Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Belia dan Kesukarelawanan
Belia dan Kesukarelawanan
Written by Dr. Azizan Bahari   
Sunday, 05 June 2011 07:12

Pendahuluan

 

Seluruh dasar dan agenda pembangunan belia -- sama ada yang di bawah Kerajaan ataupun pertubuhan sukarela -- tidak akan terlaksana dengan jayanya tanpa tenaga sukarelawan belia di pelbagai peringkat.  Begitu juga kerja belia (youth work) dan pertubuhan belia (youth organisation) tidak mampu digerakkan sebaiknya tanpa sukarelawan belia (youth/young volunteers).

Ini kerana selaku mekanisme yang diwujudkan bagi pembangunan belia, kedua-dua kerja belia dan pertubuhan belia memerlukan tenaga sukarelawan, khususnya dalam kalangan remaja belia sendiri, untuk melaksanakan dasar, agenda dan programnya. Tenaga berbayar sepenuh masa atau separuh masa di bawah Kerajaan ataupun pertubuhan belia sangat terhad bilangannya. Mereka juga tidak berupaya mengendalikan dasar dan agenda yang melibatkan begitu ramai remaja belia di berbagai-bagai peringkat dan di segenap pelusuk tanah air. Selain itu, dalam rangka menggalakkan penyertaan golongan remaja belia dalam pembangunan umumnya maka inisiatif dan peranan golongan itu sendiri seharusnya diutamakan.

Agenda Kesukarelawanan

Namun, apa yang kita lihat hari ini, kesukarelawanan (volunteerism) masih belum diangkat menjadi perkara asas dan penting yang ditangani secara bersungguh-sungguh, sistematik dan konsisten. Walaupun kesukarelawanan mendasari organisasi, agenda pembangunan belia, dan aneka program berkaitan kepentingan masyarakat ramai, kepentingan (significance) kesukarelawanan, atau makna dan implikasinya, masih belum disedari atau difahami sebaiknya.

Kebanyakan pihak beranggapan kesukarelawanan sebagai sesuatu yang implisit atau tersirat (hadir bersama-sama) dalam kerja dan pertubuhan belia, dan oleh itu tak perlu dirisaukan. Bagi mereka, menggerakkan dan mengurus remaja belia dan pertubuhan belia sudah bererti menyemarakkan kesukarelawanan. Bagi sesetengah mereka kesukarelawanan (sering disebut “kesukarelaan”) ialah soal semangat, sikap, “khidmat masyarakat”, dan kecintaan kepada negara (patriotisme).

Walaupun sebahagian sikap dan pandangan ini benar, ia masih belum cukup untuk menerangkan dan menangani kesukarelawanan. Kesukarelawanan jauh lebih luas dan dalam daripada apa yang dinyatakan/difahami itu.

Kesukarelawanan kini suatu subjek yang semakin mendapat perhatian kerana dampaknya (impaknya) terhadap kehidupan bermasyarakat. Kesukarelawanan meliputi:

  • pertubuhan dan gerakan sosial
  • sukarelawan
  • pembangunan sukarelawan
  • pelbagai aktiviti dan khidmat sukarela (seperti dalam bidang-bidang kebajikan, pemulihan, pembangunan, pendidikan, keselamatan, kesihatan, pemuliharaan alam sekeliling, kepenggunaan, dan lain-lain)
  • ilmu tentang pelbagai aspek kesukarelawanan
  • kemahiran-kemahiran yang diperlukan sukarelawan
  • pengurusan sukarelawan
  • pengurusan pertubuhan sukarela
  • kepemimpinan sukarela
  • dan sebagainya.

Semua ini antara bidang-bidang utama yang tergabung di bawah subjek/tajuk besar kesukarelawanan. Dan setiap bidang tersebut pula merupakan perkara-perkara penting “tersendiri” yang perlu diberi perhatian.

Kesukarelawanan dalam pembangunan belia, sebagai contoh, turut merangkumi perkara-perkara seperti mendidik dan mempersiapkan remaja belia untuk menjadi sukarelawan yang sedar, beriltizam (committed), dan sistematik. Ini bererti, aspek-aspek tujuan dan matlamat kerja sukarela, prinsip-prinsip dan etika dalam bersukarela, makna dan nilai bersukarela, syarat-syarat asas bagi seorang sukarelawan, siapakah sukarelawan? (mengenal diri sukarelawan), kebolehan atau kemahiran-kemahiran asas yang perlu, hak-hak dan tanggungjawab sukarelawan, serta cabaran dan halangan yang mungkin dihadapi sukarelawan, semua ini hendaklah dibincang dan dihuraikan agar difahami dan seterusnya dikuasai dan dihayati oleh calon-calon sukarelawan(muda).

Pada tahap-tahap tertentu seseorang yang ingin menjadi sukarelawan perlu memahami dirinya, komuniti dan masyarakatnya, persekitarannya, sistem dan peraturan, serta pihak-pihak (individu, kumpulan, organisasi) yang berurusan dengannya. Ini menuntut strategi atau agenda yang mantap untuk membangun dan menyerlahkan potensi kesukarelawanan dalam kalangan remaja belia kita. Tidak cukup dengan program ad hoc walaupun di peringkat nasional dan serantau, usaha ke arah itu menuntut tenaga-tenaga pengurusan yang terlatih, memahami dan committed pada agenda kesukarelawanan dan pembangunan remaja belia. Tidak memadai dengan pengisytiharan menubuhkan ini dan itu dengan jangkaan ahli atau peserta yang ramai, ia menuntut azam politik serta tindakan konkrit dan berterusan yang terbukti di lapangan.

Menjayakan agenda kesukarelawanan turut bererti mewujudkan prasarana pembelajaran dan peluang bersukarela dalam pelbagai bentuk yang sesuai bagi remaja belia. Latihan/kursus tentang teori dan amalan kesukarelawanan, khidmat nasihat dan bimbingan, bahan-bahan rujukan, aktiviti-aktiviti sukarela yang tersusun dan berjangka panjang, dorongan (motivasi), penempatan dan penyeliaan sukarelawan, sekadar beberapa contoh, mesti diatur dan diusahakan segera. Saya tidak perlu memperincikan hal itu di sini kerana cadangan dan perbincangan berkenaannya sudah kerap dan lama diadakan. Saya juga ada menulis sedikit sebanyak tentang perkara-perkara ini. Kita juga tidak sepatutnya “mengkaji dan merancang” sesuatu begitu lama sehingga peneraju kementerian dan pertubuhan belia bertukar orang dan yang dianggap remaja pun sudah menjadi dewasa!

Senario Kesukarelawanan Masa Kini

Tadi, disentuh tentang andaian sesetengah pihak bahawa kesukarelawanan itu implisit atau tersirat di dalam pertubuhan dan kerja belia. Berkaitan itu memang kesukarelawanan, atau lebih tepat semangat kesukarelawanan (kesukarelaan), juga sudah lama terpahat sebagai salah satu tujuan/hasrat di dalam dasar dan dokumen-dokumen berkaitan kerja dan pergerakan belia.

Saya pernah terlibat menyediakan kertas cadangan pembentukan Dasar Belia Negara yang pertama sekitar 1970-an dan sememangnya “kesukarelaan” dinyatakan dengan jelas sebagai salah satu tujuan/hasrat kewujudan Dasar awal tersebut. Usaha “menegak dan mengukuhkan prinsip sukarela dan demokratik dalam pergerakan belia” juga merupakan salah satu matlamat Perlembagaan MBM 1979. Sejak awal 2000-an aneka kumpulan/briged/kor(corps) sukarelawan ghairah diisytiharkan oleh pelbagai pihak, namun ia seringkali tidak lebih daripada itu, atau tidak dapat bertahan lama. Selain itu, kini konsep kesukarelawanan juga, seperti dinyatakan di atas,jauh lebih mencakup (overarching) berbanding fahaman konvensional “kesukarelaan”dahulu.

Walau bagaimanapun, di sini saya tidak menafikan wujudnya pusat/jabatan/cawangan, program-program dan kegiatan-kegiatan sukarela yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. Sebagai contoh penting, beberapa tahun yang lalu Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan Program Jatidiri Kesukarelaan Nasional (PJKN), satu program ala-kursus yang dilaksanakan di daerah-daerah di seluruh Malaysia bagi mendedahkan remaja belia kepada perkara-perkara asas kesukarelawanan, di samping kepemimpinan, perhubungan dan sebagainya.  Namun atas sebab-sebab yang tidak diketahui umum program tersebut dihentikan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga pernah menubuhkan Briged Kebajikan Perdana beberapa tahun lalu. Ia juga pernah menaja siri bengkel kesukarelawanan di beberapa zon di Semenanjung. Walaupun maklum balas yang diterima daripada para peserta kebanyakannya amat menggalakkan, kedua-dua program tersebut juga tidak diketahui nasibnya.

Di pihak gerakan dan pertubuhan belia sendiri tidak jelas apakah inisiatif dan komitmen mereka (selaku pertubuhan sukarela) dalam rangka memajukan bidang kesukarelawanan ini. Para pekerja belia (sepenuh masa) di sektor awam dan sektor sukarela pula terpaksa bergelut dan menumpukan perhatian kepada urusan-urusan perancangan dan pelaksanaan aneka program lain belia,dan kurang dapat memberikan masa dan tenaga kepada kesukarelawanan belia. Jika adapun cadangan dan hasrat ke arah itu ia seringkali tinggal sebagai cadangan atau agenda sahaja.

Semua orang mengakui bahawa pernyataan dan pengisytiharan sahaja tidak cukup jika tidak disertakan dengan tindakan dan amalan konkrit dan berterusan. Tanpa azam politik atau komitmen di pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam pengendalian hal-ehwal belia di sektor Kerajaan atau sektor sukarela maka tidak mungkin semangat dan tenaga sukarelawan dapat dipupuk, dikembangkan, apa lagi digemblengkan untuk kepentingan bersama.

Di sebahagian negara di dunia, kesukarelawanan ternyata suatu sektor yang pantas berkembang dan dianggap penting barangkali kerana jelas sumbangannya kepada pembangunan sosial, malahan (melalui peluang pekerjaan yang dijananya) juga pembangunan ekonomi mereka. Mereka mempunyai data-data tentang pelbagai aspek sektor sukarela. Sesetengah kerajaan dan pihak swasta pula sedia memperuntukkan wang kepada pertubuhan-pertubuhan sukarela setimpal dengan dana yang diusahakan sendiri oleh pertubuhan bagi tujuan-tujuan khidmat sukarela. Di negara kita sektor sukarela dan sukarelawan juga memberikan sumbangan yang sangat bermakna kepada pembangunan kita (dalam pelbagai bidang), namun kita masih jauh di belakang dalam banyak aspek lain berbanding mereka.

Keahlian Pertubuhan Belia dan Sukarelawan Belia

Sebahagian penting senario kesukarelawanan kita sekarang ialah soal keahlian pertubuhan belia dan, sehubungan itu, penyertaan/penglibatan belia dalam program-program yang dianjurkan. Maklum balas daripada sumber-sumber Jabatan Belia/Pejabat Belia di peringkat negeri dan daerah memberi gambaran lebih jelas tentang keadaan di lapangan.

Remaja belia dikatakan enggan atau tidak berminat menyertai pertubuhan belia. Pelbagai bentuk insentif dan daya tarikan juga dikatakan terpaksa disediakan bagi menarik penyertaan remaja belia dalam program-program yang kebanyakannya diatur dan ditaja Kerajaan. Di pihak pertubuhan belia sendiri, dengan kemampuan pengurusan dan kedudukan kewangan yang terbatas (lebih bergantung kepada bantuan Kementerian dan Jabatan Belia), contohnya, maka agak jarang aktiviti atau program dapat diadakan.

Persoalan keahlian dalam pertubuhan formal dan penyertaan remaja belia dalam program ini berkait langsung dengan jumlah atau kuantiti sebagai suatu bentuk indicator(petanda) dan ukuran (measurement) keaktifan dan kerancakan belia berorganisasi. Tidak hairanlah jika saban tahun perangkaan (statistik) berhubung peningkatan/penurunan dan penyertaan belia menjadi judul perbincangan, termasuk soal-jawab di Parlimen. Laporan dan rancangan rasmi sentiasa menekankan hal ini. Pertubuhan-pertubuhan belia pula ada yang mengemukakan (mengisytiharkan) bilangan keahlian mereka yang meningkat... Masing-masing pihak mahu menunjukkan kuantiti kerana ini barangkali memberi justifikasi bagi mendapatkan (tambahan) peruntukan kewangan, selain memberi implikasi pengaruh dan kekuatan.

Yang tidak ditonjolkan atau tidak jelas bagi kita ialah soal kuantiti dan kualiti sukarelawan yang dilahirkan dari dalam kalangan belia sendiri – sukarelawan yang dididik, dilatih, dan digemblengkan, atau yang mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan belia dan masyarakat.

Saya kerap membangkitkan soal perbezaan antara ahli pertubuhan belia dan sukarelawan belia. Saya juga pernah mempersoalkan apakah keutamaan kita sebenarnya – meramaikan ahli pertubuhan belia atau melahirkan sukarelawan dalam kalangan remaja belia agar kesedaran dan keperihatinan sosial, patriotisme, pembangunan belia dan masyarakat dapat ditingkatkan?

Perlu ditegaskan bahawa menjadi seorang sukarelawan yang sedar, beriltizam (committed), dan sistematik (yakni berkualiti) tidak semestinya sama dengan menjadi ahli pertubuhan belia. Dari segi definisi (takrif) pun, “sukarelawan seseorang yang mempunyai minat dan terlibat dalam sesuatu kegiatan sukarela” (Lihat Azizan, 2009). Selain memberikan khidmat tanpa mengharapkan balasan/ganjaran material, seseorang sukarelawan juga mesti mempunyai sesuatu yang hendak disumbangkan atau dikongsikan dengan orang seperti tenaga fizikal, kemahiran, pengalaman, pengetahuan dan sebagainya.

Ahli pertubuhan belia mungkin mempunyai ciri-ciri sukarelawan ini, namun dia tidak semestinya melakukan atau terlibat dalam sebarang kegiatan sukarela sebagaimana syarat bagi seseorang sukarelawan. Dalam konteks gerakan dan pertubuhan sukarela bukan profesional di Malaysia, menjadi ahli pertubuhan pun agak mudah, termasuk kemungkinan mendapat “khidmat tajaan” yuran keahlian oleh pihak-pihak yang berduit dan berpengaruh! Ahli juga ramai yang tidak aktif, malah sebahagian tidak pernah hadir mesyuarat atau mengetahui perkembangan pertubuhan/persatuannya. Sukarelawan sebaliknya mesti bersukarela (atau melakukan kerja/khidmat sukarela), harus dipersiapkan atau dilatih dan dibimbing untuk dapat memberikan sumbangannya, jika tidak ia tak layak digelar sukarelawan.

Dalam konteks keadaan dan perkembangan masyarakat kini, sukarelawan dituntut untuk mempunyai sikap, pandangan dan komitmen sosial yang sesuai. Sukarelawan juga harus memiliki pengetahuan dan kemahiran asas tentang kerja sukarela yang ingin diceburinya. Begitu juga aspek-aspek lain kesukarelawanan yang disentuh di atas, seboleh-bolehnya dikuasai dan dihayati sukarelawan. Ini tentunya berbeza dengan ahli pertubuhan belia.

Saya tidak membantah usaha meramaikan ahli pertubuhan belia. Tetapi yang lebih penting tentulah ahli-ahli yang berkualiti – ahli-ahli yang tahu peranan dan tanggungjawabnya, yang bersedia dan turut menjadi sukarelawan dalam menyumbang kepada pembangunan belia dan masyarakatnya.  Mengutamakan kuantiti (bilangan atau jumlah) belum menjamin apa-apa bagi usaha pembangunan belia. Sebaliknya, remaja belia yang direkrut sebagai sukarelawan (yakni dipersiapkan dan melibatkan diri dalam kerja sukarela), walaupun bilangannya mungkin relatif kecil, akan lebih menyumbang kepada pembangunan belia dan masyarakat umumnya.

Kecenderungan Remaja Belia

Tadi ada disentuh soal keengganan atau ketiadaan minat remaja belia terhadap pertubuhan belia. Isu ini barangkali akan dapat dibincangkan di dalam rencana lain nanti. Memadai di sini dinyatakan bahawa seperti fenomena lain di hadapan kita, ia harus di lihat dalam konteks perkembangan masyarakat dan negara(dan juga pengaruh dan faktor-faktor luaran) yang lebih luas.

Apakah minat dan kecenderungan remaja belia? Apakah aktiviti yang disukai mereka, dan kenapa? Apakah pendekatan, dan bagaimanakah caranya aktiviti atau program harus dijalankan agar mendapat penyertaan remaja belia? Soalah-soalan seperti ini jika diajukan kepada kalangan remaja belia berkenaan, dan seterusnya diberi respons atau diambil tindakan yang sewajarnya, barangkali akan lebih membantu.

Sekadar catatan: pelbagai kajian dan kertas kerja berkenaan sudah dilakukan dan dibentangkan. Namun, seperti juga dengan cadangan dan agenda lain ia tetap tidak membantu jika tanpa tindakan susulan yang sewajarnya. Selain itu, sikap remaja belia yang demikian (jika benar) tentulah bersebab, termasuk mungkin kerana faktor-faktor yang wujud (inherent) dalam struktur pertubuhan dan institusi kebeliaan kita sendiri. Keberanian moral dan ketelusan kita untuk mengenalpasti punca-punca sebenar dituntut. Menyalahkan remaja belia seperti yang sering dilakukan sesetengah pihak dalam apa jua isu, tidak pernah membantu, malah merumitkan permasalahan (dek kebebalan pihak-pihak yang mempersalahkan ini).

Kesimpulan

Dalam era ilmu dan kecanggihan pengurusan kini segala bidang dan amalan kehidupan masyarakat perlu melalui proses pembaharuan agar dapat terus kekal relevan. Mana-mana bidang atau amalan yang tidak dimantapkan dengan asas ilmu dan kemahiran yang sesuai dikhuatiri akan gagal berperanan, malahan tersisih dan akhirnya mungkin pupus. Kerja dan pergerakan belia juga tidak terkecuali. Kesukarelawanan yang turut mendasari kerja dan pergerakan belia juga tidak terkecuali.

Azam politik atau komitmen serta tindakan konkrit dan berterusan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam hal-ehwal pembangunan belia diperlukan bagi memartabatkan dan menyerlahkan kesukarelawanan sebenar dalam kalangan remaja belia dan masyarakat kita. Kelahiran sukarelawan yang berkualiti diyakini akan lebih dapat membantu menjayakan dasar dan agenda pembangunan belia serta usaha menyemarakkan kerja dan pergerakan belia.

(Jun, 2011)

 

Aktiviti

Aktiviti