembangunan komuniti walaupun mungkin terdapat perbezaan (atau variasi) dalam darjah dan tahap penglibatan komuniti sendiri di dalamnya.

Walau bagaimanapun, di peringkat ini perlu dinyatakan bahawa istilah (nama) yang berbeza itu biasanya tidak digunakan secara sewenang-wenang. Setiap pihak menggunakan sesuatu istilah dengan maksud, konotasi, atau asas dan orientasi ideologi tertentu.

Sebagai contoh, perdebatan tentang sama ada kerja komuniti (selain kerja kes, kerja kelompok, kerja dengan organisasi) itu suatu bentuk intervensi kerja sosial atau suatu bidang kerja/amalan tersendiri (di luar skop kerja sosial konvensional) dan hujah-hujah berhubungnya telahpun banyak dan lama berlangsung. Seperti disentuh di dalam Bab 5 (Teori dan Model), dari perspektif kerja sosial (komuniti) profesional itupun terdapat model-model atau pendekatan yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Proses kerja komuniti dikendalikan (digerakkan) oleh pekerja komuniti atau penyusun komuniti yang biasanya terlatih (dihuraikan di dalam Bab 8, Siapakah Pekerja Komuniti?). Pekerja komuniti mesti memiliki ilmu, sikap, kemahiran, keperibadian, dan tingkah laku yang sesuai untuk bekerja dengan komuniti. Dia semestinya seorang yang prokomuniti, yakni sedia mempelajari dan memahami komuniti, serta mengutamakan kepentingan komuniti.

Pekerja komuniti mungkin tidak kekal lama bersama-sama komuniti. Jadi, meskipun peranannya sangat penting, lebih-lebih lagi di peringkat awal proses kerja, dia mesti membiasakan komuniti berdikari, yakni mengambil tanggungjawab dan peranan, berikhtiar, membuat keputusan, dan melaksanakan apa yang terbaik bagi kepentingan kolektif mereka sendiri. Ini tentunya akan membantu komuniti meneruskan agenda sendiri apabila pekerja komuniti beredar nanti.

Kerja komuniti menggalakkan tindakan kolektif penduduk berhubung isu-isu atau dalam bidang-bidang yang dipilih oleh mereka. Ini sekali gus memupuk atau menyemai semangat kesukarelawanan, kepercayaan, pemuafakatan, dan kesetiakawanan sesama anggota komuniti.

Kerja komuniti lebih dilaksanakan bersama komuniti-komuniti (yang kebanyakan anggotanya) miskin, berpendapatan rendah, terpinggir/dipinggirkan atau terabai. Di Malaysia, umpamannya, komuniti-komuniti yang dimaksudkan ini meliputi komuniti Orang Asal (Asli), komuniti peneroka kota (setinggan), komuniti nelayan, komuniti petani (pesawah, pekebun kecil, penternak), komuniti kawasan pendalaman, komuniti rumah pangsa di kawasan kota, komuniti pesisir pantai atau pulau, dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, ini tidak bererti kerja komuniti tidak dilaksanakan dengan komuniti-komuniti atau golongan-golongan menengah dan atasan dalam komuniti. Sebagai suatu pendekatan dan kaedah kerja pembangunan, kerja komuniti boleh dilaksanakan dengan pelbagai jenis dan latar (sosio-ekonomi) komuniti.

_______________________

 

++   Artikel dipetik dari Azizan Bahari, Bekerja dengan Komuniti (akan terbit, 2012)

 

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti