Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH Hari Pekerja Antarabangsa
Hari Pekerja Antarabangsa
Written by Dr. Azizan Bahari   
Sunday, 01 May 2011 00:00

1 Mei setiap tahun disambut oleh kaum pekerja seluruh dunia sebagai Hari Pekerja Antarabangsa (International Workers’ Day).  1 Mei atau juga dikenali, Hari Buruh (Labour Day), atau Hari Mei (May Day) ini bermula sebagai perjuangan menuntut kerja 8 jam sehari di Australia dan Amerika Syarikat (Peristiwa Haymarket Square di Chicago pada 1886). Ia kemudian diterima dan diiktiraf di seluruh dunia sebagai Hari Pekerja.

Kelas pekerja sendiri sudah wujud lebih 10,000 tahun dahulu, yakni sejak bermulanya hamba abdi, pedagang upahan, buruh domestik, dan sebagainya dalam masyarakat. Kelas-kelas pekerja moden, yakni apa yang disebut “free labour” (buruh bebas) -- kerana mereka “bebas bekerja” di mana-mana untuk mendapatkan upah (tidak seperti hamba abdi sebelumnya) -- wujud hanya beberapa ratus tahun yang lalu.

Hari Mei disambut bagi mengenang kembali sejarah kaum pekerja untuk mendapat tempat mereka yang sah dan wajar di dalam masyarakat. Sekian lama mereka dikerah dan diperlakukan semaunya oleh tuan-tuan mereka, dan dalam proses tersebut, terhakis identiti sebagai manusia bermartabat.  Mereka dilayan dengan buruk oleh majikan dan pihak-pihak yang berkuasa.

Rata-rata kaum pekerja dianggap sebagai alat pengeluaran dengan upah atau gaji yang minimal. Pelbagai peraturan dan disiplin yang ketat digubal dan dilaksanakan bagi mengawal dan memastikan pekerja menghasilkan nilai lebihan (surplus value) dan dengan itu menjamin keuntungan berterusan bagi pemilik perusahaan dengan ganjaran lumayan bagi majikan. Keadaan dan suasana pekerjaan yang tidak selesa dan menekan menimbulkan berbagai-bagai permasalahan peribadi dan sosial dalam kalangan masyarakat. Usaha-usaha pekerja yang sedar kemudian untuk menyusun dan menuntut hak-hak kebajikan dan bayaran yang lebih wajar ditekan atau dipatahkan, manakala ruang untuk rundingan sentiasa dibataskan oleh sikap curiga majikan dan disahkan oleh aneka peraturan dan undang-undang. Ternyata sejarah pekerja suatu sejarah yang lama dan pahit dengan pelbagai penderitaan dan pengorbanan...

Kini, setelah 125 tahun (sejak peristiwa di Chicago itu), tuntutan kerja 8 jam sehari secara rasminya sudah jauh ditinggalkan meskipun pencabulan terhadap undang-undang dan peraturan ini berterusan. Dengan pengisytiharan Hari Mei bererti sumbangan pekerja kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat diiktiraf. Pekerja dan kesatuan diberi tempat dalam pelbagai majlis perundingan dan jawatan kuasa di peringkat nasional dan juga antarabangsa. Begitu juga idea kerjasama pekerja-majikan-Kerajaan (tripartism), keharmonian industri, saham (token) syarikat untuk pekerja, dan malahan co-determination antara pekerja dan majikan dalam pengurusan perusahaan dicetuskan, diulangi dan diterokai di sana sini, namun tidak jelas akan kejayaan atau keberkesanannya.

Walau bagaimanapun, senario ini umumnya memberi keyakinan kepada sesetengah pihak tentang perubahan yang sedang berlaku. Dalam kalangan kesatuan dan pekerja sendiri ada yang berpuas hati dan berasa bangga dengan pencapaian setakat ini. Dengan langkah menuju negara industri maju ramai yang yakin bahawa negara seluruhnya sudah hampir berada dalam liga affluent dunia.  Sebahagian pemimpin kesatuan kelihatan ghairah dengan status baru selaku anggota majlis dan “diplomat pekerja”, serta beberapa pencapaian di meja rundingan dan mahkamah perusahaan, sehingga kurang memberi fokus kepada kegiatan-kegiatan fundamental kesatuan seperti pendidikan pekerja, penyusunan pekerja, dan juga mewujudkan rangkaian (jaringan) dengan tenaga-tenaga lain serta mendidik masyarakat tentang perburuhan dan signifikan (kepentingan) hubungan buruh-modal dalam kehidupan hari-hari kita.

Bagi yang lebih kritikal barangkali sambutan Hari Mei ini suatu kesempatan mengimbas kembali kemajuan dan perkembangan berhubung isu-isu yang diperjuangkan oleh gerakan kesatuan sekerja seperti gaji minimum, perumahan untuk rakyat (termasuk kaum pekerja), undang-undang buruh, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kepenggunaan, kesan dan implikasi globalisasi (khususnya kempen dan pelaksanaan persaingan terbuka, liberalisasi dan penghapusan tarif, nyahregulasi, dan penolakan segala bentuk protectionism) terhadap pekerja dan masyarakat luas, dan sebagainya.  Mereka mempersoalkan: apakah pencapaian setakat ini dan mengapa demikian? Apakah strategi dan langkah-langkah baharu (kreatif dan inovatif) yang harus dipertimbangkan dan bagaimana melaksanakannya?

Demikianlah Hari Mei memberi makna yang berbeza-beza bagi setiap orang. Cara ia dirayakan atau disambut juga berlainan. Yang tampak ialah penerimaan umum tentang jerih perih dan sumbangan pekerja kepada proses pembangunan negara-bangsa dan ketamadunan. Namun, dalam hal inipun, ruang untuk mendekatkan jurang antara ucapan/perisytiharan di satu pihak, dan tindakan/praktik di satu pihak lain, masih ternyata luas...

Bagi pekerja dan gerakan kesatuan sekerja khususnya, isu-isu di atas harus menjadi agenda penting yang beterusan. Hari Mei mengingatkan kembali sejarah yang berlalu dan menjadikan ia rumusan dan titik tolak bagi menempa sejarah baharu yang lebih gemilang. Sikap apati (dingin atau tidak berminat) dalam kalangan pekerja sendiri terhadap isu-isu ini merupakan persoalan yang mesti dipecahkan segera. Begitu juga kesatuan yang parokial atau bersikap sempit terhadap persekitaran dan dunia luar (seolah-olah perjuangan pekerja suatu entiti yang berasingan dari kepentingan keseluruhan masyarakat), mesti belajar sejarah dan kembali ke dunia nyata!  Kerjasama, sinergi dan persepakatan dengan pelbagai individu, kumpulan, pertubuhan dan gerakan lain berkenaan merupakan satu-satunya jaminan dalam langkah maju membina masa depan (destini) bersama.

Selamat Menyambut Hari Mei 2011!

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti