Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH KELUARGA DAN KEIBUBAPAAN -- FAKTOR UTAMA DALAM PEMBANGUNAN REMAJA
KELUARGA DAN KEIBUBAPAAN -- FAKTOR UTAMA DALAM PEMBANGUNAN REMAJA
Written by Dr. Azizan Bahari   
Tuesday, 07 December 2010 11:39

(Nota Ceramah)

KELUARGA DAN KEIBUBAPAAN : FAKTOR UTAMA
DALAM PEMBANGUNAN REMAJA

Oleh: Azizan Bahari


Berdasarkan tajuk yang diberikan, ceramah ini akan menyentuh dua perkara penting berkenaan, iaitu :

1. Keutuhan rumah tangga dan keluarga (dalam konteks masyarakat hari ini),

2. Peranan keluarga dan keibubapaan (dalam menangani keadaan dan membangunkan anak-anak remaja).

Keutuhan rumah tangga dan keluarga

Keutuhan rumah tangga dan keluarga suatu perkara penting yang kurang mendapat perhatian. Rata-rata pasangan suami dan isteri menganggap soal keutuhan ini sesuatu yang terjadi dengan sendirinya. Perkongsian hidup dan berkeluarga dianggap perkara semula jadi, sebahagian naluri kehidupan, dan oleh sebab itu, tidak perlu selalu dipupuk, dibaja, atau diusahakan untuk berkembang segar…

Keutuhan rumah tangga dan keluarga menjadi semakin penting hari ini kerana kini terdapat banyak faktor atau pengaruh luar dan dalam (rumah tangga) yang boleh menjejaskan keharmonian dan keutuhan rumah tangga.

Sebagai contoh, terdapat faktor-faktor ekonomi seperti pekerjaan/penggangguran, jenis kerja, gaji/upah yang diperolehi atau ketiadaan pendapatan, waktu bertugas, tempoh masa bertugas, suasana di tempat kerja, sikap majikan, perhubungan dengan rakan-rakan sekerja dan sebagainya yang mempengaruhi kerukunan dan perhubungan di dalam keluarga dan rumah tangga.

Terdapat juga faktor-faktor sosial dan budaya seperti peluang dan tahap pelajaran/latihan, perhubungan dalam masyarakat, sikap dan nilai masyarakat, norma-norma dan amalan-amalan masyarakat, keadaan kesihatan dan sebagainya yang juga mempengaruhi rumah tangga dan kehidupan berkeluarga kita.

Ada juga faktor-faktor politik seperti dasar-dasar dan amalan pihak berkuasa, budaya politik dalam masyarakat, sikap dan tingkah laku pemimpin, perbezaan dan pergeseran antara tokoh dan antara ahli parti, politik kuasa (power politics), dan berbagai-bagai lagi yang turut mempengaruhi cara berfikir, sikap dan amalan anggota-anggota masyarakat, termasuk juga rumah tangga dan keluarga...

Banyak lagi – seperti media (akhbar, televisyen, majalah, radio), internet, pita video, karaoke, supermarket, pasar malam, konsert ala-jom heboh, dan sebagainya yang juga mempengaruhi kehidupan dan perhubungan di dalam rumah tangga dan keluarga, dan seterusnya memberi kesan kepada keutuhan atau kelunturan keluarga-keluarga kita. Semua ini jika diteliti menimbulkan pelbagai cabaran terhadap keluarga.

Sekarang ini tidak mudah untuk kita mengekalkan persefahaman, pemuafakatan dan keharmonian rumah tangga. Pelbagai faktor di atas mempengaruhi sikap, nilai dan tindakan kita. Ada di antara kita yang tidak faham mengapa sesuatu yang tak diingini terjadi dalam rumah tangga sedangkan kita sudah melakukan yang terbaik ... Perasaan tidak puas hati, salah faham, kesangsian dan sebagainya timbul .... Sementara ada orang secara sedar melakukan sesuatu perkara yang menimbulkan ketegangan dan masalah dalam rumah tangga, yang lain tidak sedar bahawa mereka dimangsakan oleh persekitaran, sistem, peraturan serta tuntutan dan kekalutan-kekacauan hidup yang di luar kawalan mereka itu.

Walau bagaimanapun, bukan semuanya tidak boleh kita kawal. Sebagai isteri atau suami, kita masih mempunyai tanggungjawab dan peranan tertentu yang boleh dimainkan untuk mengawal keadaan dan menyumbang kepada kehidupan bersama yang lebih indah dan bermakna.

Sebagai isteri dan suami kita masing-masing boleh melakukan sesuatu untuk memelihara dan membangun rumah tangga dan keluarga kita. Menjalin dan memelihara perhubungan yang mesra di dalam rumah tangga, bersopan santun, menjaga adab, bersikap hormat-menghormati, tolong-menolong, selalu berbincang dan tidak membiarkan sesuatu masalah terperap atau terapung lama-lama, saling bertolak-ansur untuk faedah bersama, sedia berkorban demi kepentingan yang lebih besar, cuba menjalin hubungan baik dengan sanak-saudara, jiran dan rakan-rakan, mengadakan rangkaian perhubungan dan sistem sokongan bersama orang-orang yang terdekat, mendapatkan sokongan dan bantuan mereka yang boleh dipercayai atau boleh diharapkan apabila memerlukan, bersabar dan cekal, sentiasa berpegang kepada ajaran agama dan nilai-nilai murni masyarakat, sentiasa berpandukan akal waras, merujuk kepada orang-orang yang arif dan berpengalaman, membiasakan diri membaca dan belajar daripada pelbagai sumber ilmu dan maklumat yang terdapat di sekeliling, dan sebagainya itu adalah perkara-perkara yang kita semua boleh lakukan mengikut keupayaan kita masing-masing. Semua ini dan cara-cara lain lagi boleh membantu ke arah keutuhan rumah tangga dan keluarga kita.

 

Peranan keluarga dan keibubapaan

Keluarga (dalam sebuah rumah) masa kini tidak semestinya mempunyai, bapa dan anak-anak (selain ahli-ahli keluarga yang lain seperti datuk, nenek dan sebagainya). Kini semakin ramai keluarga ibu tunggal, atau keluarga yang ketiadaan bapa dan sanak saudara terdekat di dalam sebuah rumah. Berbeza dengan keluarga dahulu di mana datuk, “cak” atau wan, nenek/tok dan sebagainya tinggal bersama dalam satu rumah atau berdekatan, saiz dan komposisi keluarga hari ini semakin mengecil. Bantuan dan sokongan daripada orang-orang terdekat juga semakin sukar diperolehi (sebahagiannya kerana masing-masing semakin sibuk dengan kerja/urusan dan hal masing-masing).

Namun, peranan keluarga masih tetap penting. Pengaruh keluarga masih besar terhadap pembangunan sahsiah anak-anak. Itu sebabnya keluarga dilihat sebagai aset utama bagi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat seluruhnya. Itu sebabnya pelaburan Negara dalam pelbagai aspek yang menyentuh pendidikan, pembangunan, pemantapan dan kesejahteraan keluarga sangat diperlukan (dianggap crucial).

Dalam kehidupan hari ini tugas dan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa, atau selaku penjaga anak-anak bukan lagi suatu kerja mudah (atau taken for granted). Perkembangan sekarang menuntut ibubapa atau penjaga memahami keadaan sekeliling, mengetahui pendekatan dan cara-cara yang sesuai untuk mendidik dan membimbing anak-anak, serta mempunyai ilmu dan kemahiran keibubapaan yang mantap.

Untuk menjadi ibu dan bapa, diperlukan pengetahuan dan kemahiran-kemahiran yang sesuai dengan keadaan persekitaran masa kini, bukan lagi cukup sekadar “ikut kebiasaan”, atau atau“tokai-tokai”, atau “ikut suka hati” sahaja.

”Pembangunan” (atau sebenarnya perubahan) yang pantas dan kurang seimbang hari ini meninggalkan ruang-ruang kosong (vacuum) di sekitar kita. Pembangunan yang menekankan pencapaian ekonomi, penguasaan teknologi-teknologi terkini, dan ganjaran kebendaan (material), tetapi agak tidak diimbangi oleh pengisian dan penghayatan kerohanian (spiritual), akhlak, nilai-nilai murni kehidupan bermasyarakat, idealisme kehidupan, perasaan komuniti (sense of community), jaringan perhubungan yang mesra dan bermakna sesama anggota masyarakat, budaya tinggi, patriotisme dan ketahanan nasional itu dikhuatiri akan/boleh mengundang pelbagai risiko psiko-sosial dalam keluarga dan masyarakat. Tanda-tanda (simptom) dan permasalahan demikian semakin kita saksikan dan alami hari ini...

Pembangunan ini juga menghasilkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang memainkan beberapa peranan keluarga, dan ini lama kelamaan, boleh menghakis peranan keluarga. Dalam hal ini kita dapat lihat contohnya agensi-agensi, badan-badan atau pihak-pihak lain (seperti pertubuhan, sekolah, kilang, dsb) memainkan peranan dalam aspek-aspek ekonomi, pendidikan awal, keagamaan, pembentukan sahsiah dan akhlak, perlindungan, keselamatan dan rekreasi bagi pihak keluarga. Dulu keluarga memainkan pelbagai peranan ini dan sangat berpengaruh dan menentukan; kini peranan keluarga menjadi terhad, luntur dan dengan pengaruhnya semakin berkurangan.....

Ini tidak bererti kita tidak bersetuju dengan perkhidmatan dan sumbangan yang diberikan oleh pihak-pihak lain itu. Tidak! Malahan kita akur bahawa dengan keadaan hidup masa kini (yang disebutkan tadi) dan tuntutan-tuntutan baharu kehidupan dan pasaran, pihak-pihak berkenaan, khususnya Kerajaan dan majikan serta sektor sukarela perlu tampil ke hadapan memainkan peranan masing-masing untuk sama-sama menanam modal membangunkan anak-anak remaja dan keluarga. Tetapi, ini tidak pula bererti keluarga harus mengambil jalan mudah, menunggu bantuan, atau beranggapan bahawa peranannya sudah semakin tidak/kurang penting.

Sementara itu, pihak-pihak berkenaan juga perlu sentiasa akur (dan bertindak sewajarnya) bahawa tempat atau peranan keluarga tidak boleh diambilalih sepenuhnya oleh mereka – bahawa peranan unik keluarga dalam memberikan/menyediakan suasana yang kondusif bagi perkembangan dan pembangunan anak-anak (termasuk sahsiah), perlindungan, kasih-sayang, sistem sokongan, dan keperluan-keperluan psikologi dan sosial yang asas bagi anggota-anggotanya tidak boleh ditukar ganti dengan pihak-pihak mana jua.

Kelemahan institusi keluarga menyebabkan ia mudah berpecah. Sebagai contoh, dalam 10 tahun (dari 1980 hingga 1990), daripada 850,654 pasangan yang mendirikan rumah tangga, 167,012 atau sekitar 20% daripadanya bercerai (Bahagian Informasi Islam, JAKIM). Wilayah Persekutuan (32.3%), Terengganu (27.41%), dan Kedah (21.27%) adalah antara yang tertinggi.

Keadaan di atas dipercayai turut menyumbang kepada pengabaian anak-anak remaja dan ini seterusnya menimbulkan pelbagai gejala atau permasalahan sosial dan psikologi berlaku seperti yang sering dihebohkan -- bersekedudukan, penderaan kanak-kanak, penagihan dadah, minuman keras, lari dari rumah, kelahiran di luar nikah, pembuangan bayi, jenayah, perempitan, tekanan emosi, dan sebagainya.

Apakah yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam menangani permasalahan di atas di samping mendidik dan membangun anak-anak remaja?

Pembangunan anak-anak remaja -- meliputi aspek-aspek akhlak, nilai-nilai kerohanian, sahsiah (keperibadian/personaliti), pendidikan, intelek, perhubungan dan pergaulan, dan sebagainya -- kuat dipengaruhi oleh faktor-faktor yang disebutkan. Seperti dinyatakan juga, ibu bapa, selain berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan kehidupan moden tersebut, juga harus bertarung untuk memelihara keharmonian dan keutuhan keluarga di samping memastikan pembangunan anak-anak remaja berjalan baik.

Meskipun dibantu oleh pihak-pihak berkenaan, peranan mendidik dan membangun anak-anak remaja (malahan sering melampaui usia remaja juga) terpikul di bahu ibu bapa atau penjaga anak-anak. Selaku pihak yang paling dekat dengan anak-anak maka sudah barang tentu mereka paling layak melaksanakan tugas dan peranan ini.

Secara ringkas, selain sedikit pandangan dan huraian di atas, di bawah ini dinyatakan beberapa petua asas dan umum tetapi dikira penting sebagai ingatan dan panduan bersama dalam membangun anak-anak remaja di samping menangani permasalahan di atas:

1. Sedar, faham dan mainkan peranan sebagai pendidik dan pembimbing anak-anak remaja kita

2. Cuba sediakan kemudahan-kemudahan yang baik, selesa dan sesuai di rumah dan di sekitar untuk pertumbuhan dan pembangunan anak-anak

3. Sentiasa memberikan sokongan, dorongan dan rangsangan kepada anak-anak

4. Berusaha menjadikan diri rakan anak-anak (yang dapat saling berbincang, bertukar pendapat, bergurau, menangis..)

5. Pelajari dan fahami pergolakan jiwa dan perubahan-perubahan emosi, sikap, dan fizikal yang berlaku kepada anak-anak

6. Ketahui keadaan dan perkembangan sekitar yang mempengaruhi sikap, perasaan dan tingkah laku anak-anak

7. Ketahui rakan-rakan dan pihak-pihak yang bergaul, berhubung atau yang boleh mempengaruhi anak-anak

8. Sentiasa memantau perkembangan mereka (tetapi bukan cuba mengintip mereka kerana ini boleh menimbulkan keraguan, salah faham dan ketidakpercayaan anak-anak)

9. Kenali dan fahami anak-anak kita – keinginan, kecenderungan, keperluan, sifat-sifat, bakat dan kebolehan, kelebihan dan kekuatan, kekurangan dan kelemahan mereka, dan hormati serta berikan peluang dan sokongan kepada mereka untuk berkembang

Mudah-mudahan, berkat kesungguhan kita untuk memberikan yang terbaik bagi pembangunan anak-anak remaja dan generasi muda kita yang sangat tak ternilaikan itu, kita akan berjaya. Kita juga harus lebih cekal untuk berusaha menjadikan suasana rumah tangga kita aman dan tenteram.

Dengan demikian, kita bukan sahaja menyumbang kepada keharmonian dan keutuhan keluarga kita serta pembangunan terbaik bagi anak-anak kita, tetapi juga meningkatkan mutu kehidupan dan kesejahteraan masyarakat kita seluruhnya.

Terima kasih.

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti