Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH PRINSIP-PRINSIP KERJA KOMUNITI ++
PRINSIP-PRINSIP KERJA KOMUNITI ++
Written by Dr. Azizan Bahari   
Saturday, 17 March 2012 22:04

 

Bekerja dengan komuniti memerlukan asas-asas panduan dan pegangan yang jelas dan yang dapat dipertahankan. Ini kerana bekerja dengan komuniti melibatkan sikap dan tindakan, perhubungan, pergaulan, dan malah kehidupan bersama orang ramai. Untuk itu maka soal prinsip dan nilai perlu dibincangkan dan difahami sebaiknya. Setiap pekerja komuniti dan mereka yang terlibat bersamanya harus jelas tentang prinsip-prinsip dan nilai yang mendasari kerja komuniti.

Prinsip dan nilai harus dilihat sebagai suatu kesepaduan yang tak terpisahkan. Seperti yang akan dilihat nanti, kedua-duanya sangat berkaitan. Untuk memudahkan perbincangan dan pemahaman maka di sini kedua-duanya (prinsip dan nilai) disentuh di bawah tajuk-tajuk berasingan.

Seperti dinyatakan di atas, bekerja dengan orang ramai atau komuniti memerlukan prinsip-prinsip (principles) tertentu sebagai pegangan dan panduan bekerja. Tanpa prinsip-prinsip yang jelas sebagai panduan (kerja) maka kerja komuniti mungkin bercelaru dengan masing-masing pihak yang terlibat mengambil sikap dan tindakan sendiri.

Prinsip (atau asas, dasar, atau rukun) memberi garis untuk sesuatu keputusan dibuat dan tindakan atau kerja dijalankan. Selain itu, prinsip kerja juga berperanan sebagai rujukan berhubung ketelusan (transparency) dan kebertanggungjawaban akauntabiliti) pengamal.

Dalam Bab 1 (Apakah Kerja Komuniti?), ketika membincangkan definisi kerja komuniti, dihuraikan empat elemen atau sifat utama kerja komuniti, iaitu pemerkasaan, penglibatan komuniti, kesukarelawanan, dan pembangunan. Keempat-empat elemen ini membolehkan kita mengenali kerja komuniti sebenar (authentic) di lapangan. Proses kerja komuniti harus mempunyai keempat-empat elemen/sifat ini.

Sebahagian elemen tersebut juga merupakan prinsip kerja komuniti. Prinsip-prinsip utama yang berupa panduan dan pegangan pekerja komuniti meliputi:

i) Penglibatan (penyertaan) komuniti
ii) Demokrasi
iii) Pemerkasaan (pengupayaan) komuniti
iv) Keperluan dan kepentingan komuniti diutamakan
v) Proses kerja dipentingkan, tidak hanya hasil atau tujuan
vi) Pembangunan komuniti – pembangunan atau perubahan positif harus berlaku dalam proses kerja komuniti.


PENGLIBATAN / PENYERTAAN KOMUNITI. Penglibatan atau juga disebut penyertaan komuniti dalam keseluruhan proses kerja amat penting. Komuniti mesti terlibat atau ikut serta dalam perancangan, pelaksanaan, penilaian dan penambahbaikan kerja di setiap peringkat. Dalam kerja komuniti penduduk bukan pembonceng/penumpang atau penerima perubahan, sebaliknya bertindak selaku peserta yang aktif dan turut sama-sama menyumbang.

”...the key value in decision-making within a poor people’s organization is not efficiency but participation” (Nilai utama dalam membuat keputusan di dalam pertubuhan orang-orang miskin bukanlah kecekapan, tetapi penyertaan)

Si Kahn (1970)


Penglibatan (involvement) memberi peluang kepada penduduk mengambil peranan, melakukan sesuatu tugasan dan belajar serta mendapat pengalaman daripadanya. Ini akan memberikan dan menimbulkan kepercayaan dan keyakinan diri dan seterusnya menggalakkan mereka untuk mengambil daya usaha (inisiatif) untuk perubahan. Penglibatan melatih dan membiasakan komuniti melakukan kerja sendiri – ”alah bisa tegal (kerana) biasa” -- dan ini akan memudahkan mereka meneruskan kerja tersebut atau membuat tindakan susulan kemudian.

”You cannot make people self-reliant; people become self-reliant”; ”People must feel and believe that it is their own development efforts that are driving the development process”

(Anda tidak boleh menjadikan orang ramai berdikari; orang ramai sendiri berdikari. Mereka mesti berasa dan percaya bahawa usaha-usaha mereka sendiri yang sebenarnya menggerakkan proses pembangunan. Terjemahan penulis)

<

Stan Burkey (1993, hal.50)]

Penglibatan dalam sesuatu usaha atau kegiatan juga memberi rasa sepunya (dimiliki bersama) dan bertanggungjawab terhadap usaha/kegiatan tersebut. Jika terlaksana dengan baik maka ia juga menimbulkan perasaan bangga terhadap usaha/kegiatan, selain komitmen untuk mempertahankan dan atau meneruskan usaha-usaha lain kelak.

Penglibatan komuniti malah sering dianggap pengukur dalam menentukan sama ada sesuatu kerja komuniti itu benar-benar terlaksana atau tidak. Ini kerana dalam banyak projek pembangunan yang dijalankan, peranan dan penglibatan anggota-anggota komuniti, jikapun ada, sangat terhad. Seringkali juga penyertaan komuniti hanya di peringkat tertentu sahaja (contohnya di peringkat pimpinan) dan dengan tujuan mendapatkan pengesahan atau ”persetujuan” komuniti sahaja. Dalam projek dan tatacara kerja yang demikian komuniti lebih sebagai penerima (receiver), bukan peserta yang aktif, apatah lagi selaku penentu pembangunan atau perubahan.

Walau bagaimanapun, di sini kita mengakui bahawa penglibatan komuniti tidak semudah yang diharapkan. Keadaan sebenar di lapangan dipenuhi aneka cabaran dan kekangan. Mengapa tidak? Orang ramai yang dibesarkan dan hidup dalam persekitaran serta sistem yang tidak menggalakkan atau memberikan mereka peluang untuk memberi pendapat, membuat keputusan dan mengambil inisiatif melaksanakan sesuatu tentu tidak mudah mempercayai atau memahami makna penyertaan atau penglibatan. Selain itu, keadaan dan peraturan, nilai dan budaya, serta norma dan amalan tertentu mungkin sudah berakar umbi dalam kehidupan komuniti dan masyarakat, dan sebahagian mereka mungkin mencurigai perubahan atau pertukaran yang cuba dilakukan.

Penduduk sendiri juga barangkali agak keberatan untuk melibatkan diri jika mereka tidak percaya dan yakin bahawa sumbangan dan peranan mereka diperlukan. Begitu juga dengan soalan: apakah sesuatu usaha itu boleh dan benar-benar memberi faedah/manfaat kepada mereka?

Bagi pekerja komuniti yang faham tentang latar belakang, nilai-nilai dan sikap komuniti, serta menggalas tanggungjawabnya berpandukan prinsip-prinsip, tujuan dan pendekatan kerja komuniti (yang disentuh di dalam buku ini) maka mereka harus lebih bersedia dan mampu menangani persoalan ini. Sikap terhadap komuniti dan cara kerja yang betul, umpamanya, akan membantu dia mendapat sokongan dan penglibatan komuniti. Begitu juga kefahaman tentang potensi dan keupayaan komuniti, dan pengagihan tugas kepada mereka yang sesuai mungkin akan membuahkan hasil.

DEMOKRASI. Konsep atau idea tentang demokrasi tidak mempunyai sebarang makna bagi komuniti danmasyarakat jika tidak diterjemahkan atau diamalkan dalam kehidupan nyata. Idea demokrasi, antara lain, menggariskan asas-asas sistem pemerintahan dan urus tadbir berdasarkan kehendak majoriti, menjaga dan melindungi kepentingan golongan-golongan minoriti dalam masyarakat, memberi hak dan kebebasan kepada rakyat untuk bersuara, berhimpun, berpersatuan, menganut atau mengamalkan agama dan sistem kepercayaan, dan memperjuangkan cita-cita dan kepentingan mereka secara aman. Namun, semua ini hanya suatu retorika atau slogan-slogan kosong jika tidak menjadi amalan kehidupan.

Melalui kerja komuniti lunas-lunas (asas-asas) demokrasi yang dinyatakan itu cuba dilaksanakan dan dihayati (di peringkat mikro). Proses menyediakan peluang dan menggalakkan perbincangan, membuat keputusan, mengambil peranan dan memikul tanggungjawab oleh/sesama anggota komuniti, semua ini antara langkah-langkah pendemokrasian komuniti.

”Democracy is not a gift bestowed by the powerful on the rest of us. If we want democracy now, we have to be willing to fight for it – and we need to know how”

(Demokrasi bukan anugerah oleh penguasa kepada kita. Jika kita mahukan demokrasi sekarang maka kita mesti sanggup berjuang mendapatkannya – dan kita perlu tahu bagaimana. Terjemahan penulis) .

Amy Goodman,

Dipetik dari kulit buku Si Kahn (2010), Creative Community Organizing

Dalam kata lain, kerja komuniti memberi sumbangan penting kepada proses pendemokrasian masyarakat. Kerja komuniti yang dilaksanakan di peringkat bawah secara konkritnya membantu membina landasan kukuh bagi menjayakan projek demokrasi negara dan malahan masyarakat sejagat (peringkat makro).

PEMERKASAAN KOMUNITI. Sehubungan di atas, pemerkasaan atau pengupayaan komuniti suatu prinsip, syarat, dan kriteria penting bagi kerja komuniti. Pemerkasaan komuniti bermaksud mendidik, menggalakkan, dan mempersiapkan komuniti agar mampu berdikari, mengambil sikap dan menentukan apa yang baik dan buruk bagi mereka sendiri. Pemerkasaan juga bermaksud menyediakan cara dan kaedah bagi rakyat membina kebolehupayaan (capability), yakni keseluruhan sikap, komitmen, dan kemahiran yang sesuai dan diperlukan untuk melakukan sesuatu kerja, menterjemahkan idea menjadi kenyataan, malah membuat perubahan seperti yang diinginkan.

Komuniti yang perkasa dimaksudkan komuniti yang mempunyai keyakinan diri serta kebolehan untuk membuat perubahan seperti yang dihasratkan bersama. Komuniti yang perkasa sedar dan faham akan hak-hak dan kepentingannya, tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya, serta bersedia dan mampu memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak dan kepentingan tersebut.

Pemerkasaan komuniti hanya berlaku jika komuniti diberi peluang dan digalakkan untuk membuat keputusan dan melakukan sesuatu dengan sendiri. Untuk itu komuniti mesti diberi peluang untuk belajar dan melakukan kesilapan serta memperbaiki diri sehingga bertambah yakin dan mampu mengambil inisiatif, peranan dan tanggungjawab sendiri.

KEPERLUAN DAN KEPENTINGAN KOMUNITI DIUTAMAKAN. Dalam bekerja dengan komuniti keperluan dan kepentingan komuniti mesti diutamakan, bukannya kehendak atau kemahuan pihak-pihak lain (walau betapa murni niatnya) ke atas komuniti. Ini tidak bererti kerja komuniti tidak boleh menerima pelbagai bentuk input atau sumbangan dari luar yang boleh memberi manfaat kepada komuniti. Yang ditekankan di sini ialah komuniti sendiri harus menentukan apa yang dicita-citakan atau dikehendakinya, apa yang baik dan berfaedah baginya.

PROSES KERJA, BUKAN HANYA TUJUAN/HASIL DIPENTINGKAN. Proses ialah perjalanan kerja, atau siri aktiviti atau tindakan, atau tahap-tahap (fasa-fasa) menuju sesuatu tujuan atau hasil yang ditetapkan. Tiada tujuan atau hasil tanpa proses. Kedua-duanya (proses dan tujuan/hasil) penting dan harus cuba dicapai. Namun, seperti yang ditekankan juga, dalam proses kerja itu sendiri terdapat pelbagai manfaat atau faedah mereka yang mengerjakannya (terlibat).

Dalam kerja komuniti hasil-hasil atau kesan-kesan yang lahir dari proses kerja sebenarnya pelbagai dan penting bagi pembangunan ahli-ahli dan komuniti. Sebagai contoh, dalam proses kerja komuniti berlaku pembelajaran, perhubungan dan pergaulan, persahabatan, perselisihan faham,dan konflik, persaingan, kerjasama, penerimaan-penolakan, tolak ansur, pembinaan kepercayaan dan keyakinan, kemahiran, kemunculan bakat dan potensi baharu, dan sebagainya yang memberi manfaat dan pengajaran yang sangat berguna serta bermakna kepada pembangunan komuniti.

Kerja komuniti itu sendiri dilihat lebih sebagai proses (disebut proses kerja komuniti). Sebagai proses kerja ia agak berbeza jika dibandingkan dengan sesuatu kegiatan atau program yang skop, tujuan, dan kesannya agak terhad. Proses menekankan ”apa yang berlaku kepada orang, dari segi sosial dan psikologi”, manakala program menekankan kepada kegiatan atau aktiviti (Sanders; Irwin T. Sanders, dipetik Christenson dan Robinson, 1980, hal. 11). Sebagai proses maka kerja komuniti juga sesuatu yang berterusan dan dinamik, dengan kesan/implikasi yang lebih luas.

PEMBANGUNAN KOMUNITI. Kerja komuniti seharusnya berpaksikan dan mensasarkan perubahan atau pembangunan komuniti. Kebanyakan kerja dengan komuniti dan masyarakat bertemakan pembangunan, atau perubahan yang lebih baik atau peningkatan dalam kualiti hidup masyarakat. Di sini, selain sebagai tujuan kerja komuniti (yang disentuh sebelum ini), pembangunan komuniti juga suatu prinsip kerja (lihat Bab 7, Erti Pembangunan).

Kerja komuniti yang dilaksanakan dengan tersusun dan mengikut prinsip-prinsip dan cara-cara yang sepatutnya pasti mampu membawa pembangunan atau perubahan positif kepada komuniti. Melalui kerja komuniti perubahan dalam sikap, pandangan, cara befikir, nilai, tindakan, perhubungan dan pergaulan, persepsi, kebolehan dan kemahiran diri, kepemimpinan, kepengikutan, kepengurusan dan sebagainya seharusnya berlaku dalam diri seseorang dan juga komuniti. Namun (sekali lagi), pembangunan atau perubahan ini tidak semestinya hasil kerja, dilihat dan dikecapi di akhir kerja. Pembangunan atau perubahan juga berlaku semasa dan dalam proses berlangsungnya kerja komuniti.

 

______________________

++ Artikel ini dipetik dari Azizan Bahari, Bekerja dengan Komuniti (akan terbit, 2012).

 

 

Aktiviti

Aktiviti