Skip to content

Sukarelawan Malaysia

LAMAN UTAMA ARTIKEL / CERAMAH KONFLIK NILAI ANTARA GENERASI (Nota Ceramah)
KONFLIK NILAI ANTARA GENERASI (Nota Ceramah)
Written by Dr. Azizan Bahari   
Friday, 03 December 2010 02:05

(Nota Ceramah)

KONFLIK NILAI ANTARA GENERASI DAN
PENGARUH PEMBANGUNAN TERHADAP REMAJA
DARI PERSPEKTIF PEKERJA SOSIAL

(Azizan Bahari)

Dua perkara utama di sini:

  1. Konflik nilai antara generasi; biasanya difahamkan sebagai antara golongan remaja dan golongan dewasa
  2. Pengaruh pembangunan terhadap remaja

Dewasa

Dalam konteks struktur masyarakat hari ini, golongan dewasa adalah golongan establishment – golongan yang menduduki tampuk-tampuk kuasa – golongan penentu nilai dan peraturan, sama ada dalam konteks makro (komuniti, negara), mahupun yang lebih kecil (keluarga)… oleh itu ,“dewasa” di sini juga mewakili establishment. Ini bererti, “konflik nilai” harus dilihat secara yang lebih luas (meliputi persoalan establishment), tidak hanya suatu pertentangan spesifik dan terhad antara orang muda dengan orang dewasa semata-mata.

Remaja

Dalam konteks susunan kuasa, golongan remaja adalah golongan bawahan dan tak berkuasa dan tak berpengaruh – yakni golongan marginal, bahkan mereka berhadapan dengan pelbagai nilai, norma dan peraturan dewasa (baca establishment) .

Pembangunan

Idea tentang perubahan berdasarkan kerangka falsafah, nilai dan cita-cita kalangan yang berkuasa.

Proses pembangunan digerakkan oleh jentera pemerintah dengan kesan-kesan dan implikas-implikasi tertentu terhadap kehidupan masyarakat. Pembangunan boleh menimbulkan situasi dan pengaruh-pengaruh baharu terhadap masyarakat dan remaja, khususnya melalui :

  1. Proses perbandaran (urbanisation)
  2. Teknologi dan media
  3. Materialisme (kebendaan) & individualisme
  4. Struktur, sifat-sifat dan perhubungan kekeluargaan
  5. Sikap, persepsi dan nilai-nilai baharu masyarakat

Semua ini mempengaruhi nilai, sikap dan tingkah laku masyarakat (dewasa dan remaja)

Semua berpotensi menimbulkan perbezaan dan pergeseran pendapat/pandangan dan perspektif dalam melihat sesuatu, malah berpotensikan menimbulkan “konflik” antara kedua-dua pihak ini

Lebih daripada itu, masyarakat dan negara kita sendiri dalam proses perubahan (suatu ciri negara sedang membangun) yang belum stabil, malah dalam kekalutan!, dan ini menimbulkan kecelaruan dalam pemikiran, tindakan, dan perspektif pembangunan itu sendiri…

Pelbagai yang berlaku di sekeliling mempunyai dinamikanya sendiri, atau terperangkap dalam structural imperative (pembangunan), sesuatu yang dikira di luar kawalan masyarakat…

Jika apa yang berlaku di luar kawalan masyarakat maka masyarakat tak berdaya (powerless), malah dalam banyak hal kepentingan-kepentingan lain (seperti syarikat-syarikat gergasi multinasional, golongan komprador, “power brokers” tempatan, etc.) lebih berkuasa, berpengaruh dan menentukan…

Pekerja sosial

Pekerja sosial profesional dilatih untuk membantu menangani permasalahan psiko-sosial individu dan masyarakat dalam pelbagai seting melalui teori-teori dan kaedah-kaedah amalan yang harus dimantapkan dalam rangka mengupayakan masyarakat dan dengan itu mencapai kesejahteraan hidup.

Pekerja sosial profesional dilatih dan digalakkan mendekati permasalahan tersebut secara holistik, yakni menyeluruh, dengan menggabungkan aspek-aspek peribadi individu, keluarga, rakan sebaya, komuniti, budaya, latar belakang dan sebagainya (termasuk aspek-aspek nilai spiritual yang belum diterokai sebaiknya itu) untuk benar-benar memahami situasi dan permasalahan mereka, dan dengan itu membantu meningkatkan keupayaanya untuk berperanan sebagai anggota masyarakat yang menyumbang (kefungsian sosial).

Dalam konteks masyarakat sedang membangun hari ini, pekerja sosial profesional juga seharusnya celik politik, memahami dinamika perubahan dalam masyarakat, peka pada perubahan di sekeliling, termasuk unsur-unsur global yang mencakup (encompassing) dan mempengaruhi itu.

Walau bagaimanapun, seringkali peranan dan tindakan pekerja sosial lebih bersifat reaktif (responding to situation, worse still, reacting to problems created by other forces and trying to amend them), yakni cuba menangani isu atau masalah yang sudah di tahap bahaya, jikapun tak kritikal!

Jarang, atau kurang sekali pekerja sosial berada dalam kedudukan untuk mendidik atau mengambil pendekatan pendidikan (educational) atau pencegahan (preventive) bagi mempersiapkan masyarakat untuk menghadapi dan menangani keadaan sebelum permasalahan timbul dan menjadi rumit dan seterusnya parah.

Hal ini bukan sesuatu yang terpencil, tetapi bertolak dari falsafah (weltanschauung/ worldview) pembangunan kita, dari cara kita mengatur kehidupan, menentukan halatuju dan matlamat, merangka strategi (termasuk memastikan keutamaan, priority), dan melakukan perubahan yang dapat memberi erti kepada kehidupan bermasyarakat kita….

Sayang! Bagi peranan sebegini besar dan mencakup, kita seringkali menyerahkannya hanya kepada segelintir pihak tertentu, seperti kalangan orang politik dan pentadbir contohnya, sedangkan peranan para cerdik-pandai dan mereka yang terlibat dalam bidang masing-masing dan masyarakat (the stakeholders) sendiri sama ada kurang menentukan (less determining) atau acapkali dipinggirkan (being marginalised)


Konflik antara generasi

Kesan daripada semua ini ialah kecelaruan dan kekacauan sosial – seperti dalam kes remaja kehilangan arah, sistem kekeluargaan retak dan goyah, komuniti menjadi lemah, atau institusi-institusi masyarakat kurang berfungsi atau berkesan…

Konflik antara generasi – muda dan dewasa – harus dilihat dalam konteks ini.

Perspektif dan pendekatan pekerja sosial terlatih dalam hal ini harus lebih luas, tajam, bertimbangrasa, realistik, educational dan developmental

Isu sosial, gejala sosial, permasalahan sosial, sama ada dalam kalangan remaja atau dewasa, atau di antara mereka, merupakan simptom-simptom dan manifestasi kecelaruan dan kekacauan yang muncul dari pembangunan dan proses-prosesnya yang disebutkan tadi, bukan terjadi atau tiba-tiba tercetus di dalam suatu ruang kosong (vacuum).

Di sinilah pekerja sosial dituntut menggunakan pelbagai ilmu dan kefahaman tentang manusia dan masyarakat -- seperti melalui ilmu-ilmu falsafah, sosiologi, psikologi, politik, ekonomi, pembangunan, perundangan – untuk menganalisis dan memahami situasi, dan melakukan intervensi serta perubahan yang sewajarnya.

Oleh sebab isu dan permasalahan itu timbul dari pelbagai faktor penyumbang dan bersifat multi-dimensional, maka pendekatan yang diperlukan oleh kita terhadapnya juga semestinya bersepadu (integrative) dan multi-dimensional.

Sebagai contoh: peningkatan kadar kemalangan, jenayah, salahlaku, keganasan, pencabulan seksual, dsb. dalam kalangan remaja dan belia mesti dilihat dalam konteks dan dalam hubungannya dengan :

  1. Asuhan awal di rumah
  2. Ekonomi keluarga
  3. Proses pendidikan di sekolah/sistem pendidikan umumnya
  4. Kualiti perhubungan dalam komuniti
  5. Peranan agama dan institusi-institusi agama
  6. Peluang pekerjaan
  7. Suasana di tempat kerja
  8. Kadar upah dan layanan terhadap buruh
  9. Penggunaan dan pengagihan sumber-sumber
  10. Dasar-dasar ekonomi dan sosial
  11. Kesan daripada nilai-nilai consumerist dalam masyarakat.

yakni mempertimbangkan, mendiagnosis, menganalisis, dan mengenalpasti punca-punca masalah pada diri peribadi remaja dan juga punca-punca di dalam struktur masyarakat …

Ketaksamaan antara generasi dan alienasi boleh memaksa remaja berundur ke suatu subbudaya atau subbudaya-subbudayanya tersendiri > seperti yang kita maklum, mereka mencari tempat perlindungan (sanctuary) yang dapat memberikan ruang untuk mereka mencari identiti, kebersamaan dan rasa sepunya (dalam suatu kumpulan tersendiri), keselesaan, dan melahirkan sense of achievement, rasa bangga, kepuasan….

Pendekatan dan kaedah menangani nonconformity oleh kalangan remaja seringkali bersifat repressive dan jarang memfokus atau benar-benar member perhatian kepada kepada keadaan-keadaan yang menyumbang kepada nonconformity tersebut – barangkali juga orang dewasa dan pihak-pihak berkuasa berasa puas jika simptom-simptom sudah tidak menonjol di depan mata, meskipun ini tak bermakna permasalahan sudah ditangani sebaiknya!

Begitu juga perspektif dan pendekatan yang sempit (so-called specialised), tidak akan berkesan.

Bias, “professional pride/arrogance”, atau kecenderungan reductionist (opp. Holism), yang beranggapan perspektif dan caranya sahaja yang tepat dan sesuai juga sudah tidak relevan lagi. Terlalu banyak dan kuat variabel-variabel baharu yang mampu mengkucar-kacirkan equation dan equilibrium yang dahulunya dapat diterima … > konfigurasi baharu; oleh itu diperlukan formula dan metodologi baharu ……………

Pendekatan educational dan transformational (ke arah perubahan signifikan yang lebih memihak masyarakat luas) perlu digalakkan di peringkat awal – melibatkan sekolah, komuniti, organisasi, pertubuhan-pertubuhan sukarela dan profesional, kumpulan, dan sebagainya.

Di peringkat ini ahli-ahli masyarakat, termasuk remaja, dididik, didorong, dan diupayakan dengan pelbagai cara (khususnya dengan penglibatan aktif mereka) untuk sama-sama berperanan, di peringkat dan dengan kemampuan masing-masing, untuk kepentingan bersama sebagai anggota-anggota komuniti, sebagai suatu masyarakat.

Dengan cara ini kita (sebagai sebuah masyarakat) barangkali akan lebih mampu mengawal permasalahan psiko-sosial dalam masyarakat dan hidup lebih sejahtera dan bermakna.

Pekerja sosial perlu rajin dan luas membaca dan memahami perubahan-perubahan makro dan mikro dalam masyarakat, termasuk dalam kes yang kita sentuh ini… Harus memahami dinamisme pembangunan dan pengaruh-impaknya yang menimbulkan pelbagai gejala psiko-sosial dalam kalangan remaja dan seterusnya “konflik” antara generasi itu.

Pekerja sosial, di manapun berada, harus menjadi sebahagian integral projek “kehidupan sejahtera” masyarakat seluruhnya, bukan terperangkap di dalam kepompong tugasan serta seting kerja masing-masing yang seringkali agak sempit itu.

(Berasal dari sebuah ceramah yang disampaikan di persidangan pekerja-pekerja sosial terlatih)

 

Pustaka Qarya

Banner

Aktiviti

Aktiviti